Tuesday, November 17, 2009
Kedamaian
Posted by Maya Brunei at 7:17 AM 0 comments
Labels: arkib puisi
Saturday, November 14, 2009
Wednesday, November 11, 2009
Jabal Rahmah 09
Posted by Maya Brunei at 8:06 AM 0 comments
Labels: arkib bergambar
Jabal Rahmah
Posted by Maya Brunei at 7:59 AM 0 comments
Labels: arkib bergambar
Tuesday, November 10, 2009
Jabal Thur
Posted by Maya Brunei at 5:00 AM 0 comments
Labels: arkib bergambar
Monday, November 9, 2009
KA'BAH 2009
Posted by Maya Brunei at 1:55 PM 0 comments
Labels: arkib bergambar
Jabal Uhud
Posted by Maya Brunei at 4:07 AM 0 comments
Labels: arkib bergambar
Sunday, November 8, 2009
Thursday, November 5, 2009
Janda Meletup
“Orang tua-tua kata biar berbilang kepala anak, jangan berbilang kepala laki..!”
“Semua ini adalah datangnya dari Allah, bukan aku yang memintanya.”
“Seharusnya kau malu kawin berulang kali.”
“Apa yang hendak dimalukan aku bukan curi suami orang. Lagi pun dia seorang mualaf. Secara langsung aku berhasil mengislamkan satu orang. Itu kan da’wah juga namanya.” Panjang celoteh Diana.
“Kau tau suami kau sekarang ni yang ke berapa..?”
“Cuba kau pula yang meneka yang ke berapa..!” Diana sengaja menyakitkan hati kawanya itu.
Mohamad Khairol Abdullah dari Thailand. Diana berkahwin dengan Khairol setelah gagal beberapa kali dalam rumah tangganya. Dia sering dicemuh dengan palbagai anggapan yang kurang sihat. Bagi Diana perkara itu adalah biasa dalam Masyarakat Melayu sejak zaman berzaman.
Sebetulnya Diana juga tidak mau ini terjadi, tapi masa dan keadaan yang menjadikan dia seperti sekarang ini. Diana banyak merasakan hidup dengan palbagai perancah sebagai asam garam dalam berumah tangga apa lagi setelah menjanda beberapa kali.
Umurnya baru mencecah empat puluh empat tahun. Masih muda dan jelita seolah-olah baru berusia tiga puluh lima tahun. Kerana itu dia sering dikatakan memakai susuk. Diana juga tidak menghiraukan semua itu, dia tidak terniat pun untuk melakukan perbuatan yang berdosa itu.
Dulu Diana hidup cukup-cukup makan bersama Kamal suaminya yang pertama. Dia kawin muda dalam lingkungan umur lapan belas tahun. Tapi suaminya tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Kerana itu dia tidak dapat menyara hidup mereka berdua walau cuma untuk hidup sederhana.
Kamal bekerja sebagai buruh binaan, malangnya dia meninggal dalam satu kemalangan. Dia jatuh dari bangunan setinggi lima tingkat. Perkongsian hidup mereka cuma selama dua tahun lebih. Mereka belum dikurniakan anak, kerana itu Diana bebas memilih jalan yang difikirkannya elok. Diana hidup dengan pampasan arwah suaminya yang tidak seberapa. Tapi Diana cukup tabah dan penuh tawakal menjalani liku-liku hidupnya yang sentiasa dipenuhi dengan ranjau itu.
Sebagai janda muda secantik Diana, ramai pemuda-pemuda yang cuba menibar jala untuk memikat janda yang tengah meletup itu. Bagi teman-teman sebaya Diana pula merasa bimbang yang teramat sangat terhadap suami masing-masing, takut dicekup Diana hidup-hidup.
Untuk mengakhiri status jandanya yang membuatkan dunia huru-hara itu, Diana terpikat dengan Edwin pemuda Filipina yang bekerja di salah sebuah firma tempatan. Jodoh mereka juga tidak panjang cuma lapan bulan lebih. Suaminya lari pulang ke negeri asalnya dengan membawa sedikit harta milik mereka. Diana menjanda lagi.
Diana mulai membuka lambaran baru dengan mencaburkan diri dalam perniagaan. Hasil dari pengelaman bersama suami keduanya dia mengatur langkah. Diana tau pasang surut dalam dunia yang dinamakan koprat itu. Kerana suaminya dulu bergiat aktif dalam bidang perniagaan yang agak maju juga. Tapi akibat pengaruh wang suaminya tutup mata dan lupa diri.
