SUTERA BERDURI
Jalinan sutera tersimpul
mengeratkan persahabatan
menguatkan ikatan
dua insan jadi taruhan
dalam percintaan.
*
Simpulan sutera berduri
menguntai kasih terpaksa
nukilan sayang berpura
cinta ternoda
jasad terpenjara.
*
Hidup yang gerhana
harga diri sudah tiada
luka kian parah
bila akan sudahnya
sebuah sandiwara.
*
Namun kehendak Illahi
kuntum bunga mula berputik
danau melimpah ruah
teratai kembang indah
bertaut dua jiwa…2x
Lirik :Hj Jamaluddin Aspar
07 Februari 2008
06.35 am.
Friday, October 16, 2009
Sutera Berduri
Posted by Maya Brunei at 6:03 PM 0 comments
Labels: Arkib Lirik Lagu
Mawar Rimba
Murba sanggup berbuat apa saja kerana cintanya terhedap Melor. Jangan kan bangau putih berbintang tiga, kalau hendakkan harimau bintang sekali pun pasti akan ditunaikannya sebagai pra syarat meminang Melur yang tidak ada duanya di desa itu.
“Mengapalah bakal mertua aku ini hendakkan bangau putih berbintang tiga, kalau bangau setusut putih banyak, tak payah masuk hutan. Di round about tepi-tepi jalan pun banyak”. Murba bercakap sendirian. Bagaimana pun dia bersyukur juga kerana bakal bapa mertuanya tidak meminta Hotel Lima Bintang.
Murba mula meredah hutan belantara. Gunung didaki dan lurah dituruni, sungai diseberangi, danau diharungi, paya belukar dijelajahi. Namun apa yang dicari belum dijumpai. Apa lagi wajah bangau putih berbintang tiga, satu suara burung pun tidak kedengaran.
Murba heran juga di zaman IT ini pun ada orang tais liur kan bangau putih berbintang tiga..! Apa kah ini cuma dugaan atau benar-benar syarat yang diperlukan. Murba tetap cekal dan perjalanan harus diteruskan.
Hari semakin gelap. Cahaya matahari sudah ditutup oleh daun-daun lebar di hutan yang tebal itu. Murba perlu berihat untuk meneruskan perjalanannya esok pagi. Dia berteduh di sepohon pokok kecil tapi rindang. Kebetulan ketika itu hujan turun renyai-renyai disertai dengan warna-warna pelangi yang indah.
Murba bersandar di pokok itu. Tiba-tiba sebatang buluh runcing mencecah buah halkumnya. Di depannya terpacak seorang wanita berpakaian ala tarzan. Buluh runcit wanita itu bila-bila masa saja akan menamatkan riwayatnya jika dia bergerak.
Wanita itu sungguh cantik. Murba sempat berfikir mengapa dia berada di tengah-tengah hutan begini. Kalau pontianak pun tentu berpakaian serba putih berlumuran darah dan berkuku panjang. Bukan bersenjatakan buluh runcing.
Agaknya pontianak zaman IT ini sudah ada selera hendak tukar emej..!
“Siapa suruh kau masuk kawasan aku..?” Garang dan lantang suara wanita itu.
“Aku tersesat..!” Jawab Murba ketakutan. Siapa tidak takut kalau buluh runcing cucuk-cucuk di kerungkong. Sekali radak dia sudah menjadi mayat, jika salah-salah cakap dia pasti akan jadi aimulah.
“Bohong...! Kau tentu penyeludup…”
“Apa yang nak ku seludupkan, aku cuma bawa ketupat dan serunding ayam bekal aku masuk hutan ini. Lagi pun semua barang-barang ini dijamin halal tau..!”
“Aku bukan mempersoalkan halal haram..!”.
“Dah tu mengapa kau nak bunuh aku..?”
“Apa tujuan mu menceroboh kawasan aku ini..?”
“Aku belum lagi keluar sempadan, kalau kau tak percaya tengoh i/c aku”.
“Jangan macam-macam jika kau tak mau buluh runcit ini menembusi leher mu”.
“Kau ni perempuan kah atau lelaki..?” Murba acah saja tunjuk berani.
“Kalau sudah takut memang tidak kenal apa-apa”.
“Hari dah gelap macamana aku nak nampak”.
