SEBUAH DRAMA RADIO
BERJODOL : GARIS-GARIS SENJA
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PEMBUKAAN)…….
ANN: Bahagian……………menghidangkan sebuah drama radio berjodol
‘Garis-Garis Senja’ tulisan Mardinas, Brunei Darussalam……….
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…….
DILAH: (SEDIH) Aiman…hentikanlah bermain dengan benda najis dan haram itu, mak sudah letih dan tidak larat lagi memikirkan hal kau begini.
AIMAN: (PERLAHAN) Mak tak payahlah fikirkan Aiman…sama seperti ayah tidak pernah memikirkan tentang baik dan buruk diri Aiman.
DILAH: Tapi yang kau lakukan ini telah merusakkan dirimu sendiri dan akhirnya akan menjadi beban kepada masyarakat nanti.
AIMAN: Aiman tidak meminta diri Aiman menjadi beban kepada masyarakat mak…biarkan Aiman dengan diri Aiman sendiri, Aiman tidak ganggu orang lain…!
DILAH: (KUAT) Tapi mak tidak rela Aiman jadi macam ini…Aiman anak mak…! Aiman kena dengar cakap mak…!
AIMAN: Biarkan Aiman bebas dengan dunia Aiman sendiri mak…
DILAH: Tapi Aiman masih punya emak…jangan hancurkan lagi hati mak setelah dihancurkan oleh ayah Aiman.
AIMAN: (KUAT) Jangan sebut ayah mak…Aiman tidak punya ayah…ayah Aiman sudah mati…!
DILAH: Jangan menyalahkan siapa-siapa Aiman…manusia diberi akal dan fikiran untuk memilih baik dan buruknya.
AIMAN: Biarkan Aiman bergelomang dengan najis dadah…sama seperti ayah yang bergelomang dengan rasuah…!
DILAH: (SEDIH) Ya Allah…! Engkau berikanlah aku kekuatan untuk semua ini, jangan Engkau lemahkan iman dan semangatku…ya Allah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
FLASH BACK
MURAD: (KERAS) Sudah berapa kali abang katakan…abang sibuk dengan tugas-tugas abang…! Abang bukan membuang masa yang sia-sia, semuanya ini untuk keluarga kita juga.
DILAH: Itu saya tau bang…tapi keharmonian keluarga kita kian dekat ke jurang kehancuran…! Harta boleh dicari pada bila-bila masa bang.
MURAD: Semua ini adalah menentukan untung rugi dan senang susahnya kehidupan kita. Peluang keemasan cuma sekali dalam hidup Dilah…jika terlepas sampai matipun kita tidak akan mendapatnya.
DILAH: Berapa banyaknya harta pun tidak akan dibawa mati bang.
MURAD: (KERAS) Kita menggunakan harta semasa kita hidup…kerana itu kita harus mendapatkannya sebelum kita mati…!
DILAH: Tapi cara abang mendapatkan harta itu adalah salah…salah pada undang-undang negara apalagi undang-undang di sisi Allah.
MURAD: Abang tidak minta…mereka yang bagi, apakah itu salah…?
DILAH: Jika sesuatu yang diberikan dengan mengharapkan imbalan…itu namanya rasuah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
WATI: (PERLAHAN) Wah…! Jauh sangat kenanganmu mengembara hingga aku datang pun kau tak terasa…!
DILAH: (LEMBUT) Beginilah realiti kehidupanku sekarang…aku seakan tidak pernah ujud lagi di alam nyata. Apa yang aku lihat dan apa yang aku nampak seolahnya bayangan dan khayalan.
WATI: Bayangan maupun khayalan memang tidak dapat kita pisahkan dari dalam diri kita…tapi kenalah kita membezakan antara dunia realiti dengan dunia imaginasi.
DILAH: Sudah tiga tahun bang Murad dalam penjara…(BERHENTI)…
WATI: (CEPAT MEMOTONG) Selama itu apa yang kau rasakan…?
DILAH: Sama saja…malah aku semakin terhimpit oleh anak aku sendiri. Aiman sudah tidak dapat dibentuk lagi... malah semakin liar.
WATI: Kau jangan putus asa, Dilah…tabahkan hatimu semua ini adalah dugaan ke atas dirimu.
DILAH: Mengapa pada aku…tidak pada orang lain…!
WATI: Allah menjadikan kita dengan rezeki masing-masing…kalau bukan di dunia, pasti di akhirat akan kita diperolehi juga.
DILAH: (LEMBUT) Kalau aku tidak takut pada neraka…mau rasanya aku bunuh diri, agar segala penderitaan yangku tanggunga ini akan berakhir.
WATI: Astaghfirullah alazim…! Bawa mengucap dan bertaubat Dilah, semua itu bisikan iblis dan syaitan.
DILAH: Hidupku tidak seperti orang lain, Wati…suami dalam penjara kerana rasuah dan anak pula ketagih dadah, aku sudah tidak punya apa-apa yang hendak dibanggakan.
WATI: Bagaimana pun kau masih punya Aiman…dia mengharapkan bimbingan, walau sejauh mana dia tersesat…kau harus bawa dia kembali ke pengkal jalan.
DILAH: Aku seolahnya cuma ada jasad tanpa nyawa…aku tidak berdaya membawa Aiman pulang…aku kecewa, Wati…kecewa…!
WATI: Jangan mudah mengalah…kau harus mencari jalan lain, aku yakin jalan keluarnya masih ada.
DILAH: Saat-saat yangku lalui semakin senja…yang nantinya membuatkan aku meraba-raba di dalam gelap untuk hidup.
WATI: Kau akan memperolehi cahaya itu kembali jika kau kuatkan imanmu, hadirkan dirimu dengan ikhlas dan reda dalam mendekati Allah.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: (SEDIH) Berhentilah menyeksa dirimu sendiri Aiman…ingat pada Allah, dan kembali kepengkal jalan.
AIMAN: (SELAMBA) Mak relixlah dalam rumah ini…jangan hiraukan Aiman. Aiman tidak sesat mak…Aiman masih ingat pada Allah…!
DILAH: (KUAT SIKIT) Jadikanlah rumah ini syurga Aiman…bukan neraka…!
AIMAN: Ayah tidak pernah menjadikan rumah kita ini syurga mak…dia asyik mencari harta…kekayaan…! Hingga lupa pada tanggung jawabnya sendiri.
DILAH: Jangan sebut perkara itu Aiman…ayah Aiman berbuat semua itu adalah untuk kita semua.
AIMAN: (KUAT) Tapi ayah main kotor mak…!
DILAH: Apa bezanya dengan Aiman yang sudah terjerumus dengan dadah haram dan najis itu…apa bezanya…?
