Monday, May 21, 2012

MESEJ BERGAMBAR



Isyarat mesej bergambar mobile Eman berbunyi.  Gambar yang tertera di skrin mobilenya itu telah mengheret ingatannya ke beberapa bulan yang lalu.




Walaupun Eman tidak perlu terkejut apabila melihat gambar yang dikirim oleh kawannya itu, sebagaimana terkejutnya dia seperti sekarang ini.  Eman terkejut bagaikan orang yang tidak pernah mengikuti kejadian semasa, umpamanya apa yang berlaku di Asia Barat khususnya di Semananjung Gaza, Palestin.  Tidak pernah membaca surat kabar, contohnya kemusnahan Gaza itu dikatakan hingga sepuluh kali gempa bumi.




Spontan Eman teringatkan dua orang remaja Palestin kira-kira lapan bulan yang lalu, tapi macam baru semalam Eman bertemu dengan mereka.  Kedua orang remaja Palestin itu kira-kira berusia awal dua puluhan. 




Hari itu adalah hari kedua Eman berada di Kota Madinah al Munawwarah untuk mengerjakan ibadah umrah.  Selesai menunaikan fardhu Isya berjemaah Eman bersama kawannya ustaz Zali pergi ke kedai buku untuk mencari buku Sejarah Mekah dan juga Sejarah Madinah yang tidak sempat dibelinya tahun lepas.  Alhamdulillah buku-buku tersebut masih ada.




Mereka beredar setelah membaharui wuduk yang sudah batal kerana dirujuh oleh anak-anak perempuan hitam yang lari lintang pukang cuba menyembunyikan diri mereka apabila ternampak petugas-petugas yang bila-bila masa saja akan merampas barang-barang dagangan mereka yang diletakkan di kawasan itu. 




Kawasan itu ditegah untuk berjualan, tapi larangan itu langsung tidak diindahkan oleh mereka, malah begitu ligat berkeping-keping wang riyal sempat masuk ke dalam kantung mereka sebelum mereka dihalau. 




Ada ketikanya tanpa disedari mereka itu memegang tangan kita meminta simpati dan mengharapkan kita akan membeli barang dagangan mereka.  Bagi kita orang-orang Brunei yang tidak begitu senang diperlakukan semacam itu, akan mudah mengundang rasa marah, kalau tidak ada rasa hendak marah pun kita terpaksa marah juga dengan tujuan agar mereka takut dan tidak akan berlebih-lebihan memaksa kita. 




Tapi sebaliknya apa yang kita lakukan itu seolahnya mendorong mereka untuk memujuk kita pula.  Itu baru bab pujukan dalam berjualan, menghulurkan tangan meminta sesuatu itu lain cerita.




Keadaan seumpama itu sudah tidak asing lagi, baik orang-orang yang berjualan mahupun orang-orang yang ditugaskan untuk menghalau mereka kelihatannya sama saja.   Petugas-petugas itu menghalau penjual-penjual umpama menghalau kucing-kucing liar agar tidak berkeliaran di hadapan rumah, atau dengan kata lain…macam menghalau lalat-lalat yang hinggap di atas makanan yang dijual di Pasar Malam, Gadong.  Kan contoh…!


Bagi penjual-penjual yang dihalau itu pula cuba berlari dengan derasnya seolah pelari yang baru berlepas dari garisan permulaan sambil ketawa dan berteriak-teriak. Tapi tidak lama lepas itu mereka akan kembali lagi dan meletakkan semula barang-barang dagangan mereka itu di tempat yang sama.




            “Kami dari Palestin…”  Sahut remaja Palestin pertama dengan ramah, Eman masih ingat dengan jelas wajah kedua-dua remaja Palestin itu.




Remaja Palestin pertama itu menjawab dalam bahasa Inggeris, oleh itu tidak payahlah ustaz Zali menterjemahkannya untuk Eman.  Uztaz Zali seorang Guru Ugama yang boleh berbahasa Arab, baru saja menamatkan tempoh perkhidmatnnya setahun yang lalu.  Sekarang ustaz Zali menjadi pendakwah bebas yang berwibawa untuk menarik saudara-saudara baru ke dalam Islam.




Eman semakin bersemangat bertanya hinggakan kedua-dua remaja Palestin itu berebut-rebut untuk menjawabnya, apatah lagi apabila remaja Palestin itu mengetahui mereka berdua datang dari Negara Brunei Darussalam yang cuma mereka dengar mengenai kekayaan dan keamanannya, tapi langsung tidak tahu di mana letaknya bumi Brunei Darussalam.   