“Sepanjang hidup ku dalam hutan ini, barulah ini kali pertama aku bertangguh untuk membenamkan buluh runcing ini ke lihir orang macam kau..!”
“Kalau perempuan jangan kasar-kasar begini..!”
“Aku tidak kenal kelembutan..!”
“Orang perempuan lebih manis jika berpakaian kebaya atau baju kurang. Bukan macam ini haram tau...! Lainlah kalau kau ini betul-betul tarzan”.
Cepat pangkal buluh runcit wanita itu singgah betul-betul atas bumbunan Murba. Murba melintuk dan perlahan-lahan jatuh atas akar kayu yang timbul berlingkaran macam ular kekenyangan itu.
“Bang..!” Panggilan manja dari sebuah banglo kecil di sudut taman yang sangat cantik dan indah itu.
“Abang datang..!” Balas Murba.
“Minum bang..!” Mawar mempelawa.
Murba minum sambil memandang keliling. Burung-burung berkicawan dan berterbangan sebebas-bebasnya. Macam-macam burung ada di taman itu. Burung merak, burung rajawali, burung kakak tua dan banyak lagi yang seolahnya tempat itu sebuah taman burung.
“Sudah berapa lama abang tinggal di sini Mawar..?”
“Baru tiga purnama bang..!”
“Rasa-rasanya abang terlupa sesuatu”.
“Tentang bangau putih berbintang tiga..?”
“Sekarang baru abang ingat bila lagi Mawar nak berikan pada abang..?”
Mawar diam. Mawar juga ingat tapi apa yang hendak diberikannya kepada suaminya sedangkan bangau putih berbintang tiga itu tidak ujud dan tidak akan pernah ujud di dunia ini.
Mawar telah jatuh cinta pada Murba sejak berlakunya peristiwa dalam hutan itu dulu. Mawar terpaksa berbohong kerana ingin bersuamikan Murba, kerana itulah dia tidak membunuh Murba dan itulah helahnya. Mawar termengu sejenak.
“Aku datang ke sini untuk mencari bangau putih berbintang tiga”.
“Untuk apa..?” Wanita itu menengking.
“Aku sangat-sangat memerlukannya”. Balas Murba ketakutan.
“Kalau kau nak tau bangau putih berbintang tiga itu adalah milik ku”.
“Kalau macam itu aku beri kau wang yang banyak sebagai tukar gantinya”.
“Apa kau ingat aku ini mata duitan..! Di hutan belantara ini wang tidak ada nilainya lagi. Kau jangan cuba nak merasuah aku, semuanya itu kotor kau tau..!”
“Kalau begitu itu kau ini sebijilah orang sakai yang tak bertemadun..!”
“Sekali lagi kau cakap begitu, buluh runcit ini akan tembus di lihir kau..!”
Wanita itu menekan sedikit buluh runcitnya. Lihir Murba berdarah.
“Bagaimana kalau kita bermasyuarah..?”
“Aku tidak perlu semua itu…kau pembohong..!”
“Mana kau tau aku bohong..?”
“Orang macam kau semuanya penipu”.
Kenangan Mawar terbantut. Bunyi burung-burung berkicauan begitu bising. Itulah bunyi keaslian hutan yang belum tercemar dan dicemar oleh manusia perusak. Mawar serba salah. Selama ini dia berbohong hendak memberikan bangau putih berbintang tiga kepada Murba jika Murba bersetuju menjadi suaminya.
“Mawar masih ingat kah dengan perjanjian kita itu..?”
“Mawar ingat bang…tapi..!”
“Mawar jangan menangis itu adalah perjanjian kita”.
“Kalau begitu abang betul-betul tidak menyintai Mawar”.
“Abang tidak suka berbohong, abang cuma menyintai Melur. Abang lakukan semua ini adalah semata-mata kerana Melur..!” Murba cuba memulihkan ingatan Mawar kembali.
Mawar mengangguk. Bagaimana harus diterimanya kenyataan ini. Dia akan kehilangan Murba. Mawar serba salah. Tapi sekarang sudah tiba saatnya untuk dia berterus terang kepada Murba.
“Maafkan Mawar bang…selama ini Mawar berbohong pada abang”.
“Maksud Mawar..?”.
