Monday, March 1, 2010

Cinta Sasmitas

“Ada sigup kita..?”

“Inda ku basigup nyanta..!”

Berbadan gempal sederhana tinggi. Berumur akhir lima puluhan. Kepalanya botak di tengah. Lelaki. Berkulit hitam kemerahan. Muka bulat. Wajah muram tidak bermisai atau berjanggut apalagi berjambang. Bahunya sedikit kedepan menampakkan dia seperti orang yang bongkok. Dia sering berjogging dan merayau-rayau di persekitaran kampung itu, tidak hairanlah jika dia nampak sihat dan bertenaga.

Tanpa banyak bicara lelaki itu beredar meninggalkan Mohar setelah hajatnya tidak kesampaian. Mohar mula menjelmakan beberapa andaian. Kalau dilihat pada telatah lelaki itu Mohar sudah dapat menerlah bahawa lelaki itu punya masaalah mental. Orang yang berfikiran waras tidak akan berbuat demikian. Kalau cuma pandai merokok itu soal lain.

Tengahari ketika Mohar duduk dalam keretanya sedang menunggu anaknya balik sekolah dia ternampak lelaki itu duduk di hujung bangunan kedai kawasan itu tengah merokok sambil memandang ke arahnya. Lelaki itu cepat membuang pontong rokoknya yang sudah pendek mencecah kulit bibirnya yang tebal berkuriping itu.

Mohar amat terperanjat. Lelaki itu sudah berada dekat kuping telinganya.

“Assalamualaikum…”. Lelaki itu menghulurkan tangannya pada Mohar yang kebetulan cermin keretanya tidak dinaikkan.

“Waalaikumsalam…”. Mohar terperangkap dan cuba mengelak.

Akhirnya Mohar terpaksa berbuat sesuatu yang dia sendiri tidak ingin melakukannya. Mohar beredar dari tempat itu walau pun anaknya belum keluar kelas. Dia ingin menghindarkan diri dari didekati oleh orang tua itu atas sebab-sebab yang tersendiri.

Setiap kali Mohar terjumpa lelaki itu berjogging dia akan mengangkat tangan tanda memberi salam. Mohar pula membalasnya sambil senyum hormat yang sekali gus melihat lelaki itu melalui cermin depan keretanya. Mohar tidak kenal lelaki itu. Kalau cuma angkat tangan baginya bukan masaalah.

“Ayah kawin bukan kerana nafsu…” Sahad meyakinkan anak-anaknya.

“Kami tidak setuju jika ayah kawin dengan Sasmitas..!”. Lantak mati Roza anak sulung Sahad yang menentang keras keinginan ayah mereka.

“Apa bezanya orang luar dengan orang kita..?”

“Dia cuma hendakkan harta ayah..!” Roza semakin berani.

Sahad seorang peniaga yang boleh dimasukkan ke dalam kategori yang berjaya. Isterinya banyak mendorong keberhasilannya dalam mengendalikan perniagaannya hingga ke mercu kejayaan. Mereka dikurniakan dua orang anak perempuan yang sudah pun berumah tangga dan masing-masing telah dikurniakan anak.

Tapi sayang kemanisan hidup Sahad bersama isterinya itu cuma semantara. Allah telah lebih awal menjanjikan ada titik noktahnya dalam perkongsian hidup mereka. Itulah yang dikatakan ajal dan maut jodoh pertemuan semuanya di tangan Allah.

‘Sesungguhnya Allah yang menguasai atas segala sesuatu.’

“Kau harus memperhitungkan kehendak anak-anak mu.” Basrah memberikan pandangan.

“Kau juga tidak setuju jika aku kawin lagi..?” Tinggi tekanan suara Sahad.

“Yang nak kawin kau bukan aku.” Basrah selamba seolah merajuk.

“Aku masih muda dan kuat, aku mampu memberikan segalanya.” Memang Sahad mampu memberikan apa yang dikehendaki oleh seorang isteri.

Sasmitas berusia empat puluh empat tahun, tidak jauh bezanya dengan Sahad yang sudah menjangkau empat puluh lapan tahun. Tapi Sasmitas nampak seakan wanita yang berusia tiga puluhan. Barangkali Sasmitas pandai jaga badan kerana itu dia nampak muda dan menawan yang pada akhirnya Sahad terpikat.

Apa pun ceritanya Sahad akan tetap juga kahwin dengan Sasmitas. Pasti..!

Sasmitas pertama kali datang ke Brunei tiga tahun lepas. Dia bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Sahad baru berkenalan dengan Sasmitas kurang dari dua bulan. Ketika itu dia dibawa oleh kawanya singgah minum di sebuah restoran tepi jalan tempat Sasmitas bekerja. Kebetulan pula kereta mereka pumcit tidak jauh dari restoran itu.