Diana juga bergiat aktif dalam bidang pelancongan seperti pengurusan pakej Haji dan Umrah disamping lain-lain perusahaan. Jodoh dan pertemuan di Tangan Tuhan. Diana berkenalan dengan seorang ustaz dari Indonesia. Suratman yang juga menguruskan pakej yang sama. Diana mempelawa Suratman sebagai pembantunya dan sekali gus menjadi rakan kongsinya.
Lebih dua tahun mereka menjadi rakan kongsi pakej berkenaan. Akhirnya mereka menutup tabir kongsi niaga dengan perkongsian hidup berumah tangga, apa tah lagi mereka berurusan Haji dan Umrah memang tidak elok jika berdampingan dengan lelaki yang bukan muhrim.
Selang tiga tahun kemudian sekali lagi rumah tangga Diana goncang. Ketika mereka menunaikan umrah, rahsia Suratman telah terbongkar. Dengan izin Allah mereka dipertemukan dengan seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya isteri kepada Suratman. Bagaikan terbelah dua jantung Diana ketika itu. Allah saja yang mengetahuinya.
Setibanya di Tanah Air Diana minta dilepaskan. Dia tidak mau merosakkan hati kaum sejenisnya. Akhirnya mereka bercerai dengan baik dan Suratman kembali ke Indonesia dengan sehelai sepinggang kerana segala harta milik mereka atas nama Diana. Suratman pulang sebagaimana dia datang ke Brunei dulu.
Setiap kali Diana menjanda umpama taufan yang melanda dunia. Sang isteri simpir sayap takut kalau-kalau suami mereka akan terperangkap oleh kejelitaan Diana. Memang Diana semakin jelita. Bagi Diana pula kalau dia tais liur untuk merampas suami orang bila-bila pun boleh, tapi itu bukan realiti hidupnya.
“Wati…aku bukan membilang kepala laki. Sudah jodoh aku begitu…”
“Aku tu bukan apa…cuma sakit telinga dengan perangai kau tu.”
“Jangan dengar habis perkara.”
“Kau jangan salah anggap pada ku Diana..!”
“Aku tidak akan merampas abang kesayangan kau tu..!”
“Bukan itu maksud ku..!”
“Kau tak perlu bimbang kerana aku bukan buaya betina yang miang..!”
Kali ini jika ada jodoh Diana akan mencari pasangan hidup yang serasi dan terakhir dalam hidupnya. Dia tidak mau dikatakan membilang kepala laki. Apa tah lagi dengan keterampilannya sekarang ini. Sebut saja Diana koprat orang akan tau dia seorang janda meletup yang terkenal.
Dengan kegagalan rumah tangganya berulang kali itu membuatkan Diana lebih berhati-hati. Disatu ketika yang lain dia ingin menjanda terus. Tapi pada umurnya yang semuda itu masih memerlukan pelindung, apa lagi bidangnya sekarang ini semakin luas dan mancabar. Sebagai seorang wanita dia tidak mampu memikul tugas yang berat ini untuk satu waktu yang panjang.
Diana memperolehi kejayaan. Dia juga membuka beberapa buah kedai butik di Ibu Kota. Diana sesekali ingin dimanjai oleh seorang lelaki yang bergelar suami. Dalam kejayaannya sekarang ini telah banyak membongkar senario silamnya.
Dia terkenangkan arwah suaminya Kamal. Ketika hidup mereka dalam serba kekurangan hingga dia meninggal kerana sesuap nasi untuk mereka berdua. Kalaulah hidupnya seperti sekarang tentu arwah suaminya akan dijadikannya pengurus syarikatnya. Matinya pula begitu dahysat dan mengerikan. Tanpa disedarinya air matanya mengalir.
“Abang-abang berempat ni tak boleh diam kah..!”
Satu hari Diana mengamuk kerana suami-suaminya asyik bergaduh. Maklum tinggal serumah. Kamal…Edwin…Suratman dan Khairol Abdullah. Rasa pecah kepala Diana melayan kehendak mereka. Diana bertungkus lumus bekerja untuk menyuap mereka berempat yang masih tidak sedar bahawa mereka itu di madu.
“Itulah kalau isteri bermadu, suami bising konon tak bersyukur. Nah sekarang bagaimana rasanya suami pula yang bermadu..?”