            “Syukurlah tuan-tuan sudah merdeka, apalagi kemerdekaan itu diperolehi dengan aman.”  Remaja Palestin kedua pula bersuara dan berhenti sebentar kerana membetulkan sahalnya walaupun lilitannya masih kuat.


Mengusai sahal seumpama itu sudah menjadi kebiasaan ataupun tabiat bagi mereka walaupun lilitan sahal mereka itu belum kendur tapi mereka akan membukanya dan melilitnya semula.  Kemudian remaja Palestin kedua itu menyambung kata-katanya.




“Tidak seperti kami yang terus berjuang tapi hasilnya tidak tahu bagaimana.”   Remaja Palestin kedua itu melepaskan rintihan yang selama ini cuma tersimpan dalam dadanya.   




            “Kami sudah merdeka 25 tahun…”  Ustaz Zali mencelah.




Ustaz Zali memang pendiam dan jarang bercakap…namanya ustaz.  Kerana dia tahu banyak bercakap itu akan banyak pula silapnya, banyak silap tentunya banyak dosa dan seterusnya banyak dosa itu akan pergi ke N****a.   Barang dijauhkan Allah…


            “Kami tidak tahu bila akan menikmati kemerdekaan itu.”  Remaja Palestin pertama pula melepaskan kelohannya.   Pengelaman perang membuatkan mereka lebih dewasa dalam percakapan dari usia mereka yang sebenarnya.




            “Nyawa orang-orang Yahudi lebih berharga dari nyawa kami, satu nyawa orang Yahudi melayang akan ditebus dengan seratus nyawa kami orang-orang Palestin, itupun masih belum mencukupi.”  Luahan hati remaja Palestin kedua sambil menarik nafas panjang, dan nafas itu bila-bila masa saja akan berhenti jika mereka berada di Palestin sekarang.


“Kami akan terus berjuang walau cuma dengan beberapa ketul batu yang dapat kami lemparkan ke kereta kebal mereka.”  Sambung remaja Palestin pertama. 




Apa yang dikatakan oleh remaja Palestin pertama itu memang terbukti, mereka cuma melempar dengan batu atau apa saja kepada musuh mereka walaupun lemparan itu tidak memberi bekas apa-apa kepada objek yang dilempar, malah sebaliknya anggota tubuh badan mereka pula yang akan berkecai apabila lemparan itu dibalas dengan logam berapi dari senjata musuh yang tidak pernah kenal apa-apa sama seperti tuannya juga.




            “Entah-entah kami cuma akan menikmati kemerdekaan apabila kami mati nanti.”  Celah remaja Palestin kedua yang sepertinya berputus asa dengan senyuman yang hambar, sehambar cita-cita dan perjuangan mereka selama ini.




Perbualan Eman dan ustaz Zali dengan ke dua remaja Palestin itu terhenti kerana laungan azan Isya’ sudah berkumandang.  Begitu sayu dan syahdu seruan Allah…bergema di ruang angkasa Masjid Nabawi yang mulia itu, meresap ke dalam urat saraf setiap muslim yang mendengarnya.  Itulah Madinah…Kota Nabi, di mana Jasad Kekasih Allah itu bersemadi di dalamnya.




 Eman dan ustaz Zali bersalaman sebelum mereka berpisah, kedua remaja Palestin itu juga beredar dan seterusnya menghilang di celah-celah orang ramai di kawasan Masjid Nabawi yang luas…indah dan tenteram itu.




Sedang Eman melayari ulang tayang rakaman perbualan mereka dalam benaknya, tiba-tiba isyarat mesej mobilenya berbunyi lagi.  Kantung imbas kembalinya pecah terburai dengan sertamerta, cepat Eman menyambarnya tanpa menunggu bunyinya berhenti.  Mesej itu datangnya dari ustaz Zali.




            “Ada sudah gambar yang aku kirim tadi…?”  Cuma itu yang tertulis.




Eman sepertinya tidak percaya pada gambar yang dikirimkan oleh ustaz Zali itu ialah wajah salah seorang dari dua remaja Palestin yang baru sebentar tertera di skrin ingatannya.  Wajah remaja Palestin itu nampak tenang dalam menghadapi kematiannya walau seluruh tubuhnya berlumuran darah. 




Tentunya itu darah perjuangan yang ingin bebas dan merdeka.  Eman pasti semua itu adalah habuan selaku terima-balas dari sisa-sisa beberapa ketul batu yang telah mereka lemparkan kepada manusia yang bernama Yahudi yang bukan lagi bergelar manusia itu.