Pada mulanya cuma singgah dan minum untuk membasahi tekak dan menghilangkan dahaga. Tapi lama kelamaan bertukar menjadi singgah yang ada lain cerita. Sasmitas begitu cepat mesra dan jatuh hati pada Sahad, walau pun Sasmitas sudah dua penggal berada di Brunei tapi hatinya tidak pernah tersangkut pada sesiapa. Kecuali pada yang satu ini. Apakah itu yang dikatakan cinta pertama bagi Sasmitas..?

“Sasmi masih punya keluarga di Aceh..?” Bahasa sekolah yang beralun dan dijalin dengan begitu indah.

Manis wajah kerana senyuman, manis kata-kata kerana bahasa. (Mudah-mudahan diiktiraf oleh Dewan Bahasa).

“Masa tidak punya…walau Aceh itu pernah dilanda Tsunami.” Wajah Sasmitas sedikit berubah.

“Maaf…bukan itu maksud saya.” Sahad berhati-hati menggunakan bahasa sekolahnya. Sahad memang nombor satu dalam pelajaran Bahasa Melayu pada zaman sekolahnya dulu.

“Tidak apa-apa...” Cepat Sasmitas menyampuk.

“Maksud saya sudah punya anak-anak..?” Lelaki jika dilayan semakin berani. Itulah juga yang ada pada Sahad.

“Kawinnya juga belum masa punya anak Paa..!” Sasmitas senyum sambil menjeling. Sahad terlalu faham dengan jelingan yang serupa itu.

Sahad dan Sasmitas benar-benar sudah bersedia untuk menjadi sepasang merpati dua sejoli yang ingin tinggal bersama di dalam sebuah sarang. Perkahwinan. Tapi dia harus membuat pertimbangan antara kehendaknya dengan kemahuan anak-anaknya. Terutama Roza yang menentang keras perkahwinannya itu.

“Kakak akan menjaga ayah sampai ke akhir hayatnya. Kakak tidak mau ada orang lain hadir dalam keluarga kita.” Roza bersuara seolah tidak berlawanan.

“Tidak ada salahnya jika ayah kawin lagi kak.” Rozi mencelah kakaknya.

“Apa untungnya jika ayah kawin lagi..?” Bentak Roza.

“Sudah tentulah ada orang yang akan menjaganya.” Rozi membalas.

“Lalu apa pula kewajipan dan tanggung jawab kita selaku anak-anaknya..?”

“Kita cuma mampu memberikan yang zahir kak tidak lebih dari itu.”

“Walau apa pun alasan ayah kakak tetap tidak akan bersetuju..!”

Jodoh Sasmitas memang ada pada Sahad. Sasmitas sudah menjadi suri. Suri rumah tangga yang akan mencorak warnakan sebuah penghidupan yang baru bagi Sahad. Sasmitas kini sudah tidak lagi melayani pelanggan di restoran, dia cuma melayan Sahad selaku isteri kepada seorang yang bergelar suami. Begitulah indah dan manisnya intipati dalam sebuah cinta yang tidak pernah mati. Benarkah cinta itu tidak mati..?

Selain dari kebahagiaan seorang isteri seperti Sasmitas yang diperolehinya dari suaminya, dia juga tidak perlu bersusah payah untuk memperpanjang waktu tinggalnya di Brunei seperti sebelumnya. Sasmitas cuma perlu mengatur jadual bila dia harus pergi ke Aceh untuk melawat keluarganya di sana.

Kalau dulu Sasmitas pulang dua tahun sekali. Tapi sekarang Sasmitas boleh menziarahi keluarganya bila-bila masa saja yang dikehendakinya. Sahad tidak menghalangnya yang mana semua itu sudah menjadi tanggung jawabnya, dia tidak ingin memutuskan hubungan antara anak dan orang tua Sasmitas.

Yang terkini Sasmitas sudah punya kuasa untuk mengendalikan perusahaan suaminya. Kerana Sahad tidak begitu berupaya untuk membuat keseluruhan kerja itu. Sasmitas mengendalikannya dengan begitu teratur. Rezeki mereka umpama air yang mengalir masuk ke dalam tangki simpanan dengan mudahnya.

“Bukan main kau sekarang sejak ada orang baru ini, keluar negeri macam keluar masuk daerah.” Basrah sengaja berjenaka walaupun itu betul.

“Itukan kewajipan dan tanggung jawab aku. Aku terasa berdosa jika tidak melakukannya.” Jawab Sahad ikhlas.

“Bukan kerana dia orang baru..?”

“Dia isteriku…aku kenalah bertolak ansur”.

“Mengapa kau biarkan isterimu balik sorang-sorang, tak ada rasa cemburukah..?” Basrah yang gatal mulut itu mengusek lagi.