Diana melepaskan geramnya. Mereka diam. Telefon berdering. Diana berteriak menyuruh mereka menjawab telefon. Tapi mereka enggan. Diana dengan penuh emosi melompat untuk membuat perhetungan kepada mereka berempat itu.
Diana terkejut dan membuka matanya perlahan-lahan. Rupa-rupanya Diana terlelap seketika. Telefon bimbitnya masih menjerit di tengah malam itu. Diana bangun dan mencapai telefon lalu menjawabnya. Dia kenal siapa pemanggilnya.
“Diana…I tak sempat balik hari ni…esok I balik…masa ni I di Singapore..!”
Singkat perbualan mereka. Diana meletakkan telefon. Fikiranya jauh melayang. Suaminya sering berada di luar negeri. Rumah mereka itu salin tak tumpah macam sebuah hotel. Diana cuba melupakan semua itu, dia mau melelapkan matanya lagi untuk menyambung kembali mimpinya yang terputus.
Jun 2004
Posted by Maya Brunei at 5:51 AM 0 comments
Labels: arkib cerpen
Aku Menangis Lagi
kepergian mu menyayat hati
ku tangisi tanpa noktah
kerana aku khuatir
tidak akan ketemu lagi
dengan mu Ramadhan mulia
walau kau berjanji
akan pasti kembali
menjenguk ruang dada ini
setelah kau tinggalkan berkelana
namun usia tidak pernah menjanjikan
apa kah kita akan bertemu lagi.
*
Alangkah bahagianya
jika Ramadhan sepanjang tahun.
*
Ramadhan kini datang lagi
menepati bagai dijanji
aku menangis lagi tanpa suara
sebak…hiba…terharu
dalam kesyukuran
anugerah Yang Maha Esa
meminjamkan usia
walau sedetik cuma
untuk membersih diri ini
spesies yang bernama manusia.
*
Ramadhan…!
kau akan pergi lagi
hingga sampai musim
datang lagi menunaikan janji
yang dikala itu
apa kah aku akan menangis lagi
atau cuma ditangisi…!
Ogos 2005
Posted by Maya Brunei at 5:31 AM 0 comments
Labels: arkib puisi
Takbir 10 Zulhijah
TAKBIR 10 ZULHIJAH
PEREMPUAN
Demi saja kaki melangkah
berguguranlah dosa-dosa se orang insan
bagaikan dedaun kering
ditiup angin berterbangan
begitulah janji Allah
buat muslimin muslimat
yang mengerjakan haji
rukun Islam ke lima
selaku tetamu Allah.
Nun di sana…!
berduyun saudara mara
sahabat andai…kawan dan rakan
menghantar…mengiringi
kepergian insan menyahut seruan Allah
dengan sebak di dada
sedih…terharu
bersama linangan air mata
dipanjatkan doa
agar selamat dalam perjalanan
menuju Tanah Suci…Mekah al Mukarramah
walau berpisah cuma sementara
tapi hati diguris resah…gundah…gelisah
cuma airmata dan doa
bisa mengiringi perpisahan
yang pastinya akan ketemu lagi
mohon restu dari Illahi.
LELAKI
Itulah diumpamakan
keriuhan sanak saudara
sahabat andai dan taulan
maupun teman dan rakan
memenuhi ruang lapangan terbang
seolahnya perkumpulan
di halaman rumah
menghadiri sebuah kematian
untuk di kebumikan
di mana asal kejadian.
PEREMPUAN
Satu demi satu jemaah
melangkah kaki kanan dengan tawakal
ke dalam ruang pesawat
untuk di terbangkan
ke Bumi Haram
Mekah al Mukarramah
bumi sejehtera…bumi berkah…bumi damai
kiblat muslimin muslimat.
Itu juga di ibaratkan
ruang pesawat
umpama sebuah keranda
dalam perjalanan
menuju ke tanah perkuburan
padang Arafah yang luas dan panas.
MUZIK SELINGAN………………………...
LELAKI
Perjalanan tetamu Allah baru bermula
di bumi Kota Madinah al Munawwarah
sebak terasa di dada
melihat Kubah Hijau yang damai
umpamanya menunggu kedatangan
di bawahnya bersemadi
seorang Nabi dan Rasul
kekasih Allah
pejuang agama Allah
bukan sebarang insan
insan utusan Allah
menjadi rahmat bagi seluruh alam
penyelamat manusia beriman
hingga ke hari kiamat.