“Mawar tidak punya bangau putih berbintang tiga”.
“Jadi selama ini Mawar berbohong pada abang..?”
“Benar bang..!”
“Mengapa Mawar lakukan semuanya ini..?”
“Mawar benar-benar menyintai abang”.
“Kita terpaksa berpisah Mawar…cukup di sini pertemuan kita”.
“Jangan pergi bang..!”
“Abang tidak suka pada kebohongan dan kepura-puraan”
“Jangan tinggalkan Mawar bang…jangan..! Jangan pergi…abang…..!!!”
Mawar menjerit sekuat-kuatnya. Burung-burung berterbangan. Daun-duan berguguran satu demi satu melayang-layang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa di hutan belantara itu. Murba tidak pedulikan panggilan Mawar malah terlalu bernafsu untuk meneruskan langkahnya. Setapak demi setapak kakinya melangkah tapi tidak berganjak.
Badannya semakin lemah dan akhirnya dia tersandar di sepohon pokok. Sebatang ranting kering jatuh betul-betul atas kepalanya. Murba terkejut. Matanya liar memandang keliling hutan itu. Banglo dan taman yang indah sudah tidak ada yang nampak cuma hutan tebal semula jadi.
Perutnya terasa lapar. Cepat dia mengambil bekal ketupan dan serunding. Tapi bekalnya sudah habis. Murba mula sedar selama ini dia tertidur dan bermimpi, sudah tentu makanannya itu dimakan oleh binatang-binatang penghuni hutan itu.
Murba mengusuk-gusuk mukanya. Dia terperanjat bila merasakan diwajahnya tumbuh janggut dan jambang yang sangat panjang. Dia teringat pisau cukur yang ada dalam balataknya. Dia cuba mengambil. Kali ini dia benar-benar kaku dan hampir tidak percaya bahawa belataknya juga tidak ada, sudah hancur dimakan oleh anai-anai.
Spontan Murba teringat pada Melur, dia ingin meneruskan perjalanannya untuk mencari bangau putih berbintang tiga, tapi dia sudah tidak larat. Badannya benar-benar macam sotong. Dia ingin kembali ke kampung walau dengan tangan kosong.
Akhirnya Murba sampai juga di kampung halamannya. Murba sekali lagi macam tak percaya. Kampungnya sudah bertukar wajah. Tidak ada lagi pokok durian yang menjadi ranjang tupai jantan berkejaran. Tidak ada lagi pokok-pokok binjai, mambangan dan yang ketara pokok-pokok kelapa diganti dengan kondominium beraneka bentuk. Murba berdiri di antara elusi atau realiti.
Tiba-tiba sekelumpok kunang-kunang memenuhi ruang matanya yang membuatkan pandangannya kabur. Dalam kekaburan itu dia terbayang wajah Melur. Kemudian wajah itu beransur-ansur hilang bersama degupan jantungnya yang semakin lemah. Dalam kelemahan itu juga jelas raut wajah isterinya Mawar melambai-lambaikan tangan dengan senyum. Murba menjerit memanggil Mawar. Sepasang tangan lembut menguncang-guncangkan badannya.
“Mengapa abang pandang Mawar macam tu..?”
Murba memandang keliling. Badannya berpeluh dan nafasnya turun naik begitu kuat. Pandangannya kembali pada Mawar. Mawar merasa seram dengan pandangan suaminya itu.
“Jangan pandang Mawar macam tu bang, Mawar takut..!”
“Apa yang telah terjadi pada abang..?”
“Abang menjerit pasal itulah Mawar kejutkan abang”.
Murba kembali merabahkan badannya sambil memejamkan matanya. Sempat dia menikmati sejenak cebisan mimpinya yang indah sebentar tadi. Isterinya Mawar pula kini diselimuti berbagai tanda tanya.
Posted by Maya Brunei at 7:50 AM 0 comments
Labels: arkib cerpen
AKU
Hj Marwan tau, Hj Shukri pun tau. Semua orang tau mengucup Hajar Aswad itu sunat. Tapi Hj Marwan teringin juga hendak merasakan bagaimana sejuknya batu-batu permata dari Syurga itu.
Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mengucupnya yang kemudiannya diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda. Itu kata ustaz Zaki ketika menyampaikan taklimat kepada bakal-bakal jemaah haji sebelum berangkat menunaikan rukun Islam yang ke lima itu.