AIMAN: Sekarang ayah berada dalam penjara…sebuah syurga yang diimpi-impikannya. Aiman percaya ayah bahagia dalam syurganya itu.
DILAH: (KERAS) Jangan kata macam itu Aiman…apapun dia tetap ayah Aiman.
AIMAN: (PERLAHAN) Dadah adalah Aiman…dan Aiman adalah dadah, kami tidak boleh berpisah…(KETAWA)…
DILAH: (KUAT) Aiman…! Jangan melampau dan biadap pada mak…!
AIMAN: Maafkan Aiman mak…Aiman sayang pada mak…Aiman tidak mau semua ini berlaku, tapi kerana ayah mempersia-siakan hidup mak dan Aiman, biarkanlah Aiman seperti ini sampai mati mak…!
DILAH: Tapi Aiman ada mak…mak sayang pada Aiman, mak ingin melihat Aiman seperti dulu…! Sedarlah Aiman…
AIMAN: (LEMBUT) Tidak mungkin mak…tidak mungkin. Aiman sudah kotor seperti anjing…! (MENANGIS)…Dan rumah ini tidak layak untuk Aiman, mak…!
DILAH: (PERLAHAN) Aiman…kalaupun Aiman benci pada ayah…tapi ini mak…mak perlukan Aiman berada di sisi mak.
AIMAN: Mak…! Aiman lebih mencintai dadah dari segala-galanya mak…!
DILAH: Mengucaplah Aiman…! Istighfar banyak-banyak…
AIMAN: Aiman rela mati kerana dadah mak…!
DILAH: (MENJERIT) Aiman…!
SPOT: BUNYI SATU TAMPARAN…….
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: (MENANGIS) Aku sudah tidak dapat menahan perasaanku, Wati…
WATI: Aku cuma dapat menasihati kau Dilah…apapun bentuknya kau masih ada Aiman, dan kau masih belum terlambat lagi untuk membawa Aiman keluar dari kancah dadah itu.
DILAH: Aiman sudah parah, Wati…dia sudah sebati dengan benda haram dan najis itu. Aku seakan hilang semangat untuk meneruskan hidup.
WATI: Jangan cepat mengalah, Dilah…jangan mudah berputus asa, teruskan hidup kerana hidup itu perlukan pengorbanan, walau dengan darah dan air mata sekalipun.
DILAH: Terima kasih kerana banyak mendorong aku untuk menghadapi semua masalah ini, kalau tidak kau…aku sudah lama tewas…
WATI: Hari ini hari kau, Dilah…siapa tau hari-hari akan datang giliran aku pula. Aku cuma memberikan apa yang patut dan baik bagi kau, selebihnya terserah pada kau sendiri.
DILAH: Aku merasakan Aiman sudah tidak boleh berlembut lagi, Wati…aku akan buat sesuatu untuk menyedarkan dirinya. Aku tidak mau dia hilang dalam hidupku…(MENANGIS)…
WATI: Baguslah…asalkan apa yang akan kau lakukan itu nanti banyak memberikan kebaikan dari keburukan. Bertindaklah dengan bijaksana kerana Aiman darah dagingmu sendiri.
DILAH: Keluargaku sudah tercemar…aku ingin membersihkannya, dan aku akan bangun semula setelah aku jatuh.
WATI: Jangan pedulikan orang keliling kita…mereka cuma melihat tapi mereka tidak merasa, yang penting kita hendaklah berusaha dan selebihnya kita berserah pada Tuhan.
DILAH: Aku akan bangun selaku serikandi untuk melemparkan jauh-jauh titik-titik hitam yang mencemarkan keharmonian keluargaku selama ini.
WATI: Aku yakin kau akan berjaya, Dilah…kuatkan semangatmu…lontarkan jauh-jauh segala bisikan-bisikan yang negatif, kerana semua itu godaan iblis dan syaitan.
DILAH: Doakan agar aku berjaya, Wati…
WATI: Insya-Allah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
S/EFT: KETUKAN PINTU BEBERAPA KALI…(SELANG SELI)…….
AIMAN: (KUAT) Mak…! Buka pintu mak…! Jangan buat Aiman begini mak…! Tolong mak…!
DILAH: (MENANGIS) Maafkan mak, sayang…mak terpaksa buat Aiman begini, Aiman terlalu degil…!
AIMAN: (SEPARUH MENANGIS) Tolong Aiman mak…! Aiman tidak tahan…Aiman akan mati mak…! Keluarkan Aiman Mak…!
DILAH: (MASIH MENANGIS) Mak terpaksa buat begini, Aiman…mak tidak mau kehilangan Aiman sayang…
AIMAN: Mak tidak sayang pada Aiman…mak ingin Aiman mati…!
DILAH: Jangan kata macam tu, Aiman…kerana mak sayanglah mak tidak membiarkan Aiman ketagih benda itu.
AIMAN: (KUAT) Mak…! Lebih baik mak bunuh saja Aiman, mak…Aiman tidak tahan macam ini mak…(pause) Mak…! Mak…!
SPOT: BUNYI SIRIN POLIS SEMAKIN DEKAT…HILANGKAN…….
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
WATI: Kau telah berjaya melakukannya dengan baik, Dilah…
DILAH: (SEDIH) Apakah sekarang ini aku sedang menganiaya anak aku sendiri atau telah berbuat sesuatu demi kebaikan masa depan anak aku…?
WATI: Kau berbuat yang terbaik, Dilah…walaupun pada awalnya terlalu susah, aku yakin Aiman akan pulih nanti…walau memakan masa yang agak lama.
DILAH: Aku tidak akan menghitung hari walaupun tahun, Wati…aku sanggup menunggu waktu itu, kerana Aiman adalah segalanya bagiku.
WATI: Syukurlah kau belum terlambat…masa depan Aiman pastinya akan cerah, asalkan dia benar-benar menginsafi apa yang telah dilakukannya selama ini.
DILAH: Semua ini berpunya dari aku dan bang Murad…bang Murad sibuk mencari harta dan aku dengan tugas-tugasku.
WATI: Menyedari kesilapan sendiri itu bagus…tapi jangan terlalu mengukum diri keterlaluan, kerana terlalu rasa bersalah itu boleh membunuh segala usaha dan harapan.
DILAH: Aku sepertinya sudah jatuh ditimpa tangga, Wati…seolah-olah ketenangan dan kedamaian yang ada di dunia ini bukan milikku.
WATI: Semua itu sudah diatur oleh Allah…apa yang ada pada kita, baik dan buruknya sudah menjadi milik kita yang dinamakan takdir. Kita cuma berserah dan reda menerimanya.