LELAKI
Aku ziarah makam Nabi junjungan
sujud dan berzikir
bertasbih…bertahmit dan bertakbir
moga beroleh syafa’at Rasulullah s.a.w.
agar ringan seksaan
di hari akhirat nanti
air mataku tiris…titis
gugur bersama ketenangan
dalam kesyahduan mungucap salam
sejehtera buat mu wahai kekasih Allah.
MUZIK SELINGAN………………………..
PEREMPUAN
Aku yang kerdil dalam perjalanan
menunju Mekah al Mukarramah
Kota Mandinah semakin jauh ku ditinggalkan
kian dalam hati diguris pilu
namun apakan daya
sebagai tetamu harus mengambara
walau kaca-kaca kesedihan
menyucuk tajam
berdarahkan airmata suai-suai
namun Kota Madinah pasti ditinggalkan
walau terlalu berat dirasakan
dan menangisi waktu
aku yang kerdil ini belum tahu
bila waktu dan ketikanya
aku akan bertandang lagi
ke kota Nabi Junjungan
Madinah al Munawwarah.
MUZIK SELINGAN………………………
LELAKI
Hari ini Padang Arafah tumpat
di bumi Arafah insan kerdil berukuf
panas matahari membakar kulit
anginnya berhembus panas
debu-debunya berterbangan
singgah di tubuh insan kerdil
yang cuma berbalut
dengan dua helai kain putih
terasa dirinya sudah dikafankan
walau mampu berlari dan barjalan.
Apakah ini jelmaan Mahsyar…?
yang insan kerdil itu tidak terkecuali
akan berada ditengah-tengahnya.
Insan kerdil terus berzikir
memuji kebesaran Allah
bersama isak tangis hiba
memenuhi ruang khemah
bagaikan kanak-kanak damit
semua insan menangais
dalam khemah itu bersahut-sahutan
tapi…apa yang mereka tangiskan
di tengah padang pasir yang terik
siapa yang mati hendak ditangisi
siapa yang hilang
mau diraung panjang-panjang…!
PEREMPUAN
Mereka menangis bukan kerana kematian
tapi…kerana terkenangkan
dosa-dosa yang telah dilakukan
dan merasakan diri terlalu kecil
dan amat da’if
berhadapan dengan Allah
yang cuma dua helai kain putih
seolahnya sudah menjadi mayat.
Sambil mengharap sekubit keampunan
dan sekepal rahmat dari Tuhan
untuk kesempurnaan agama
kecukupan nikmat
dan keredhaan Islam pegangan hidup.
‘Hari ini Aku sempurnakan agama kamu
dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu
dan Aku redha Islam agama kamu’.
MUZIK SELINGAN………………………..
LELAKI
‘Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu
Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu
hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu
Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu
hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu
sesungguhnya segala pujian
nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu.
tidak ada sekutu bagi-Mu.
Dengan berserah diri
terimalah kedatangan ku
ampunilah dosa-dosa ku
kurniakan padaku
haji yang ‘mabrur’.
MUZIK SELINGAN………………………..
PEREMPUAN
Tidak terasa senja berlabuh
mewarnai bibir langit kemerahan
pertanda wukuf sudah berakhir
namun perjalanan belum bernoktah
dengan rambut kusut masai
bersama wajah-wajah muram
seolahnya lepas diberi amaran
agar tidak mengulangi
segala kesalahan dan
dosa-dosa yang telah dilakukan.
LELAKI
Kini aku berpijak di bumi Muzdalifah
bermalam sambil mengutip batu-batu
untuk melontar iblis terkutuk
yang coba menggoda
merayu dan memujuk
agar Nabi Ismail jangan dikorbankan.
MUZIK SELINGAN………………………..
PEREMPUAN
Perjalanan diteruskan lagi
di bumi Mina
aku berjuang di celah lautan manusia
berkorban lambang sebuah ketaatan
melontar tiga jamrah.
…Jamratul Ula...!
…Jamratul Wusta…!
…Jamratul Aqabah…!
LELAKI
Tugu kecundangnya iblis laknat Allah
menghalangi korban yang hendak dilakukan
oleh Nabi Ibrahim alaihissalam
yang bukan calang-calang
Allah menguji keimanan
betapa si ayah hendak mengorbankan
Nabi Ismail alaihissalam
seorang putera kesayangan
lantaran patuh pada perintah Allah
Nabi Ibrahim alaihissalam pasrah
redha menyerah dan berserah
perintah Allah tidak dibantah
iblis laknat Allah kecewa
namun dendam diteruskan jua
membakar ketaatan manusia
yang patuh pada suruhan Allah.