Sepatutnya Eman tidak menangis apabila melihat wajah dalam gambar itu, kerana wajah dalam gambar itu bukan miliknya dan bukan keluarganya, dengan kata-kata lain bukan apa-apa pada Eman.  Tetapi mengapa Eman merasa sebak dan terdorong hendak menangis…?  




Eman menatap wajah remaja Palestin itu yang seakan tidur dengan nyenyaknya dalam sebuah kedamaian. Benar dan tepat sebagaimana yang dikatakan oleh remaja Palestin itu, ketika berada di Bumi Madinah al Munawwarah.  Dan sekarang dia sudahpun menikmati kemerdekaan dalam kematiannya, apa yang diungkapkannya benar-benar menjadi kenyataan.  




Eman tidak mahu menatap wajah remaja Palestin yang menyayat hati itu lebih lama.  Eman cuma dapat mendoakan remaja Palestin itu agar damai di atas ranjangnya yang abadi dan menghadiahkan al fatihah ke atas rohnya.  Amin…!








                                                               

TINTA EMAS WARGA EMAS



PASAR GADONG


PAGI




“Kau jangan terlalu baik hati Leha…”  Mak Nani punya mulut laser sikit.



            “Kita ini sudah tua Nani…apa lagi yang ada.”  Mak Leha bersahaja.  Nama penuh Mak Leha…Zaleha,  dan Mak Nani pula nama lengkapnya Rusnani.




Mak Leha tidak kisah dan tidak akan pernah kisah di kedai atau restoran manapun lakinya itu akan bersarapan.  Mak Leha juga tidak pernah bertanya malah tidak akan bertanya apa-apa kepada lakinya dengan siapa lakinya itu berjalan, untuk apa-apa yang hendak diapa-apakan umpamanya. 



Mak Leha membiarkan saja lakinya menghirup udara dengan bebas dalam usianya terkini, yang tidak pernah dirasakannya ketika mereka muda-muda dahulu. Kerana itulah Mak Leha menghadiahkan sebuah kebebasan untuk lakinya yang juga belum pernah diberikannya sejak mereka bertahta sebagai suami isteri hingga ke saat ini.  (Waktu muda-muda dahulu dibungkus oleh rasa cemburu).



Kerana itu laki Mak Leha…Pak Hasan sudah pandai sembang-sembang di kedai kopi, tidak ada sebuah pun kedai kopi ataupun restoran yang berselirak di pesisiran jalan kecil kampungnya itu terkecuali dari kunjungannya.  Mak Leha percaya dan cukup kenal hati dan budi lakinya itu.   (Namanya suami isteri…).




Kiranya umur mereka dilanjutkan maka usia perkahwinan mereka akan genaplah empat puluh lima tahun tidak lama lagi.  Mungkin anak-anak dan cucu-cucunya telah pun merancang sesuatu untuk mengadakan hari ulang tahun perkahwinan mereka itu.



Pak Hasan baru lepas dua hari angka usianya tertulis enam puluh tujuh tahun, manakala Mak Leha sendiri sudahpun meraikan hari ulang tahunya yang ke enam puluh lima tahun minggu lepas.




            “Apapun usulnya kau harus hati-hati sikit, jangan terlalu memberikan kebebasan pada laki kau itu tanpa kawalan.”  Macam memantau kawalan harga barang alunan kata-kata Mak Nani itu.




Mak Leha yang selalu dingin, baik dalam percakapan mahupun berbuatan jarang sekali bersikap agresif.  Itu kelebihan Mak Leha yang tidak ada pada Mak Nani.  Dalam bab ini mungkin Mak Nani betul kerana pepatah ada mengatakan ‘orang lelaki itu umpama besi, walau berkarat sekalipun masih punya harga’.




            “Siapalah yang inginkan orang tua macam laki aku itu, sudah tak bertenaga lagi dan kurang pula segala-galanya, buka tutup kain pun tak larat.  Juntai sana juntai sini…”  Mak Leha senyum hingga nampak barisan gigi palsunya tersusun rapi.  Mak Nani faham apa yang dimaksudkan oleh kawan lamanya itu.



Itu perbualan Mak Leha dengan Mak Nani, kebetulan mereka bertemu di pasar ikan dengan disulami gelak ketawa yang berpanjangan, sesekali mengundang orang lalu lalang di pasar itu menoleh ke arah mereka yang akhirnya juga tersenyum simpul melihat gelagat dua orang warga emas yang cerah-ceria itu walau tidak nampak benda yang tersimpul.