DILAH: Kalau cuma bang Murad…aku boleh bertahan kerana aku masih ada Aiman, tapi yang ini kalau kurang-kurang iman…aku boleh jadi gila.
WATI: Kenapa kau tidak tunggu suamimu dibebaskan…?
DILAH: Aku tidak mau menambah beban dalam kepala aku ini…aku tidak mengharapkan kepulangannya itu.
WATI: Jangan kata macam itu, Dilah…dia masih suamimu dan sedikit sebanyak akan dapat membantu sekurang-kurangnya berkongsi rasa dengan masalah kau sekarang.
DILAH: Aku cuma mengharapkan agar kepulangannya nanti, tidak menjadi beban dalam hidupku, itu saja…lain tidak.
WATI: Bila suamimu akan dibebaskan…?
DILAH: (SELAMBA) Minggu depan…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: (PERLAHAN) Saya harap…kepulangan abang ini tidak akan menambah beban yang saya sudah tidak larat untuk menanggungnya.
MURAD: (SEDIH) Abang sudah menerima pembalasan dari apa yang telah abang lakukan, abang tidak menyangka begini hasilnya yang abang perolehi.
DILAH: (GERAM) Tapi saya yang menderita dan menerima azab yang lebih bang. Saya dicemuh orang keliling kita, saya malu bang…saya malu.
MURAD: Abang minta maaf…tiga tahun dalam penjara sudah cukup mengajar abang untuk menjadi manusia yang baik.
DILAH: Apa yang abang lakukan itu sudah banyak memakan korban bang, terutamanya anak kita…Aiman sudah jadi penagih.
MURAD: Abang sedar bahawa kerakusan dan ketamakan itu tidak akan mendatangkan apa-apa melainkan kehancuran. Abang akan memikul semua ini, kerana ini adalah tanggung jawab abang.
DILAH: Tidak ada erti apa-apa lagi…semuanya telah terlambat, kita cuma ada waktu untuk menghadapi kehidupan yang semakin pudar.
MURAD: Abang tidak akan membiarkan kehidupan kita pudar apa lagi hancur, abang akan menebus segala hutang piutang abang dalam kehidupan kita ini, asalkan Dilah memaafkan abang.
DILAH: (GERAM) Tidak ada satupun yang dapat dilakukan oleh sebuah kemaafan bang…jika kepercayan sudah hilang dan hancur bersama kezaliman manusia itu sendiri.
MURAD: Abang menyedari diri abang ini bersalah dan tetap bersalah dalam kehidupan kita. Tapi penjara sudah menebusnya…! Apakah Dilah tidak mampu melihat dan merasakan semua itu.
DILAH: Saya sudah lebih melihat apalagi merasakan semua kepedihan itu, namun hati saya tetap luka dan berdarah tidak ada hentinya bang.
MURAD: Abang bangga punya isteri yang cekal dan tabah menghadapi neraca hidup, dan mampu berjalan dan berlari walau dibebani dengan palbagai ranjau kehidupan.
DILAH: (SEDIH) Tiga tahun abang dalam penjara…setiap saat dan waktu saya bermandikan air mata. Perlakuan abang dan anak kita cukup untuk membunuh saya hidup-hidup…(MENANGIS)…
MURAD: Kiranya masa itu boleh abang putarkan kembali…abang akan menjadi manusia dan suami yang terbaik di dunia ini.
DILAH: (GERAM) Jangan mengharapkan embun di tengah hari bang…!
GRAM: MUZIK SELINGAN……
WATI: (PERLAHAN) Jangan terlalu degil, Dilah…
DILAH: Berapa berat mata memandang…berat lagi bahu yang memikulnya Wati, kepulangannya tidak membawa sinar apa-apa dalam hidupku.
WATI: Jangan macam itu, Dilah…apapun dia masih suamimu dan yang kau harapkan selama ini akan sama-sama membimbing Aiman.
DILAH: Dulu memang betul…tapi sekarang sudah bukan siapa-siapa lagi dalam hidupku, luka yang aku tanggung tidak akan sembuh sampai bila-bila dan kerananya juga Aiman jadi seperti sekarang.
WATI: Siapapun mungkin akan berperasaan begitu…tapi kau harus ingat juga bahawa syurga itu di bawah telapak kaki suami.
DILAH: (KERAS) Ini bukan soal syurga ataupun neraka, Wati…selama inipun dia seolah-olah meletakkan diriku di dalam neraka.
WATI: (LEMBUT) Jangan macam tu, Dilah…itu namanya derhaka, kau masih isterinya dan dia masih suamimu.
DILAH: Aku tau…tapi aku tidak lagi mengharapkan syurga di tapak kakinya, kerana semua itu sudah menjadi neraka.
WATI: Bertindak biar bijak…jangan terburu nafsu dan ikut perasaan, jangan biarkan iblis dan syaitan berbisik, halangi dia dengan istighfar banyak-banyak.
DILAH: Aku sudah cuba untuk melupakan semua itu…tapi kian melekat dan menambah lagi sakit jiwaku umpama baru semalam. Luka hatiku terlalu parah, Wati…apapun penawar tidak akan dapat menyembuhkannya.
WATI: (PERLAHAN) Oleh itu kau banyak-banyak mengingati Allah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
MURAD: (TERHARU) Aiman…! Ayah minta maaf…kerana ayah Aiman jadi begini, ayah sedar sekarang.
AIMAN: (PERLAHAN) Jangan ayah…jangan minta maaf pada Aiman, ayah tidak bersalah dan sebaliknya Aiman sendiri yang salah.
MURAD: Ayah terlalu leka dengan tugas-tugas ayah…ayah ghairah mencari harta dunia hingga ayah alpa untuk mencurakkan masa depan Aiman dengan baik. Ini kesilapan ayah, Aiman…
AIMAN: Jangan bimbang ayah…ayah tak perlu risau kerana pusat ini telah mengajar Aiman dan menyedarkan Aiman dari terus hidup dalam khayalan bersama benda-benda najis itu.
MURAD: Ayah akan menerima apa saja hukuman dari Aiman untuk ayah, atas kehilafan ayah itu.
AIMAN: (LEMBUT) Untuk apa ayah…! Sekarang Aiman sudah berubah…Aiman di depan ayah ini bukan seperti Aiman yang dulu, Aiman sudah berpijak di bumi nyata seperti yang ayah nampak.
MURAD: Syukurlah…apa yang ada di depan ayah ini, tidak akan ayah tukarkan dengan kesenangan dunia walau untuk seumur hidup ayah. Aiman lebih bermakna dari semua itu.