PERMPUAN
Lantas iblis memujuk si ibu
dengan palbagai rayu
agar penyembelihan jangan dilakukan
namun ketaatan pada perintah Allah
si ibu tidak gentar hasutan iblis
malah melontarnya
dan iblis laknat Allah gagal lagi.
LELAKI
Kemudian memanisi si anak
agar menolak perintah Allah
Nabi Ismail melontar dengan batu
iblis jadi buta dan tewas lagi
dengan mata yang buta sebelah
akibat limparan Nabi Ismail
iblis kecewa dan lari
si anak berserah diri untuk dikorbankan
perintah Allah segera dilaksanakan.
MUZIK SELINGAN………………………..
PEREMPUAN
Di teruskan lagi perjalanan
ke Mekah al Mukaramah
melaksanakan tuntutan yang diwajibkan
bertawaf haji di Baithullah…Rumah Allah
dengan penuh keimanan
memuji kebesaran Allah
ketaqwaan dan kesyahduan
berserah diri pada Allah
moga diampunkan
segala dosa dan kesalahan.
LELAKI
Kemudian langkah dilanjutkan
untuk bersaie dari Safa ke Marwah.
aku berlari-lari anak
mengimbau perlakuan Siti Hajar
mengharap walau setitis air
untuk si anak kecil yang kehausan
hibanya hati si ibu bukan kepalang
berlari dari bukit Safa ke bukit Marwah
mengejar percikan air
yang nyata dan jelas
di tanah kering dan kontang
namun cuma bayangan
dari sebuah keinginan
untuk si anak yang keperitan.
PERMAPUAN
Tangisan si anak semakin memilukan
si ibu hampir berputus asa
namun Allah mengetahui segalanya
sekunyung melaikat menebarkan sayapnya
terpancarlah air zam zam
dari bumi yang kering dan tandus.
MUZIK SELINGAN………………………..
LELAKI
Tidak terasa masa berlalu
hari bertukar ganti dengan laju
setiap yang pergi akan pulang
Mekah al Mukarramah…bumi haram
terpaksa ditinggalkan
walau terasa berat kaki melangkah
betapa terharunya melimpasi garis perpisahan.
PEREMPUAN
Namun apapun yang dilakukan
saat dan waktunya sudah ditetapkan
adat tetamu akan pulang jua
setelah beroleh kejayaan
yang tidak dapat dijual beli
melainkan dengan taqwa dan iman.
LELAKI
Di lingkaran Hijir Ismail
di bawah pancuran emas
aku menadah tangan tanda bersyukur
memohon kehadrat Illah
dengan mata yang berlinangan.
PEREMPUAN
Yaa…Allah…! Yaa…Rabbi…!
janganlah Engkau jadikan
tawaf dan hajiku ini
sebagai kali penghabisan
jika sekiranya ditakdirkan
inilah kali yang terakhir
maka aku pohonkan
syurga sebagai gantinya
amin…amin…yaa Rabbalalamin…!
MUZIK SELINGAN………………………..
ALUNKAN BACAAN TALBIAH…BIARKAN…HILANGKAN…
LELAKI
Semakin jauh Kota Suci ku tinggalkan
air mataku tidak dapat dibendung lagi
sedih…terharu…
terpeta jelas Rumah Allah
dikelilingi insan beriman
yang aku berada di dalamnya.
PEREMPUAN
Dengan pandangan mataku yang terbatas
beransur lenyap kota berkah
Mekah al Mukarramah
yang tinggal cuma
bayangan terpeta dalam hatiku
yang tidak akan padam
selagi jantung berdegup…nadi berdenyut
aku akan datang lagi
Insya-Allah…!
untuk bertawaf…bersaie…
Allah hu akbar…! Allah hu akbar…! Allah hu akbar…!
ALUNKAN SUARA TAKBIR AIDILADHA…HILANGKAN…….
MUZIK PENGENALAN (PENUTUP)……………………
ANN: …berakhirnya sebuah Langgam Suara berjodol ‘Takbir 10 Zulhijah’ tulisan Maya Brunei…….
Terbitan Nasional FM Radio Brunei sempena
Aidiladha 1429H/2008M.
Posted by Maya Brunei at 5:06 AM 0 comments
Labels: arkib langgam suara
Tuesday, November 3, 2009
Senario
yang dinamakan matawang
tidak kira dibaca dalam bentuk apa
apa kah dia dollar…!
ringgit kah dia...!
mau pun ryial...!
semuanya serupa
nilainya pun sama
ingin memilikinya
itu yang utama.