Mak Nani kawan seperjuangan sehati dan sejiwa dengan Mak Leha, umur Mak Nani muda tiga tahun dari Mak Leha.  Tapi Mak Leha nampak lebih muda dari Mak Nani, barangkali sejak kecil hingga remaja dan sampai kini Mak Leha pandai jaga badan.




Sebelum pertemuan mereka itu Mak Leha sudah pusing keliling beberapa kali dalam pasar itu untuk membeli ikan yang terpaut di hati.  Tapi belum terjumpa ikan yang bagaimana hendak dibawa pulang, kerana setiap kali Mak Leha ke pasar, apa yang Mak Leha nampak muka ikan yang serupa itu juga. 



            “Kau ke pasar ni buat apa…?”  Satu pertanyaan entah sedar atau tidak dari Mak  Leha yang tidak disangka-sangka oleh Mak Nani.




            “Tentulah nak beli ikan, takkanlah nak beli kasut tumit tinggi.”  Mak Nani senyum.




Kali ini gigi palsu Mak Nani pula yang kelihatan, tapi kurang cantik susunannya.  Mak Leha senyum sama kerana dia tahu itulah jawaban Mak Nani yang terang-terangan menyindirnya.  Sekali gus Mak Leha tergamit untuk mengingati detik-detik indah pada zaman mudanya dahulu.




            “Rupanya kau masih ingat lagi dengan kasut kegemaranku itu Nani…”  Mak Leha rasa bangga kerana punya kawan yang masih ingatkan dirinya sampai ke kasut.




            “Mana boleh aku lupa.”  Mak Nani.


Mak Leha memang gemar memakai kasut tumit tinggi dan sesuai dengan badannya yang kecil molek dan lentik itu.  Tambahan pula jika memakai baju kebaya dan berkain lepas,  Mak Leha memang menepati gadis desa yang sejati.  Kerana itulah juga Mak Leha dimahkotakan dengan gelaran ‘Ratu Kebaya’ pada zaman sekolahnya dahulu.




            “Kau nak beli apa pula?”  Mak Nani.


            “Aku nak beli manik…!”  Mak Leha berseluruh.




Tanpa sedar mereka telah menghalang orang lain yang lalu lalang di lorong dalam pasar itu, maklum sajalah jika lama tidak berjumpa, suasana keliling pun tidak sempat hendak diambil kira. Mereka beredar ke tempat lain di sudut pasar itu setelah menyedari mereka menjadi penghalang kelancaran orang ulang alik dalam pasar yang riuh rendah macam ‘kaling karam’ itu.




            “Kau ada orang gajikah.”  Mak Leha menukar tajuk.




            “Itulah masalahnya…”  Mak Nani menekan sedikit nadanya.




            “Kau ini sejak dulu lagi hingga sekarang cuma masalah saja yang kau cakapkan, bila lagi kau nak berpisah dengan masalah?”  Macam marah alunan melodi Mak Leha.




“Hari itu aku ambil yang tua, sudahnya aku sendiri yang tidak berselera nak makan.”  Terbayang sejenak wajah pembantu rumahnya itu dimata Mak Nani.  Mak Nani bekerek.




            “Ambil yang muda…!” 




            “Lagi banyak masalah…” 




            “Mengapa…? 




“Belum sampai empat bulan sudah nak balik, alih-alih duit kita yang habis kerana tukar itu dan tukar ini.”  Lapang dada Mak Nani seolah-olah tidak ada apa-apa benda lagi di dadanya yang terbungkus dengan tudung mini talkung itu.




            “Kalau begitu jangan ambil orang gaji, macam aku…kalau ada rasa nak makan di rumah baru aku memasak.  Kalau tidak biar laki aku makan di luar dan aku minta tapaukan saja habis cerita.”  Mak Leha pula yang merasa lapang.



Itulah puncanya laki Mak Leha sudah pandai makan di luar.  Mak Leha pun sudah tidak minat lagi untuk memasak, cuma sekali sekala Mak Leha memasak jika terasa jemu dengan masakan tapau.



Bagi Pak Hasan makan di rumah dengan makan di kedai memang ketara bezanya, tapi nak kata bagaimana jika orang rumah tidak mahu memasak.  Mungkin juga ada benarnya Mak Leha sudah penat untuk memasak, kerana itulah tidak ada bantahan apa-apa dari Pak Hasan. 




