Perjalanan jauh mengambil waktu yang lama lebih kurang sebelas jam itu cukup membuatkan badannya terasa letih, itu belum termasuk satu jam atau lebih ketika singgah di Sharjah sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah.
Duduk yang begitu lama dan terhad dalam pesawat memang terasa rimas. Sengal, urat-uratan macam berkumpal, tulang temulang rasa berlipat-lipat cuma sesekali bangkit dari kerusi untuk pergi ke bilik kecil kerana hendak melepaskan hajat. Selesai hajat duduk semula dan jika hendakkan minuman sejuk atau panas, tekan saja butang kemudian pramugari akan datang.
Haji Mahbob melontarkan pandangannya ke luar melalui jendela pesawat, yang nampak cuma tompokan awan putih terapong-apong bagaikan kapas berlatar belakangkan langit warna biru amat cantik dan menakjubkan. Sesekali pesawat bergegar akibat terlanggar tompokan awan yang terapong indah itu.
‘Masya-Allah…’ Bisik hati kecil Haji Mahbob.
Itu dalam perjalanan di angkasa lepas. Sekarang Haji Mahbob dan isterinya serta para jemaah sedang menempuh satu lagi berjalanan di darat yang juga agak lama kira-kira lima jam tidak termasuk waktu rehat dan solat di masjid-masjid sepanjang jalan dari Jeddah ke Madinah itu.
Setiap apa pun yang kita lakukan tidak akan luput dari pengorbanan. Namanya wang ringgit, maupun masa apa lagi tenaga akan pesti terkorban untuk mendapatkan keredaan Allah dalam beramal ibadat. Walau harta tinggi mengalahkan gunung, jika tidak punya kerinduan ke arah itu semuanya akan hilang begitu saja dan tidak punya makna apa-apa.
Rindu terhadap Madinah masih belum terubat. Cinta pada Mekah juga belum bersahut. Bagaimanapun Haji Mahbob dan isterinya Hajah Saimah sedang dalam perjalanan menuju Kota Madinah al Munawwarah untuk melepaskan rindu masing-masing yang selama ini belum tertunai.
Bertali arus keinginan Haji Mahbob untuk mengunjungi Rumah Allah yang menjadi kiblat muslimin-muslimat sedunia itu buat kali ketiganya. Lima tahun dulu Haji Mahbob bersama isterinya pernah mengerjakan ibadah umrah, dari sejak itu Haji Mahbob masih diburu perasaan takut kerana peristiwa kepulangan mereka ke tanah air tergendala disebabkan lemahnya pengurusan agensi yang berkenaan.
“Bila lagi kapal terbang kitani kan datang bang aji…?”
“Ucapan abisdia di Brunei sudah membuat persediaan kan mengambil kitani.”
“Banarkan tu bang aji…?” Isterinya Hajah Saimah seakan tidak percaya.
“Berdoa saja kitani…” Haji Mahbob menyamankan hati isterinya.
“Mudahan saja banar kalau inda, dada tah kitani balik tu.” Hajah Saimah mula menangis. Ini yang menyebabkan Haji Mahbob menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.
“Ada hikmah dibalik semua kejadian itu. Kamu dapat tinggal percuma enam hari di Mekah, itu bererti anugerah dari Allah untuk kamu.” Haji Borhan memberangsang semangat Haji Mahbob yang masih truma akibat kejadian itu.
Bas yang membawa jemaah seramai empat puluh lapan orang termasuk Haji Mahbob dan isterinya itu berjalan sederhana perlahan. Bas-bas lain yang lebih laju memotong dengan membunyikan hon silih berganti. Haji Mahbob terkejut menyebabkan kenangannya mengamparai bila mendengar bunyi hon itu, maklum saja di Brunei jarang mendengar hon yang berbunyi sekuat itu. Kalau ada pun maka akan berlakulah adegan terkam menerkam macam kucing kan berungkup.
Haji Mahbob memandang ke luar bas untuk menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan itu yang cuma nampak bukit-bukau yang gondong dan berbatu bata berwarna hitam kemerahan. Pokok-pokok kering macam tak bermaya yang lebih banyak warna putih dari hijaunya.
Kambing-kambing berkeliaran mencari makan, entah makanan bagaimana yang mereka kunyah atas padang yang kering dan berbatu itu. Anak-anak unta juga kelihatan berkejaran bermain adik beradik yang diperhatikan oleh ibu unta sambil menyusui anaknya yang tidak ikut bermain.
Hj Mahbob benar-benar keletihan dan mula hendak menerima lamaran matanya yang mulai redup itu tambahan lagi cuaca di luar amat panas. Sebenarnya Haji Mahbob bukan takut pergi ke Tanah Suci, tapi yang Haji Mahbob inginkan biarlah agensi yang mengendalikan pakej umrah maupun haji itu benar-benar punya rasa tanggung jawab jujur dah ikhlas kerana Allah. Haji Mahbob tidak ingin peristiwa yang dialaminya itu berulang kembali.
Tapi sayang Haji Mahbob gagal melayani matanya kerana berbagai kenangan datang menerpa dan berlegar di ruang kepalanya. Haji Mahbob teringat akan kisah Haji Borhan dua belas tahun lalu. Ketika itu Haji Borhan dan semua jemaah terpaksa menerima hakikat mereka dellay selama tiga puluh enam jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Semua itu terjadi disebabkan pesawat China Airline mendapat kemalangan ketika mendarat di Philippine yang sekali gus menghalang penerbangan pesawat Golf Air berlepas ke Brunei untuk membawa para jemaah terbang ke Jeddah. Kejadian itu berlaku pada tahun sembilan belas sembilan puluh lima.