Hj Marwan menunaikan fardhu haji kali pertama lapan tahun dulu. Disebabkan kesesakan manusia dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di Tanah Suci untuk tujuan yang sama, maka Hj Marwan tidak berkesempatan untuk mengucupnya. Kerana itu dia berhasrat jika ada rezeki dia akan datang lagi.
Tapi yang anihnya kesasakan itu masih serupa dan sama dengan lapan tahun dulu. Hj Marwan merasakan seolah-olah dia masih berada diwaktu dia mengerjakan haji pertamanya dulu. Maha Suci Allah..!
Dia terkeluar lagi. Entah berapa kali sudah Hj Marwan terpelanting. Dia ingin menyampaikan hajatnya walau cuma sekali. Kali ini agak jauh kira-kira dua hasta dari Maqam Ibrahim yang juga dikerumuni manusia yang ingin menyaksikan sendiri tapak kaki seorang Nabi yang membangun Ka’bah seperti yang dikatakan oleh al Quran.
Hj Marwan tidak putus harap dia masih terkial-kial untuk sampai kesasaran yang tepat, apa tah lagi sais badannya yang kecil jika dibandingakan dengan orang-orang Arab dari pelbagai negera yang dua kali lipat dari dirinya.
Hj Marwan tercungap-cungap macam ikan tersadai di bibir pantai untuk mengimbangi pernafasan yang sekali gus menyerapkan nafas baru. Matanya berpinar-pinar melihat kerumunan manusia yang ingin mengucup Hajar Aswad itu.
Tiba-tiba dia terkejut apabila ditolak oleh seorang polis dengan kasar dan memaksanya beredar meninggalkan Maqam Ibrahim. Perlakuan kasar dan kurang sopan begitu memang sudah sebati dan tidak akan terpisah dari mereka. Itulah orang-orang Arab yang sebenarnya.
Dalam keadaan yang berasak-asak itu ada sepasang mata yang rakus memerhatikan gelagat Hj Marwan. Orang itu sedang membilang-bilang untung dan laba, bahawa orang tua ini adalah mangsa seterusnya dan berharap akan mendapat habuan yang lumayan.
"Perlu bantuan pak..?" Suara itu singgah di telinga kanan Hj Marwan.
"Bantu apa..?" Hj Marwan menoleh.
"Tadinya saya nampak bapak dalam kepayahan..?”
"Tak mengapa saya akan lakukan sendiri”.
"Tidak mungkin pak, orang-orang di sini galak-galak..!”
"Biasa saja kita kan sama-sama manusia juga".
"Bapak tadinya kan udah rasa yang bagaimana."
"Saya akan cuba lagi Insya-Allah..!”
"Percuma pak saya bisa menolong bapak jika kena dengan ongkosnya".
"Kalau pakai ongkos segala itu namanya bukan menolong, tambahan lagi pertolongan yang begituan ngak ada ikhlasnya". Hj Marwan meminjam sedikit bahasa
orang Indon itu.
"Namanya juga cari makan pak".
"Betul...tapi tempat yang sebegini mulia, adalah tidak wajar untuk kamu perbuat itu semua".
"Ini kan halal pak saya tidak menipu, kita bikin persetujuan bersama. Jadi di mana salahnya..?"
"Menurut kamu memang begitu bisa-bisa halal segala".
"Lalu menurut bapak yang bagaimana..?"
"Kalau tadinya kamu kata ingin menolong, kemudiannya menghendakkan imbalan itu kan sudah satu penipuan”.
"Wah...! Bapak kaya kiayai aja..!”
"Lebih baik kamu beredar sebelum saya panggil polisi".
Pemuda Indon itu akur, dengan rasa hampa beredar meninggalkan Hj Marwan yang tidak dapat digodanya. Dia akan terus mencari dan menggoda orang lain supaya masuk ke dalam jebaknya. Apa kah orang seperti ini juga boleh dinamakan 'manusia iblis...!'
“Lebih baik kita balik ke hotel dan berehat, nampaknya kita belum ada rezeki”.
“Tapi aku mau mengucupnya..!”