Sesekali Pak Hasan merasa bosan juga makan di kedai yang sama berulang-ulang, tapi oleh kerana sudah terbiasa semacam tidak senang pula hidup seharian jika tidak makan di kedai, walau sudah terasa hambar.




RESTORAN TEPI JALAN


PAGI




            “Nampaknya kau tak berselera makan hari ini…?”  Tanya Pak Naim kawan rapat Pak Hasan yang hampir sebaya usia dengannya.




            “Tak ada tempat lain kah yang lebih sedap…?”  Pak Hasan sambil menghirup kopi tariknya yang cuma tinggal satu perempat itu. 



            “Kalau makan yang sama berulang-ulang tentulah tak sedap.”  Giliran Pak Naim pula yang menghirup habis teh halia aisnya yang baru kurang satu perdua itu.




            “Hari-hari lauk itu juga…gulaipun itu juga…”  Rungut Pak Hasan sendirian.




            “Aku rasa semua restoran di sini sudah kita kunjungi…takkan nak makan pun pergi ke Belait ataupun Temburong…!”  Pak Naim membasahi bibirnya yang masih ada rasa halia itu dengan ketulan ais di dalam gelasnya dan mengunyah yang selebihnya sebagai pencuci mulut.  Karup-karup…!




Pak Hasan sudah tidak ada selera lagi nak makan di luar, dia ingin makan di rumah seperti sebelumnya.  Makan di rumah nyaman…berselera dan tenang, tidak bercampur baur dengan jerit pekik serta riuh rendah orang ramai yang cuma memekakkan telinga.



Pak Naim bercadang hendak membawa Pak Hasan ke sebuah restoran yang dikatakan best untuk merubah selera. Sebenarnya Pak Naim belum pernah ke restoran itu walaupun sudah banyak restoran yang dikunjunginya.  Entah bagaimana pula Pak Naim terlepas ingatan pada restoran yang satu ini, mengikut kawan Pak Naim restoran ini baru saja dibuka minggu lepas.



            “Aku nak bawa kau ke sebuah restoran yang baru dibuka, di sana palbagai masakan ada…sedap-sedap, pelayannya pun boleh tahan juga…!”  Itu kata Pak Naim dari kata orang-orang yang pernah ke situ.




            “Kita bukan nak makan orang…”  Sahut Pak Hasan jujur.




            “Aku bukan bermaksud nak makan pelayan, tapi nak ubah selera...!”



Pak Naim yang sudah lama menjadi duda tua itu memang tidak ada masalah untuk terus melaram walau hingga dua puluh empat jam dalam restoran. (Kalau ada restoran buka sampai 24 jam).



 Tapi bagi Pak Hasan dalam dirinya masih ada tanggung jawab untuk berada di sisi seseorang yang dicintainya   Itu gamitan cinta dan kasih sayang serta luahan perasaan sebenar dari seorang suami kepada seorang isteri walau tidak begitu dimengertikan oleh seorang yang bergelar isteri itu.



Sebaliknya lain pula bagi Mak Leha dia merasakan dirinya itu sudah tidak lagi mempunyai keperluan yang tertentu kepada seorang lelaki tua yang bergelar suami itu. Di satu masa yang lain pula ada waktu-waktunya kehadiran lelaki tua itu dirasakan Mak Leha cukup merimaskan yang cuma baginya menjadi teman tidur di atas katil sambil menunggu sebuah kematian. 



Itu akhir sebuah perasaan Mak Leha ketika ini tanpa diketahui oleh Pak Hasan. Bagaimana pun Mak Leha masih ingat celoteh Mak Nani agar dia memantau kebebasan yang diberikannya kepada Pak Hasan itu.  Ini perlu dicampur tolak…dikali bahagi agar samajuganya seimbang.




RUMAH MAK LEHA


TENGAHARI




Hari itu masakan Mak Leha lebih sedap dari hari-hari biasa. Mak  Leha memang pandai memasak, kalau Mak Leha inginkan glamour sudah lama Mak Leha menerima tawaran untuk beraksi dalam ruangan mari memasak di televisyen.                                                                                                                                        



Tapi apa yang Mak Leha rasakan biarlah dia memasak untuk suaminya dan bukan untuk penonton televisyen yang hanya ghairah melihat cara memasak, tapi jarang yang mahu mempraktikkannya.