AIMAN: Terima kasih ayah…mak juga pastinya berharap begitu. Doa ayah Aiman harapkan demi kehidupan masa depan Aiman yang lebih bererti.
MURAD: Ayah akan menunggu kepulangan Aiman…kita akan jalani kehidupan yang baru bersama mak, ayah akan menjadikan keluarga kita harmoni kembali seperti sebelumnya.
AIMAN: Kirim salam pada mak…mak banyak berkorban untuk Aiman dan juga ayah, jangan sia-siakan hidup mak…
MURAD: Ayah berjanji akan membahagiakan mak Aiman…Insya-Allah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: Biarlah semua itu untuk Aiman…bukan untuk saya.
MURAD: Katakan apa yang patut abang lakukan untuk menebus kembali segala kesalahan dan kesilapan abang itu.
DILAH: Saya pernah mengharapkan kehidupan ini berkesudahan hingga ke senja, tapi sebelum waktu itu tiba…garis-garis tanpa diundang telah mencemarkan keindahan sinar merahnya.
MURAD: Apakah Dilah tidak dapat melupakan garis-garis itu, walaupun ianya sudah berlalu…?
DILAH: Garis-garis itu memang sudah berlalu…tapi hirisannya masih berbisa dan boleh membunuh bila-bila masa saja.
MURAD: Kita fikirkan teraju hidup Aiman di masa akan datang.
DILAH: Aiman sudah semakin dewasa…saya yakin jika dia pulang nanti, dia akan dapat mencurakkan masa depannya sendiri. Saya sudah terlalu letih untuk semua itu.
MURAD: (KUAT) Tapi abang sudah berjanji…!
DILAH: (KERAS) Tidak ada salahnya jika abang berjanji begitu…dan itu sudah semestinya abang kotakan sejak dulu lagi, bukan bermula dari sekarang.
MURAD: Tapi abang perlukan sokongan dari Dilah selaku emaknya…! Dunia seorang anak lebih dekat pada emaknya sendiri.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DILAH: Kata hati saya sudah bulat dan tidak boleh ditawar-tawar lagi bang.
MURAD: (PERLAHAN) Kalau begitu…apa tuju dan hala kita sekarang.
DILAH: Kita umpama dua garisan yang selari…sampai bila-bila pun tidak akan bertemu walau ke hujung dunia sekalipun.
MURAD: Lalu…untuk apakah kehidupan kita masa ini…?
DILAH: (KUAT) Kita terpaksa hidup dengan rezeki dan maut masing-masing…!
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PENUTUP)…….
ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Garis-Garis Senja’ tulisan Mardinas, Brunei Darussalam…….
PARA WATAK
1 MURAD
2 DILAH
3 WATI
4 AIMAN.
Monday, February 21, 2011
Garis-Garis Senja
Posted by Maya Brunei at 5:06 AM 0 comments
Labels: arkib drama radio
Sunday, December 19, 2010
DALAM HATI ADA RINDU
GRAM: MUZIK PENGENALAN (PEMBUKAAN)…..
ANN: Bahagian Melayu Radio Brunei menghidangkan sebuah drama radio berjodol ‘Dalam Hati Ada Rindu’ tulisan…..
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…..
RUSDI: (PERLAHAN) Ayah…mengapa ayah lakukan semua ini..?
SALIM: Ayah lakukan ini adalah untuk kebaikan kamu adik beradik.
RUSDI: Untuk apa lagi ayah…selama ini ayah telah pun memberikan yangterbaik untuk kami berdua.
SALIM: Itu betul…(pause) Tapi ayah merasakan perjalanan hidup ayah sekarang ini tidak begitu tenang.
RUSDI: Apa maksud ayah..?
SALIM: Sebelum ayah menutup mata…ayah ingin membahagikan semua harta ayah kepada kamu berdua, supaya kamu tidak bertengkar jika ayah sudah tidak ada nanti.
RUSDI: Kami akan lakukan apa saja untuk ketenangan ayah. Tapi bukan macam ini ayah.
SALIM: Ayah tau kamu adalah anak-anak yang baik. Ayah ingin mencari ketenangan dan menghirup udara bersih di kampung.
RUSDI: Di sini ayah juga boleh berehat dan menikmati suasana pencen ayah dengan tenang.
SALIM: Kampung dengan bandar lain Rusdi, di kampung udara bersih suasananya tenang…aman damai. Itulah yang ayah inginkan.
RUSDI: Apa nanti kata kawan-kawan jika ayah berjauhan dari kami dan tinggal di kampung bersendirian.
SALIM: Ini adalah janji-janji ayah pada arwah ibu kamu dulu, jika dia tidak ada ayah akan serahkan harta-harta ayah kepada kamu berdua.
RUSDI: Kami bersyukur punya ayah yang ada wawasan masa depan, tapi rasa-rasanya kurang tepat jika ayah berbuat demikian. Apa pun kami ingin bersama ayah.
SALIM: Ayah tau…tapi berilah ayah peluang untuk menikmati sedikit sisa-sisa hidup ayah dalam suasana damai di kampung.
RUSDI: Jangan cakap macam tu ayah…kami akan sentiasa berada di sisi ayah.
SALIM: Kamu sudah dewasa dan berumah tangga, hiduplah dalam rumah tangga sendiri tanpa bergayut dengan orang tua.
RUSDI: Selama ini kami belum memberikan apa-apa untuk ayah, kami tidak mau menjadi anak yang durhaka ayah…
SALIM: Ayah tidak perlukan balasan apa-apa, memadailah jika kamu dapat mengemudikan bahtera kamu sendiri. Ayah akan sentiasa merestuinya.
RUSDI: Apa pun ayah…kita harus bincangkan dulu sebelum ayah mengambil keputusan.
MUZIK: MUZIK SELINGAN…..
SALIM: Mira harus faham perasaan ayah…ayah tidak bermaksud untuk meninggalkan kamu.
MIRA: Mengapa ayah beria-ia hendak tinggal di kampung ayah. Kami kan ada di sini, kita tidak kurang satu apa pun ayah.
SALIM: Bukan pasal itu Mira…ayah inginkan ketenangan sebelum hari akhir ayah tiba. Ayah terlalu rindu dengan ibu kamu, biarlah ayah hidup sendirian dalam ketenangan.
MIRA: Ketenangan ada di mana-mana ayah…walau bukan di kampung. Di sini pun ayah akan mendapat ketenangan sebagaimana yang ayah inginkan.
SALIM: Tapi ini lain Mira…kamu tidak akan faham dan mengerti apa yang ada dalam hati orang tua seperti ayah. Ayah merindui sesuatu yang kamu tidak akan dapat memberikannya.