“Cemburu begitu stail lama pandailah dia jaga diri. Dia datang ke sini dulu pun seorang diri juga.” Sahad dengan nada selamba.

Bagaimana pun spesies yang bernama manusia itu memang terlalu banyak kekurangan dan kelemahannya. Begitu juga Sahad dengan mudah melepaskan segalanya kepada Sasmitas tanpa memikirkan apa resikonya di hari muka nanti.

Sekarang Sasmitas diberikan kuasa untuk menguruskan hal ehwal kewangan perniagaan suaminya. Namanya isteri. Harta suami adalah juga harta isteri. Bagi suami pula pada siapa lagi yang hendak dipercayai kalau bukan pada isteri.

Suami isteri. Isteri suami. Itu adalah satu jiwa yang sudah menyatu dalam kehidupan rohani dan jasmani. Zahir dan batin sudah tidak ada rahsianya lagi. Jika berahsia itu bukan namanya suami isteri. Apakah betul suami isteri tidak berahsia..?

Masa belum jauh berlari. Hari belum lama berganti dan tahun juga belum lama bertukar. Tapi hati seorang manusia ‘Anak sungai lagikan berubah’ begitu cepat beralih kepada tamak haluba terhadap harta dunia. Jika ringgit sudah tersidai di tabir mata, mata hitam boleh jadi kelabu dan pandangan pasti kabur serta ingatan akan hilang untuk mengingatkan diri berasal dari mana.

Itulah Sasmitas yang menjadi kacang lupakan kulit. Kadok naik junjung, juga sudah lupa di bumi mana dia berpijak. Kemanisan cintanya telah beralih arah, satu demi satu hak milik suaminya bertukar atas namanya sendiri dengan mudah. Yang terakhir sedang dirancanakannya ialah bagaimana hendak memiliki rumah tempat tinggalnya sekarang ini secara total.

Malangnya yang satu ini Sasmitas nampaknya kecundang. Awal-awal lagi Sahad telah menukar milik rumah itu kepada kedua-dua anaknya Roza dan Rozi. Sahad awal-awal lagi sudah bersedia menangkis kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi.

Nampaknya Sasmitas gagal meletupkan periuk api yang ditanamnya dalam rumah tangganya sendiri. Sasmitas merasa kecewa kerana itu adalah rancangannya yang terakhir. Dengan sekelip mata saja Sasmitas sudah menjadi pontianak siang.

Selang beberapa hari Sasmitas sudah lenyap entah kemana. Hilang tanpa apa-apa kesan untuk dijejaki ke mana rintis tuju haluannya. Itulah kelicikan Sasmitas yang cepat silau mata dengan kemewahan dan kesenangan yang dilonggokkan oleh suaminya. Tahniah untuk Sasmitas dan takziah buat Sahad.

Sejak detik itu bermulalah kehidupan Sahad tidak menentu. Yang ada padanya cuma kekosongan yang tidak punya erti apa-apa. Dia sentiasa mencari madu cintanya yang telah bertukar menjadi racun. Kerana itu dia sering berlari ke hulu ke hilir, kononnya mengejar sesuatu yang telah jauh meninggalkannya.

“Kisah itu berlalu lebih dua belas tahun lepas. Itulah Pak Sahad seperti yang kau lihat sekarang.” Lufti menceritakan semua itu kepada Mohar.

“Bagaimana kau tau..?” Mohar ingin tau lagi.

“Pak Sahad kawan baik ayahku, ayahlah yang menceritakan semua ini.”

Mohar terkilan apabila mengetahui kisah sebenar lelaki itu. Pak Sahad. Mengapakah semua ini terjadi..? Belum sempat Mohar menemukan jawapannya. Tiba-tiba…

“Minta duit kita lima puluh sen..!”

“Kan apa kita..?”

“Kan tambang bas..!”

Mohar bagai diarah menghulurkankan wang satu ringgit. Pak Sahad menerimanya dengan hormat dan berlalu dengan lapang dada. Esok entah siapa lagi yang akan membayar tambang bas Pak Sahad untuk pulang.

Ketika persoalan itu masih berlegar dalam kepala Mohar untuk mendapatkan jawapannya, tiba-tiba sebuah kereta Terios putih yang dipandu oleh seorang wanita muda masuk ke dalam kawasan itu dan berhenti betul-betul dekat Pak Sahad berdiri, wanita muda itu terus membuka pintu dari dalam.

Tanpa banyak kerinah Pak Sahad masuk ke dalam kereta dan mereka beredar keluar. Mohar sempat melihat Pak Sahad melambai-lambaikan tangannya. Sekali lagi Mohar terkejut apabila anaknya membuka pintu dengan kuat dari luar.




0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online