“Kita ke sini bukan nak mengucup Hajar Aswad itu”. Kata Hj Shukri apabila dilihatnya Hj Marwah semakin lusuh dan tidak bermaya.
Hj Marwan tidak mengindahkan nasihat Hj Shukri itu, sebaliknya mengumpulkan tenaganya dan berazam Hajar Aswad akan dapat dikucupnya. Baru saja dia melangkah tiba-tiba dia terpandang seorang tua bongkok sedang mengucup Hajar Aswad dengan begitu tenang dan selisa.
Orang tua bongkok itu terlalu kurus, tapi berjaya mencium dengan tidak payah bertegang tulang jika dibandingkan dengan dirinya yang berbadan sasa dan bertenaga itu. Apa kah dosanya yang menyebabkan dia terhalang dari mengucup Hajar Aswad yang mulia itu. Tiba-tiba orang tua bongkok itu sudah lenyap dari pandangannya.
Kemana orang tua bongkok itu pergi..?
Mengapa dia menghilangkan diri..?
Hj Marwan mula mencari orang tua bongkok itu dalam kepadatan manusia yang tidak berminat langsung hendak menghiraukan hal orang lain, kerana masing-masing dengan urusan sendiri yang cuma satu, iaitu berurusan dengan Allah.
Hj Marwan liar merakam setiap wajah yang terdampar dipandangannya, namun wajah itu belum juga ditemuinya. Dia ingin bertemu dengan orang tua bongkok itu untuk mengetahui apakah rahsia yang ada padanya sehingga dia nampak tidak bersusah payah seperti orang lain.
Pancaran matahari waktu Zuhur itu membuatkan lantai Ka'bah memantulkan cahaya begitu menyilaukan mata. Panas semakin terik menyebabkan Hj Marwan terasa lemah dan tidak berupaya lagi untuk mencari orang tua bongkok yang penuh misteri itu.
Akhirnya Hj Marwan tewas. Dia dan kawanya Hj Shukri menyandar di tiang tangga pintu al Fath sambil melemparkan pandangannya ke arah Ka'bah. Panahan cahaya lantai Masjidil Haram itu menembusi ruang mata hitam Hj Marwan yang menyebabkan matanya berair dan pandangannya mulai kabur.
"Asallam mu alaikum warahmatullah..!"
Hj Marwan memberi salam ke kanan dan ke kiri. Alangkah terkejutnya apabila orang tua bongkok yang dicari-carinya itu, duduk di sisinya sedang berzikir dan sesekali melerek pandang ke arahnya.
"Kita ke Mekah ini hendak mengerjakan ibadat haji atau pun umrah, tapi bukan semata-mata untuk mengucup Hajar Aswad."
Orang tua bongkok itu memulakan kata-katanya tanpa memandang ke arah Hj Marwan. Spontan Hj Marwan teringat akan niatnya sebelum turun dari rumah, dia akan mengucup Hajar Aswad sepuas-puasnya. Belum sempat Hj Marwan membuka mulut bertanyakan sesuatu kepada orang tua bongkok itu. Tiba-tiba..!
"Masya-Allah..!" Hj Marwan jatuh dan bergolek di tangga Masjidil Haram itu apabila dilanggar oleh seorang entah berbangsa apa dan dari negera mana. Mujur Hj Shukri sempat memegangnya dari terhempas di lantai Masjidil Haram itu.
'Mimpi kah aku..?" Bisik hati kecil Hj Marwan yang dalam sedar dengan tidak telah berjumpa orang tua bongkok yang dicari-carinya itu.
"Kau mimpi lagi..?" Kata Hj Shukri macam tak percaya.
"Tidak...aku bukan mimpi..!" Hj Marwan ingin meyakinkan bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku dalam realiti.
"Kalau bukan mimpi apa namanya..?"
"Aku mimpi dalam sedar."
"Kita sekarang berada di Tanah Haram untuk mengerjakan umrah, bukan belajar bahasa sestera."
"Kerana itulah aku berkata benar."
"Peliklah kau ini..!"
"Tapi benarkan..?"
"Kalau pun benar aku yakin dia tidak akan muncul lagi".
"Bagaimana kau tau..?"
"Kau lupa apa kata-katanya seperti yang kau ceritakan pada ku".
"Apa harus aku lakukan..?"