*
Biar dengan tangisan
walau cuma sebuah lakunan
orang tua atau kanak-kanak
meminta simpati
dibalik kata-kata
‘fi sabilillah...!’
*
Mau diri fikirnya apa
bagi atau tidak
ikhlas atau terpaksa
atau cuma dengar
lihat lalu pergi.
*
Itu fenomena biasa
telatah yang bagai disusun
di tangga Jabal Rahmah
senario yang tiada sudahnya
beraneka gelagat dan gaya
mengharapkan sesuatu
jadi mata pencarian
yang dinamakan sedekah
walau dipaksa
kanak-kanak damit
yang tidak mengerti apa-apa
menangis kepanasan
manakala belia dan orang tua
pamir kecacatan
minta simpati
dibalik kata-kata
‘fi sabilillah...!’
*
Esok atau tahun depan
akan masih serupa
nyanyian mau pun perlakuan
akan tetap sama
melekat di kuping telinga
“fi sabilillah…!”
Mei 2005 : Jabal Rahmah
Posted by Maya Brunei at 5:56 AM 0 comments
Labels: arkib puisi
Bertali Arus
Bagaikan arus deras berputar
di pusat dunia nan luas
penuh ketenangan dan ketaqwaan
bersama kesyahduan mengesakan Tuhan
punya langit dan seru sekalian alam
wajah-wajah sayu menbilang dosa
sambil memuji kekuasaan Illahi
bertawaf di Rumah Allah
mohon ampun dosa-dosa yang dilakukan.
*
Rumah Allah dikelilingi manusia beriman
kiblat muslimin muslimat
padanya tersisip ‘Hajar Aswad’
dihias batu-batu permata
langsung dari syurga.
Mekah Mei 2005.
Posted by Maya Brunei at 5:36 AM 0 comments
Labels: arkib puisi
Rindu Yang Terubat
Perjalanan jauh mengambil waktu yang lama lebih kurang sebelas jam itu cukup membuatkan badannya terasa letih, itu belum termasuk satu jam atau lebih ketika singgah di Sharjah sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah.
Duduk yang begitu lama dan terhad dalam pesawat memang terasa rimas. Sengal, urat-uratan macam berkumpal, tulang temulang rasa berlipat-lipat cuma sesekali bangkit dari kerusi untuk pergi ke bilik kecil kerana hendak melepaskan hajat. Selesai hajat duduk semula dan jika hendakkan minuman sejuk atau panas, tekan saja butang kemudian pramugari akan datang.
Haji Mahbob melontarkan pandangannya ke luar melalui jendela pesawat, yang nampak cuma tompokan awan putih terapong-apong bagaikan kapas berlatar belakangkan langit warna biru amat cantik dan menakjubkan. Sesekali pesawat bergegar akibat terlanggar tompokan awan yang terapong indah itu.
‘Masya-Allah…’ Bisik hati kecil Haji Mahbob.
Itu dalam perjalanan di angkasa lepas. Sekarang Haji Mahbob dan isterinya serta para jemaah sedang menempuh satu lagi berjalanan di darat yang juga agak lama kira-kira lima jam tidak termasuk waktu rehat dan solat di masjid-masjid sepanjang jalan dari Jeddah ke Madinah itu.
Setiap apa pun yang kita lakukan tidak akan luput dari pengorbanan. Namanya wang ringgit, maupun masa apa lagi tenaga akan pesti terkorban untuk mendapatkan keredaan Allah dalam beramal ibadat. Walau harta tinggi mengalahkan gunung, jika tidak punya kerinduan ke arah itu semuanya akan hilang begitu saja dan tidak punya makna apa-apa.
Rindu terhadap Madinah masih belum terubat. Cinta pada Mekah juga belum bersahut. Bagaimanapun Haji Mahbob dan isterinya Hajah Saimah sedang dalam perjalanan menuju Kota Madinah al Munawwarah untuk melepaskan rindu masing-masing yang selama ini belum tertunai.
Bertali arus keinginan Haji Mahbob untuk mengunjungi Rumah Allah yang menjadi kiblat muslimin-muslimat sedunia itu buat kali ketiganya. Lima tahun dulu Haji Mahbob bersama isterinya pernah mengerjakan ibadah umrah, dari sejak itu Haji Mahbob masih diburu perasaan takut kerana peristiwa kepulangan mereka ke tanah air tergendala disebabkan lemahnya pengurusan agensi yang berkenaan.