MIRA: Katakanlah apa yang ayah mau kan, kami akan berkorban apa saja untuk ayah, di dunia ini cuma ayah yang ada dalam hidup kami.
SALIM: Ayah mengerti semua itu. Tapi ayah terasa dipanggil untuk pergi ke kampung itu. Kerinduan dalam hati ayah akan berbaloi di sana.
MIRA: Apa yang ada di kampung itu ayah..?
SALIM: Ayah akan memperolehi banyak ketenang dan kedamaian. Di kampung itulah suka duka ayah bersama ibu kamu.
MIRA: Itu bukan kampung kelahiran ayah.
SALIM: Ayah tau…kampung itu telah lama ayah tinggalkan, cuma ibu mu yang tau perit jerih yang ayah lalui.
MIRA: Mira tidak faham apa yang ayah maksudkan. Cantik sangatkah kampung itu ayah..?
SALIM: Ketenangan bukan terletak pada kecantikan Mira, suasanalah yang banyak mempengaruhi dalam apa-apa pun kehidupan kita.
MIRA: Jadi ayah akan tetap teruskan juga rancangan ayah itu.
SALIM: Insya-Allah…kamu jangan bimbang. Ayah tak apa-apa…
MIRA: Tapi ayah nak tinggal rumah mana..?
SALIM: Rumah sewa..!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
RUSDI: (TERPERANJAT) Apa..! Ayah hendak tinggal di rumah sewa..?
MIRA: Iyalah...! Abang tu macam tak percaya pula.
RUSDI: Inilah yang membuat abang pening.
MIRA: Kita harus buat sesuatu bang.
RUSDI: Nak buat apa lagi..?
MIRA: Kita bawa ayah jumpa doktor…
RUSDI: (TERPERANJAT) Jumpa doktor..? Mira larat-larat nak bawa ayah jumpa doktor ni kenapa..?
MIRA: Mira tidak bermaksud buruk bang…kita ambil langkah berjaga-jaga.
RUSDI: Boleh tak Mira cakap terus terang pada abang, jangan pakai-pakai simbolik macam ni…abang tak fahamlah.
SALIM: (MENYAMPUK) Ayah tak mau kamu memikirkan sangat tentang diri ayah. Ayah tak sakit apa-apa…
MIRA: Maafkan Mira ayah…
RUSDI: Rusdi juga minta maaf ayah…kami belum tau apa tujuan ayah sebenarnya. Kami seolah-olah bersalah terhadap ayah selama ini.
SALIM: Kamu tidak berbuat apa-apa kesalahan pada ayah mau pun arwah ibu kamu. Ayah ingin berehat jauh dari keriuhan kota.
MIRA: Apa nanti kata orang ayah…ayah mempunyai anak-anak, ada-ada saja nanti tohmahan yang akan dilemparkan ke atas kami.
SALIM: Jangan terlalu memikirkan apa kata orang Mira, mereka tidak akan ikut susah jika kita menderita.
RUSDI: Kalau semua itu yang terbaik buat ayah, kami tidak dapat berbuat apa-apa. Cuma kami sedih ayah…
SALIM: Kampung dan bandar di nagara kita ini tidak kemana jauhnya, kamu boleh melawat ayah pada bila-bila waktu saja.
RUSDI: Jika ayah berubah fikiran nanti untuk pindah bersama kami, ayah beri tau kami secepatnya.
SALIM: Ayah akan tinggal bersama driver ayah nanti.
MIRA: Jika ayah pindah nanti Mira boleh tolong kemaskan barang-barang ayah.
SALIM: Pergilah balik…nanti terlewat kamu mengambil anak-anak di sekolah.
RUSDI: Kami balik dulu ayah…
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
LEMAN: (MEMBERI SALAM).
SALIM: (MENJAWAB SALAM).
LEMAN: Baru pindah nampak..?
SALIM: Iyah…baru semalam.
LEMAN: Yang tadi tu anak-anak kah..?
SALIM: Iyah…(PAUSE) Oh..! Saya lupa…saya Salim, orang panggil ustaz…
LEMAN: Saya pun minta maaf juga kerana tidak panggil ustaz…
SALIM: Tak mengapa…itu semasa saya mengajar tapi sekarang sudah pencen.
LEMAN: Saya Leman…
SALIM: Penduduk asal kampung ini..?
LEMAN: (SEDIKIT BERJENAKA) Iyah…lahir di sini…besar di sini dan tinggal pun di sini.
SALIM: Saya pernah mengajar di sekolah kampung ini, kira-kira tiga puluh tahun dulu.
LEMAN: Mungkin masa itu saya berada di luar negeri, kerana itulah saya tidak pernah nampak ustaz.
SALIM: Silakan naik…di atas lebih seronok berbual.
LEMAN: Tak mengapalah ustaz…lain kali saja, ustaz pun banyak lagi yang nak dikemas.
SALIM: Tak mengapa…barang-barang saya tu pun bukan banyak sangat. Terima kasihlah kerana sudi berbual dengan saya.
LEMAN: Apalah susah sangat nak berbual ustaz. Jika ustaz hendakkan pertolongan apa-apa…jangan segan-segan beritau saya.
SALIM: Terima kasih…(pause) Kata tadi pernah keluar negeri…dalam jurusan apa..?
LEMAN: Saya pernah menuntut di Mesir. Belum sampai satu tahun ayah saya meninggal, saya terpaksa berhenti untuk menguruskan perniagaan ayah saya.
SALIM: Sekarang dalam bisnes apa..?
LEMAN: Bidang pembuatan makanan…sedikit-sedikit juga menguruskan pengeksportan ke luar negeri.
SALIM: Kalau macam tu baguslah…kita pun masih kekurangan pengeluar barangan yang betul-betul dipercayai halal.
LEMAN: Tapi sekarang saya sudah serahkan bulat-bulat usaha itu kepada anak-anak saya…(pause) Nampaknya perbualan kita dah melarat-larat ni ustaz…saya minta diri dulu.
SALIM: Senang-senang datang ke sini…saya pun dah macam tak kenal dengan orang-orang kampung ni.
LEMAN: Insya-Allah...!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
RUBIAH: Nampaknya bang Leman seronok berbual dengan orang baru..?
LEMAN: Inilah yang membuatkan abang Leman cemburu tak habis-habis hingga ke akhir hayat.
RUBIAH: Ke situ pula..? Hal-hal lain tak ada lagi kah abang Leman..?
LEMAN: Abang Leman yang terpacak sekian lama di kampung ini, Rubi tak pernah tanya, ini baru sehari dua orang lain datang Rubi dah sebok.
RUBIAH: Abang Leman marah kah..?