Akibat dari kejadian itu pihak syarikat menawarkan kepada para jemaah samada mereka hendak balik ke rumah masing-masing atau tinggal di hotel sementara menunggu pesawat Golf Air itu tiba. Haji Borhan mengambil kesempatan ini untuk tinggal di hotel saja, walaupun jarak rumahnya cuma dua kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Itulah kali pertama dan mungkin terakhir Haji Borhan menginap di hotel dalam negera sendiri.
“Itu dalam negara…” Haji Mahbob semacam tidak menerima.
“Itu juga namanya satu hikmah yang Allah berikan padaku, andai kata kejadian itu tidak berlaku, sampai mati pun aku tidak akan pernah tinggal di hotel dalam negera sendiri”. Haji Mahbob tersenyum seolah dia berdepan dengan Haji Borhan waktu itu.
Terangkat ponggong Hj Mahbob apabila pemandu bas itu menekan break dengan mengejut yang mungkin pemandu itu mengantuk kerana kurang tidur. Hj Mahbob keluar dari alam flash backnya dan sekarang Haji Mahbob ujud di alam nyata bersama para jemaah yang lain di dalam bas itu.
Sekarang sudah banyak pilihan. Semuanya sudah diatur dengan baik oleh pihak yang berwajib. Jemaah cuma tinggal pilih mana satu agensi yang mereka suka dan rasa selisa untuk membawa mereka mengerjakan ibadah di Tanah Suci itu.
Haji Mahbob bukan pula truma atau menjadi satu ketakutan pada segala macam kejadian yang berlaku di Tanah Suci itu. Umpamanya ketika musim haji pada tahun dua ribu empat, lebih dari seratus orang jemaah terkorban akibat jambatan roboh ketika jemaah tengah melontar jumrah. Dan tahun berikutnya pula bangunan tempat jemaah menginap runtuh juga memakan korban yang banyak.
Sebenarnya begitulah kehendak Allah, walau di manapun kita berada namun yang sudah tersurat dan dinamakan takdir itu tidak akan dapat ditolak atau dielak. Cuma kita harus berhati-hati kerana dalam setiap saat apa-apa pun boleh berlaku. Oleh itu kita hendaklah berdoa setiap waktu memohon kepada Allah semoga kita akan sentiasa di dalam perlindungan-Nya. Amin…!
Bas meluncur laju bagaikan di tarik oleh besi berani agar cepat sampai ke Kota Madinah yang di dalamnya bersemadi jasad suci Kekasih Allah yang akan memberikan syafaat kepada umat-umatnya yang beriman. Memang tidak ada siapa yang dapat mendahulukan pada apa yang dikemudiankan oleh Allah, demikian juga tidak ada siapa yang dapat mempercepatkan pada apa yang dilambatkan oleh Allah.
Itulah Haji Mahbob bersama jemaah yang sekarang sedang dalam perjalanan ke Kota Madinah yang seolah-olah tidak sabar lagi untuk menziarahi makam junjungan mulia itu. Haji Mahbob berazam akan melupakan segala kejadian-kejadian yang pernah dialamainya yang membuatkan dia kaku sekian lama untuk menggerakkan kakinya ke Tanah Suci itu.
Kini debaran seakan debaran yang dirasakannya ketika bersanding atas pelamin bersama isterinya hampir empat dekad lalu, sudah beransur reda apabila ternampak menara Masjid Nabawi yang tersergam indah itu. Kubah Hijau yang tenang damai itu seakan melambainya cepat turun dan berzikir di bawahnya. Menitis air mata Haji Mahbob yang semacam tergambar wajah Junjungan s.a.w. di Kubah Hijau itu.
“Mengapa bang aji menangis…?” Haji Mahbob cepat menyapu air matanya.
Hajah Saimah nampak Haji Mahbob mengesat matanya. Haji Mahbob tidak terkata apa-apa kerana menahan perasaannya yang terlalu sebak. Tanpa diajak sama Hajah Saimah pula menangis tapi cepat disembunyikannya kerana terasa malu pada suaminya.
Sekarang rindu Haji Mahbob bersama isterinya Hajah Saimah terhadap Madinah terubat sudah dan cinta mereka kepada Mekah juga akan berbalas. Perjalanannya yang bermula dari bumi dan mengembara ke angkasa lepas, kemudian kembali dan merangkak semula di Bumi Haram kepunyaan Allah.
Itulah sebuah perjalanan yang terlalu mahal harganya dan tidak akan terbeli oleh yang dinamakan dollar…ringgit…mahupun riyal melainkan dengan iman dan taqwa. Kini kaki mereka telah berpijak di bumi berakah, dan sebentar lagi mereka akan bersimpuh di bawah kubah yang berwarna hijau itu. Allah hu akhbar…! Alhamdulillah…!
Namun perjalanan Haji Mahbob dan Hajah Saimah itu belum bernoktah. Lusa atau tolat mereka akan pergi dan meninggalkan Kota Madinah al Munawwarah yang kudus itu dengan berbekalkan rindu yang tak sudah, meneruskan satu lagi perjalanan ke Mekah al Mukarramah. Mudah-mudahan…! Insya-Allah…!
Madinah : Jun 2007
Tuesday, November 3, 2009
Rindu Yang Terubat
Posted by Maya Brunei at 5:23 AM
Labels: arkib cerpen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comments:
Post a Comment