“Bila lagi kapal terbang kitani kan datang bang aji…?”
“Ucapan abisdia di Brunei sudah membuat persediaan kan mengambil kitani.”
“Banarkan tu bang aji…?” Isterinya Hajah Saimah seakan tidak percaya.
“Berdoa saja kitani…” Haji Mahbob menyamankan hati isterinya.
“Mudahan saja banar kalau inda, dada tah kitani balik tu.” Hajah Saimah mula menangis. Ini yang menyebabkan Haji Mahbob menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu.
“Ada hikmah dibalik semua kejadian itu. Kamu dapat tinggal percuma enam hari di Mekah, itu bererti anugerah dari Allah untuk kamu.” Haji Borhan memberangsang semangat Haji Mahbob yang masih truma akibat kejadian itu.
Bas yang membawa jemaah seramai empat puluh lapan orang termasuk Haji Mahbob dan isterinya itu berjalan sederhana perlahan. Bas-bas lain yang lebih laju memotong dengan membunyikan hon silih berganti. Haji Mahbob terkejut menyebabkan kenangannya mengamparai bila mendengar bunyi hon itu, maklum saja di Brunei jarang mendengar hon yang berbunyi sekuat itu. Kalau ada pun maka akan berlakulah adegan terkam menerkam macam kucing kan berungkup.
Haji Mahbob memandang ke luar bas untuk menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan itu yang cuma nampak bukit-bukau yang gondong dan berbatu bata berwarna hitam kemerahan. Pokok-pokok kering macam tak bermaya yang lebih banyak warna putih dari hijaunya.
Kambing-kambing berkeliaran mencari makan, entah makanan bagaimana yang mereka kunyah atas padang yang kering dan berbatu itu. Anak-anak unta juga kelihatan berkejaran bermain adik beradik yang diperhatikan oleh ibu unta sambil menyusui anaknya yang tidak ikut bermain.
Hj Mahbob benar-benar keletihan dan mula hendak menerima lamaran matanya yang mulai redup itu tambahan lagi cuaca di luar amat panas. Sebenarnya Haji Mahbob bukan takut pergi ke Tanah Suci, tapi yang Haji Mahbob inginkan biarlah agensi yang mengendalikan pakej umrah maupun haji itu benar-benar punya rasa tanggung jawab jujur dah ikhlas kerana Allah. Haji Mahbob tidak ingin peristiwa yang dialaminya itu berulang kembali.
Tapi sayang Haji Mahbob gagal melayani matanya kerana berbagai kenangan datang menerpa dan berlegar di ruang kepalanya. Haji Mahbob teringat akan kisah Haji Borhan dua belas tahun lalu. Ketika itu Haji Borhan dan semua jemaah terpaksa menerima hakikat mereka dellay selama tiga puluh enam jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Semua itu terjadi disebabkan pesawat China Airline mendapat kemalangan ketika mendarat di Philippine yang sekali gus menghalang penerbangan pesawat Golf Air berlepas ke Brunei untuk membawa para jemaah terbang ke Jeddah. Kejadian itu berlaku pada tahun sembilan belas sembilan puluh lima.
Akibat dari kejadian itu pihak syarikat menawarkan kepada para jemaah samada mereka hendak balik ke rumah masing-masing atau tinggal di hotel sementara menunggu pesawat Golf Air itu tiba. Haji Borhan mengambil kesempatan ini untuk tinggal di hotel saja, walaupun jarak rumahnya cuma dua kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Itulah kali pertama dan mungkin terakhir Haji Borhan menginap di hotel dalam negera sendiri.
“Itu dalam negara…” Haji Mahbob semacam tidak menerima.
“Itu juga namanya satu hikmah yang Allah berikan padaku, andai kata kejadian itu tidak berlaku, sampai mati pun aku tidak akan pernah tinggal di hotel dalam negera sendiri”. Haji Mahbob tersenyum seolah dia berdepan dengan Haji Borhan waktu itu.
Terangkat ponggong Hj Mahbob apabila pemandu bas itu menekan break dengan mengejut yang mungkin pemandu itu mengantuk kerana kurang tidur. Hj Mahbob keluar dari alam flash backnya dan sekarang Haji Mahbob ujud di alam nyata bersama para jemaah yang lain di dalam bas itu.
Sekarang sudah banyak pilihan. Semuanya sudah diatur dengan baik oleh pihak yang berwajib. Jemaah cuma tinggal pilih mana satu agensi yang mereka suka dan rasa selisa untuk membawa mereka mengerjakan ibadah di Tanah Suci itu.