LEMAN: Abang Leman tak akan marah kalau Rubi yang punya hal, cuma ada rasa panas sikit.
RUBIAH: Abang Leman tu kalau tak usik Rubi memang tak lengkap hidup.
LEMAN: Kalau bukan pada Rubi siapa lagi. Rubi pun tau hidup abang Leman sekarang ni macamana…macam bukan orang tau..!
RUBIAH: Sudahlah jangan nak berlawak dengan Rubi…tak lucu.
LEMAN: Itulah jika abang Leman serious cakap pasal hal kita, Rubi sengaja saukkan ke tempat lain…
RUBIAH: Abang Leman…Rubi ni kan janda, abang tak malukah ambil janda macam Rubi ni..?
LEMAN: Abang Leman tau…tapi janda Rubi bukan sebarangan, janda ada benda.
RUBIAH: Abang Leman sengaja tak mau bagi tau Rubi siapa dia itu.
LEMAN: Dia dari bandar nak beralih angin di kampung ni…katanya nak menenangkan fikiran.
RUBIAH: Siapa namanya Abang Leman..?
LEMAN: Pasal tanya nama inilah darah abang Leman naik sekali ganda ni.
RUBIAH: Janganlah sampai macam tu abang Leman…kita kan dah jadi sekampung.
LEMAN: Namanya Salim…tapi dia lebih suka dengan panggilan ustaz.
RUBIAH: Dia seorang ustaz...?
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
RUBIAH: (MEMBERI SALAM).
SALIM: (MENJAWAB SALAM).
RUBIAH: Rajin ustaz berkerja..! Tak sakit tangan kah pegang cangkul..?
SALIM: Apalah beratnya cangkul ni…ini pun suka-suka saja.
RUBIAH: Ustaz seorang sajakah tinggal di sini..?
SALIM: Bersama driver saya…(pause) Kamu ni nak kemana..?
RUBIAH: Saya nak menghantar anak saya mengaji di rumah kawan saya sana tu.
SALIM: Oh..! Jadi di sini pun ada kelas mengaji setiap hari jumaat..?
RUBIAH: Macam tulah ustaz…
SALIM: Kalau macam tu kampung ni belum ada suraulah..?
RUBIAH: Maafkan saya ustaz…saya jalan dulu nanti terlambat pula.
SALIM: Baiklah…
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
MIRA: Ayah macamana sekarang..?
SALIM: Alhamdulillah…ayah ada banyak kawan dengan berunding dan berbincang.
MIRA: Kawan-kawan lama ayah dulu tu ada kenal ayah tak..?
SALIM: Adalah seorang dua…(pause) Rusdi tak ikut sama..?
MIRA: Tadi Mira dah telefon bang Rusdi…katanya dia ada kerja sikit, barangkali esok dia ke sini.
SALIM: Tak mengapalah yang penting kamu sihat…anak-anak bagaimana..?
MIRA: Mereka sihat ayah…(pause) Ayah…boleh Mira tanya sikit..?
SALIM: Dah lebih tiga bulan ayah di sini baru nak tanya sesuatu pada ayah.
MIRA: (TERAGAK-AGAK) Bukan macam tu ayah…tadi Mira nampak seorang perempuan lalu dan bercakap-cakap dengan ayah…
SALIM: Kesitu rupanya…entahlah ayah pun tak kenal, kebetulan dia melintas di sini nak menghantar anak dia mengaji katanya.
MIRA: Ada apa-apa kah ni ayah..?
SALIM: Usy..! Kamu ni Mira…jangan pula nak menambah beban ayah ini.
MIRA: Maafkan Mira ayah…Mira tu sengaja nak tanya saja.
SALIM: Dalam hati ayah ini cuma ibu kamu yang ayah rindukan.
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
LEMAN: Sebenarnya Rubiah tu janda tak bersanding ustaz…
SALIM: Ada-ada sajalah kamu ni Leman…saya belum pernah dengar perkataan macam tu.
LEMAN: Suami dia meninggal dalam perjalanan hendak bersanding. Dan sekarang dia sudah lama menjadi janda.
SALIM: Katanya budak lelaki tu anak dia.
LEMAN: Itu anak adiknya ustaz, dijadikan anak angkat…(pause) Mengapa ustaz tanya..? Kalau apa-apa saya boleh tolong, dapat juga saham mendirikan masjid ustaz…
SALIM: Saya suka-suka tanya saja…lagi pun saya ni dah tua, tak ada waktu untuk semua itu.
LEMAN: Jangan marah ustaz…dia tu sebenarnya keras hati, walau nampak jinak…bak kata orang jinak-jinak merpati.
SALIM: Macam lain bunyinya…kamu ada hati kah dengannya..?
LEMAN: Itu dulu ustaz tapi sekarang semua itu sudah lama berlalu…(pause) Oh..! Bincang-bincang kita ni pun dah jauh ustaz…
SALIM: Tak mengapa itu kan perkara yang baik…nampaknya kamu belum ada jodoh.
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
MIRA: Mira rasa tak sedaplah bang…
RUSDI: Ini tentu mengenai ayah…apa yang terjadi pada ayah..?
MIRA: Hari tu Mira ternampak seorang perempuan bebual-bual dengan ayah di kebun belakang rumahnya tu.
RUSDI: Kalau setakat berbuat itu perkara biasa.
MIRA: Tapi bang kita tak tau siapa perempuan itu…jangan-jangan dia nak rampas ayah dari tangan kita tak…
RUSDI: Jadi Mira ingat ayah kita tu barang rampasan..?
MIRA: (KERAS SIKIT) Mira tak berguru ni bang...!
RUSDI: Iyalah…tapi kita nak buat macamana, takkanlah ayah nak buat perkara sumbang macam tu. Ayah kita tu kan seorang ustaz.
MIRA: Baik kita siasat perempuan itu bang. Jika terjadi sesuatu perkara kita juga yang susah nanti.
RUSDI: Kalau ayah tau kita berbuat demikian nahas kita nanti. Ayah kan dah kata dulu, dia tinggal di sana tu nak tenangkan fikiran.
MIRA: (LEMBUT) Itu Mira tau bang…Mira khuatir nanti ayah akan tinggal sehelai sepinggang oleh perempuan itu.
RUSDI: (AGAK KERAS) Jangan prasangka buruk pada orang lain, dosa besar tau..!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
LEMAN: Sekarang baru saya faham maksud dan tujuan ustaz ke sini. Apa yang ustaz lakukan itu sungguh murni.
SALIM: Itulah hajat yang membawakan saya ke mari disamping rindu dalam hati saya ini. Kerana di sinilah bermulanya kehidupan saya.