Hidangan istimewa sudah tersedia, baunya saja sudah cukup untuk menceritakan betapa enak dan nyamannya masakan Mak Leha hari itu.  Sebuah kereta yang agak berjenama juga tiba-tiba muncul dan berhenti di halaman rumahnya.  Mak Leha memerhatikan kereta itu dan ingin mengetahui siapa yang datang, tapi yang pasti bukan anak-anaknya apalagi suaminya.



Mak Leha tertanya-tanya apabila melihat seorang wanita pertengahan umur keluar dari pintu sebelah kiri dengan memakai kasut tumit tinggi seperti dia muda-muda dahulu.  Sudah menjadi hobi Mak Leha jika memandang seseorang itu dia akan melihat kasut terlebih dahulu.



Belumpun terjawab siapa wanita pertengahan umur yang misteri itu, darah Mak Leha menderu umpama hembusan angin pantai musim kemarau, seorang lelaki yang lebih tua dari wanita pertengahan umur itu keluar dengan segaknya memakai kaca mata hitam ala Panca Sitara sedang berjalan bergandingan begitu mesra, malah berpegangan tangan dengan wanita pertengahan umur itu bagaikan sepasang suami isteri.



Mak Leha tidak terkata apa-apa, badannya menggeletar…jantungnya berdegup kencang dan nadinya bedenyut cepat.  Lelaki tua itu walau berkaca mata dan memakai rambut palsu nampak macam orang muda, namun Mak Leha masih kenal lelaki tua itu ialah suaminya…Pak Hasan.



            “Kamu tak payah memasak…kami akan makan di Hotel…!” 




Pak Hasan tanpa menunggu jawaban dari Mak Leha langsung beredar meninggalkan Mak Leha dengan diikuti oleh wanita pertengahan umur itu sambil tangan Pak Hasan memegang erat  pinggang wanita pertengahan umur itu dengan diiringi gelak ketawa.




Bagaikan aliran lahar gunung berapi betul-betul mencurah di atas bumbunan Mak Leha yang membakar hangus seluruh jasadnya.  Wanita pertengahan umur itu menoleh dan sempat menghadiahkan sebuah senyuman sinis kepada Mak Leha.  Mak Leha luka parah oleh senyuman yang mengatil’ itu.  Mak Leha cuma mampu menjerit…!




            “Aaaa.......aaa…….aahhh…!..?..!...hah…!...”




Pak Hasan terkejut…gelas di tangannya jatuh ke dalam piring di hadapannya ketika baru beberapa teguk air putih mengalir di kerongkongnya.    Pak Hasan begitu berselera makan tengahari itu tanpa mengejutkan Mak Leha yang tertidur di meja makan itu kerana menunggu Pak Hasan pulang.




Kali ini Mak Leha pula yang terkejut, matanya masih berair.  Pak Hasan yang begitu dekat di hadapannya tidak jelas dalam pandangannya.  Cepat kedua belah tangannya menyapu dan mengosok-gosok matanya dengan hati yang berdebar-debar khuatir mimpinya sebentar tadi menjadi kenyataan.   


            “Dah lama abang sampai…?”  Mak Leha cuba menyembunyikan gelora dihatinya.   Tangannya masih menyapu air matanya walaupun air mata itu sudah kering.


            “Abang tak mau menganggu kamu sedang tidur…”  Mak Leha diam.  Degupan jantungnya beransur turun dan denyutan nadinya kembali normal. 




Mimpi Mak Leha sebentar tadi ada hikmahnya, Mak Leha berazam akan menjadi seorang isteri seperti dahulu dan sebelum ini.  Mak Leha juga tidak akan membiarkan suaminya makan di luar lagi, dia akan berkhidmat dalam semua hal.  Zahir dan batin untuk suaminya hingga ke hujung nyawa.  Itu tinta emas dari seorang isteri warga emas.




Beberapa saat kemudian alunan azan Zohor berkumandang.














           


                                                      

Saturday, April 7, 2012

Jabal Rahmah*


Jabal Rahmah
pertemuan
Adam dan Hawa.

Temukan aku
di sini
dengan
kekasihku.

Masjidil Haram

Masjidilharam
di dalammu ada
Ka’bah
pusat tawaf
di dalammu ada
Hajarul Aswad
tersisip
mutiara dari
Syurga.


Jabal Nur


Jabal
nur Islam
lekatkan
di dadaku
buat suluh
hidupku
dalam perjalanan
ke Syurga-Mu.


Mac 2012 MEKAH



Mac 2012 MADINAH



 

blogger templates 3 columns | Make Money Online