"Kau sembahyang dua rakaat dan beristighfar banyak-banyak, nescaya kau akan mendapat petunjuk dari Allah..!"
Hj Marwan mengatur langkah sesudah membaharui udhunya dan terus menuju Hijir Ismail untuk bersembahyang sunat memohon keampunan dari Allah atas kelancangan mulutnya di tanah air sebelum dia melangkah ke Tanah Suci.
Lama Hj Marwan bertafakur. Tiba-tiba dia merasakan sesuatu. Badannya seolah-olah disirami air. Ia mendongak ke arah Pancuran Emas tapi tidak ada curahan air. Hj Marwan merasa kesejukan di bawah bayangan Ka’bah di waktu antara Zuhur dan Asar itu. Dia bangkit dan menuju Hajar Aswad yang seakan ditunda orang.
"Abang..!" Suara halus dan lembut kedengaran memanggil dari dapur.
Belum sempat Hj Marwan berbuat apa-apa, aku pula yang terkejut. Isteriku memanggil untuk berbuka puasa kerana waktu cuma tinggal sedetik dua lagi. Aku tidak dapat menolong Hj Marwan kerana panggilan isteriku itu benar-benar memecah buyung imiginasi ku untuk mengembara lebih jauh ke dalam diri manusia yang bernama Hj Marwan.
Aku meninggalkan Hj Marwan keseorangan. Begitu juga Hj Shukri turut lenyap dalam khayalanku. Biarkan Hj Marwan sendiri yang mencari punca mengapa dia gagal lagi walau pun sudah beberapa kali dicubanya.
Dan untuk Hj Shukri biarkan dia berzikir terus di Masjidil Haram itu. Insya-Allah aku akan mencarinya nanti setibanya aku di Tanah Suci tahun depan. Beberapa sa’at kemudian beduk menandakan berbuka puasa sudah kedengaran.
Mekah<>24.4.2006<>11.50 mlm.
Posted by Maya Brunei at 7:26 AM 0 comments
Labels: arkib cerpen
lima perkara
Aku menangisi zaman muda ku
setelah tua ku menerjang
aku mengeluh ketika sakit
kerana sihat ku terabai
aku menyesali masa lapang ku
ketika sebok melanda
aku sedar kekayaan ku
bila miskin membaluti diri.
+
Lalu hidup ini diapakan
teruskan
atau dihentikan
sebalum mati menoktah kehidupan.
Posted by Maya Brunei at 4:57 AM 0 comments
Labels: arkib puisi
HIDAYAH
Di mana hendak diletakkan hidup ini
jika masa depan penuh keliru
cuma dengan hidayat Allah
memberikan petunjuk
serta hadis dan sunnah Rasulullah
memberikan pedoman
menjalani hidup ini
agar penuh bermakna
seolah baru lahir
umpama bayi yang suci.
Posted by Maya Brunei at 4:39 AM 0 comments
Labels: arkib puisi
Disisimu
Aku ingin selalu di sisi-Mu
setiap detikan jantungku
setiap hembusan nafasku
aku mengingati-Mu.
*
Aku ingin menjamah-Mu
aku tau tidak semudah itu
tapi aku akan cuba memelok-Mu
dengan iman
dengan taqwa
bersama hati yang tulus.
*
“Ingat pada-Ku
Aku akan ingat pada mu”.
Posted by Maya Brunei at 4:01 AM 0 comments
Labels: arkib puisi
mimpikah aku
Kelmarin aku mati…lupa
hari ini aku hidup…seronok
esok aku dimatikan lagi…sakit
lusa aku dihidupkan kembali…azab
rasanya aku sudah mati
tapi macam hidup
barangkali itu mimpi
atau betul-betul mati.
*
Kalau mati itu serupa mimpi
alangkah indahnya
mimpi kaya…banyak wang
mimpi senang…sering ketawa
mimpi miskin…tak punya apa-apa.
*
Apa kah aku telah mati
atau masih bermimpi
atau kah aku mimpi
padahal sudah mati.
*
Jelasnya aku masih hidup
dan akan terus hidup
dengan lakonan realiti
lalu mempersiapkan diri
untuk perjalanan hari esok
kiranya aku benar-benar mati.
Posted by Maya Brunei at 3:27 AM 0 comments
Labels: arkib puisi