LEMAN: Kebetulan pula di kampung ini belum ada Surau untuk kegiatan keagamaan. Saya yakin penduduk di sini menyambut baik cadang ustaz itu. Saya berjanji akan membantu dalam apa jua yang diperlukan.
SALIM: Terima kasih…kerjasama dari masyarakat kampung ini adalah sangat-sangat penting dalam menjayakan rancangan saya ini. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa memberkati setiap amal kebajikan yang kita lakukan.
LEMAN: Selama ini pun saya tertanya-tanya siapa pemilik tanah kosong di situ. Sekarang baru saya tau rupa-rupanya tanah itu bakal memberikan keselesaan pada penduduk kampung ini.
SALIM: Itulah satu-satunya tanah milik arwah adik saya…sekarang saya telah menunaikan amanat yang diserahkan kepada saya.
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
RUBIAH: Tunggu siapa ustaz..?
SALIM: Tunggu Leman…katanya nak ke bandar jadi kita nak pergi sama-sama.
RUBIAH: Dengar-dengar ustaz nak buat surau..?
SALIM: Insya-Allah jika diizinkan…
RUBIAH: Perkara yang baik itu sentiasa diberkati Allah.
SALIM: Saya berterima kasihlah kepada penduduk-penduduk kampung ini kerana memberikan kerjasama pada saya…(pause) Rubiah nak kemana..?
RUBIAH: (AGAK TERKEJUT) Ustaz dah tau nama saya..?
SALIM: Saya kan dah enam bulan tinggal di sini.
RUBIAH: Oh iya..! Kita tak terasa masa berlalu begitu cepat…(pause) Sebenarnya saya nak pergi ke rumah kawan, nak tolong jahitkan baju dia.
SALIM: Jadi Rubiah pandai menjahit..?
RUBIAH: Sikit-sikit…tolong kawan saja.
SALIM: Kenapa tak buka kedai jahit…pendapatannya pun agak lumayan juga.
RUBIAH: Ada juga buka kedai jahit...tapi dalam rumah biasa saja…
SALIM: Itu pun Leman…
LEMAN: (MEMBERI SALAM).
SALIM: (MENJAWAB SALAM).
LEMAN: (SEAKAN MENGEJEK) Bukan main mesra perbualan..?
SALIM: Kebetulan mengisi masa kosong tengah menunggu kamu, kita berbuallah sikit pasal perniagaan.
LEMAN: Jangan marah ustaz saya tu cuma bergurau…
RUBIAH: (AGAK MALU) Baiklah ustaz…abang Leman…Rubi jalan dulu.
LEMAN: Baik-baik berjalan…jika Rubi jatuh panggil abang Leman.
SALIM: Mengapa kamu tak teruskan projek kamu yang baik tu, nampaknya kamu berdua tu serasi.
LEMAN: Niat hati macam tulah ustaz…tapi nampak-nampaknya belum ada jodoh. Lagi pun saya ni dah berumur…
SALIM: Bak kata orang kita…kalau jodoh nanti tak akan kemana..!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
SPOT: BUNYI KERETA BERJALAN…BIARKAN…..
SALIM: Saya tidak mau anak-anak saya terlalu manja. Harta benda semua itu tidak ada gunanya bagi saya lagi.
LEMAN: Ustaz mempunyai fikiran yang jauh ke depan dan mengambil berat tentang anak-anak, walau pun mereka sudah berumah tangga.
SALIM: Saya tidak mau nanti mereka akan bergaduh pasal harta warisan, kerana itulah awal-awal lagi telah saya berikan mengikut hak masing-masing. Saya boleh hidup dengan pencen bulanan saya.
LEMAN: Anihnya mengapa pula ustaz tinggal di rumah sewa..? Rumah ustaz kan ada di bandar.
SALIM: Rumah tu telah saya wakafkan kepada anak-anak yatim dan yang lainnya saya berikan kepada anak-anak sebuah seorang.
LEMAN: Saya tidak terfikir begitu ustaz…
SALIM: Kiranya takdir saya sudah sampai, tidak ada apa-apa lagi yang nak difikirkan oleh anak-anak saya.
LEMAN: Jika tiba masanya nanti saya akan membantu serba sedikit pembenaan surau yang ustaz cadangkan itu.
SALIM: Terima kasih Leman…Allah sentiasa melihat akan hamba-hambanya yang menghulurkan sesuatu dengan tangan kanan, sedangkan tangan kirinya tidak mengetahui.
GRAM: MUZIK PENGENALAN (PENUTUP)…..
ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Dalam Hati Ada Rindu’ tulisan…….
==============================================================
PARA WATAK
1 SALIM = ustaz ayah kepada RUSDI dan MIRA
2 LEMAN = kawan ustaz SALIM
3 RUSDI = anak kepada ustaz SALIM
4 MIRA = anak kepada ustaz SALIM
5 RUBIAH. = jiran sekampung.
Posted by Maya Brunei at 4:32 AM 0 comments
Labels: arkib drama radio
Saturday, November 6, 2010
SUDAHNYA SEBUAH CINTA
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PEMBNUKAAN).......
ANN: Bahagian…………menghidangkan sebuah drama radio berjodol
‘Sudahnya Sebuah Cinta’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam…
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…….
SPOT: SUARA ORANG RAMAI DI RAUDHAH…BIARKAN…….
SITI: (KUAT) Ya…Allah…!
JASTINA: (CEMAS) Syukurlah kakak tidak apa-apa…
SITI: (TERCUNGAP-CUNGAP) Alhamdulillah…terima kasih kerana menolong saya, jika saya jatuh tadi…tidak dapat dibayangkan apa yang akan terjadi pada saya.
JASTINA: Itu cuma kebetulan…perempuan gemuk itu yang menolak kakak.
SITI: Begitulah kelakuan mereka…di Raudhahkah atau di mana saja, seolah-olah mereka itu tidak pernah melihat orang lain.
JASTINA: Baiklah…saya nak ke depan dulu, kalau-kalau ada ruang kosong…assalamualaikum…
SITI: Waalaikumussalam…!
GRAM: MUZIK SALINGAN…….
AYAH: (SEDIKIT KERAS) Ayah bincangkan sekarang tentang pelajaran…sekali gus masa depan Jastina sendiri…!
JASTINA: (SELAMBA) Ayah tidak mengerti apa yang saya inginkan…
AYAH: Maksud Jastina tentang pemuda Melayu itu…?
JASINA: Saya ingin berterus terang ayah…saya mencintai dia, saya percaya dia akan dapat membimbing saya ke jalan yang benar.
AYAH: Apakah selama ini kita berada di jalan yang salah…?