Haji Mahbob bukan pula truma atau menjadi satu ketakutan pada segala macam kejadian yang berlaku di Tanah Suci itu. Umpamanya ketika musim haji pada tahun dua ribu empat, lebih dari seratus orang jemaah terkorban akibat jambatan roboh ketika jemaah tengah melontar jumrah. Dan tahun berikutnya pula bangunan tempat jemaah menginap runtuh juga memakan korban yang banyak.
Sebenarnya begitulah kehendak Allah, walau di manapun kita berada namun yang sudah tersurat dan dinamakan takdir itu tidak akan dapat ditolak atau dielak. Cuma kita harus berhati-hati kerana dalam setiap saat apa-apa pun boleh berlaku. Oleh itu kita hendaklah berdoa setiap waktu memohon kepada Allah semoga kita akan sentiasa di dalam perlindungan-Nya. Amin…!
Bas meluncur laju bagaikan di tarik oleh besi berani agar cepat sampai ke Kota Madinah yang di dalamnya bersemadi jasad suci Kekasih Allah yang akan memberikan syafaat kepada umat-umatnya yang beriman. Memang tidak ada siapa yang dapat mendahulukan pada apa yang dikemudiankan oleh Allah, demikian juga tidak ada siapa yang dapat mempercepatkan pada apa yang dilambatkan oleh Allah.
Itulah Haji Mahbob bersama jemaah yang sekarang sedang dalam perjalanan ke Kota Madinah yang seolah-olah tidak sabar lagi untuk menziarahi makam junjungan mulia itu. Haji Mahbob berazam akan melupakan segala kejadian-kejadian yang pernah dialamainya yang membuatkan dia kaku sekian lama untuk menggerakkan kakinya ke Tanah Suci itu.
Kini debaran seakan debaran yang dirasakannya ketika bersanding atas pelamin bersama isterinya hampir empat dekad lalu, sudah beransur reda apabila ternampak menara Masjid Nabawi yang tersergam indah itu. Kubah Hijau yang tenang damai itu seakan melambainya cepat turun dan berzikir di bawahnya. Menitis air mata Haji Mahbob yang semacam tergambar wajah Junjungan s.a.w. di Kubah Hijau itu.
“Mengapa bang aji menangis…?” Haji Mahbob cepat menyapu air matanya.
Hajah Saimah nampak Haji Mahbob mengesat matanya. Haji Mahbob tidak terkata apa-apa kerana menahan perasaannya yang terlalu sebak. Tanpa diajak sama Hajah Saimah pula menangis tapi cepat disembunyikannya kerana terasa malu pada suaminya.
Sekarang rindu Haji Mahbob bersama isterinya Hajah Saimah terhadap Madinah terubat sudah dan cinta mereka kepada Mekah juga akan berbalas. Perjalanannya yang bermula dari bumi dan mengembara ke angkasa lepas, kemudian kembali dan merangkak semula di Bumi Haram kepunyaan Allah.
Itulah sebuah perjalanan yang terlalu mahal harganya dan tidak akan terbeli oleh yang dinamakan dollar…ringgit…mahupun riyal melainkan dengan iman dan taqwa. Kini kaki mereka telah berpijak di bumi berakah, dan sebentar lagi mereka akan bersimpuh di bawah kubah yang berwarna hijau itu. Allah hu akhbar…! Alhamdulillah…!
Namun perjalanan Haji Mahbob dan Hajah Saimah itu belum bernoktah. Lusa atau tolat mereka akan pergi dan meninggalkan Kota Madinah al Munawwarah yang kudus itu dengan berbekalkan rindu yang tak sudah, meneruskan satu lagi perjalanan ke Mekah al Mukarramah. Mudah-mudahan…! Insya-Allah…!
Madinah : Jun 2007
Posted by Maya Brunei at 5:23 AM 0 comments
Labels: arkib cerpen
Di manapun
Di mana pun kita berjalan
masih di bumi Tuhan.
*
Dalam hutan tersua harimau
di dasar laut ada jerung
tengah padang pasir
tentunya serigala yang lapar
di udara yang luas
ada tompok-tompok hitam.
*
Di mana pun kita berjalan
masih di bumi Tuhan
mohonlah perlindungan
dari Yang Maha Kuasa.
Posted by Maya Brunei at 4:59 AM 0 comments
Labels: arkib puisi