JASTINA: Saya tidak bermaksud unuk membicarakan apa-apa agama atau pegangan ayah, saya cuma memperkatakan dialah orangnya yang saya pilih menjadi teman hidup saya.
AYAH: Ayah juga tidak bersedia untuk memperkatakan apa-apa agama…ayah cuma menginginkan Jastina belajar untuk menjadi manusia yang berguna pada bangsa dan juga negara.
JASTINA: Apa lagi yang ayah inginkan…ayah adalah seorang peguam yang handal dan memperolehi banyak kejayaan.
AYAH: Itu ayah tau…kerana itulah ayah menginginkan Jastina juga menjadi seorang peguam yang berjaya seperti ayah.
JASTINA: Biarkan saya memilih apa yang saya inginkan ayah.
AYAH: Ayah tidak menghalangi apa yang Jastina inginkan asalkan Jastina menunaikan kehendak ayah…ini juga untuk masa depan Jastina…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: (PERLAHAN) Ayah kau betul Jas…masa depan itu amat penting, apa lagi dalam kita menjalani lorong-lorong dunia yang sudah tidak ketentuan ini.
JASTINA: Maksud Syam kita tidak punya masa depan yang baik…? Mengapa cepat mengalah, Syam…!
SYAM: Mengalah bukan bererti kita kalah, Jas…
JASTINA: (TERAGAK-AGAK) Jadi…Syam suka jika Jas pergi dan meninggalkan Syam begitu saja…?
SYAM: Ini bukan soal suka atau tidak, Jas…
JASTINA: Lalu…mana sudahnya cinta kita…selama ini Jas bersedia untuk menjadi milik Syam…walau kita berlainan pegangan.
SYAM: Cinta tidak boleh dicampur adukkan dengan agama, Jas…agama adalah kepercayaan yang tidak ada paksaan.
JASTINA: Apakah salah jika Jas menyintai agama Islam dan sekali gus menyintai Syam juga…?
SYAM: Jika cinta itu lahir dari hati yang ikhlas kerana Allah…Syam kira tidak ada salahnya. Setiap orang ada hak masing-masing untuk menentukan pegangan hidup mereka sendiri.
JASTINA: Lalu…apa lagi yang Syam fikirkan…?
SYAM: Kita cuma memandang masa depan kita yang dipengaruhi oleh rasa cinta, tanpa memperhitungkan jasa dan pengorbanan orang tua kita.
JASTINA: Syam…kita selaku anak-anak zaman sekarang ini mempunyai fikiran terbuka, kita bukan lagi berada di zaman makanan sumpah…!
SYAM: Tapi jika kita membantah kehendak ataupun kemahuan orang tua kita…pastinya hati mereka akan terluka.
JASTINA: Kalau macam itu bila lagi kita akan terlepas dari kepompong orang tua kita…? Kita akan terus dikongkong buat selama-lamanya, Syam…
SYAM: Jika sesuatu itu baik untuk mereka...apa salahnya kita pula selaku anak-anak mematuhi kehendak mereka.
JASTINA: Jas kurang setuju pendapat seperti itu…
SYAM: (PERLAHAN) Jas perlu ingat…ayah dan ibu cuma satu di dunia ini…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JASTINA: Jas berkeberatan untuk meninggalkan, Syam…tapi demi untuk masa depan kita seperti yang ayah inginkan, terpaksa juga kita berpisah.
SYAM: Pilihanmu tepat Jas…jangan biarkan diri kita dimamah cinta buta yang tidak mengenal apa-apa.
JASTINA: Bagi Jas…cinta itu tidak buta dan tidak akan pernah buta, yang buta adalah nafsu serakah manusia itu sendiri. Demi cinta kita Jas rela menghambakan diri untuk memenuhi kehendak ayah.
SYAM: Ayahmu seorang yang berpendirian tegas…punya wawasan yang menjangkau masa depan. Itu juga sebuah pengorbanan.
JASTINA: Tapi bukan untuk ayah…atau untuk Jas seorang, malah adalah untuk kita berdua, demi cinta kita yang cuma satu dan tidak akan ada sudahnya ini.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: (PERLAHAN) Itu tujuh tahu yang lalu…semuanya sudah berubah.
JASTINA: Setelah aku pulang…orang pertama kali yang ingin aku temui ialah kau, Syam…tapi (BERHENTI).
SYAM: (CEPAT MEMOTONG) Dua hari sebelum kau berangkat ke luar negeri…ayah kau datang menemui aku dan meminta sesuatu padaku.
GRAM: MUZIK……. FLASH BACK……
AYAH: (LEMBUT) Pak cik tidak menghalang kau berkawan dengan anak pak cik…tapi kau harus tau juga, hidup tanpa pelajaran yang cukup umpama sampah yang hanyut ke hulu dan ke hilir, mengikut pasang surutnya air.
SYAM: Saya tidak minta cinta saya diterima, pak cik…tapi kami saling cinta menyintai dan sanggup sehidup dan semati.
AYAH: Itu cuma sebuah janji yang dipanggil sumpah setia…semua itu tidak menjanjikan apa-apa, jauh sekali yang disebut kebahagiaan.
SYAM: Kita manusia cuma merancang namun Tuhan yang menentukannya pak cik…saya mencintai anak pak cik bukan kerana kekayaan orang tuanya.
AYAH: Baguslah…kalau begitu apa usaha yang kau lakukan untuk kebahagiaan masa depan anak pak cik…?
SYAM: Saya menyintai Jastina, pak cik…
AYAH: Pak cik tidak mau anak pak cik akan tercicir dalam hidupnya nanti.
SYAM: Apa yang pak cik maksudkan…?
AYAH: (KERAS) Jika kau benar-benar menyintai anak pak cik…berkorbanlah sedikit untuknya…jangan cuba-cuba ganggu dia lagi…!
GRAM: MUZIK…FLASH BACK (PENUTUP)…….
SYAM: (SELAMBA) Sejak peristiwa itu aku mencuba nasib di negeri orang…aku ingin mengotakan janjiku pada ayahmu, sebagai tanda cintaku padamu.
JASTINA: (SEDIH) Apa yang ku dapat dari kepulanganku itu cuma penderitaan…walaupun mercu kebangaan ayah sudahku sandang, namun semua itu sudah tidak ada gunanya tanpa kau, Syam…
SYAM: Aku seorang lelaki yang patuh pada janji…
JASTINA: Walau janji itu membunuh cinta kita dan menghapuskan seluruh plan istana yang akan kita bena…?
SYAM: Kita cuma dapat merancang…dan inilah akhirnya.
JASTINA: (SEDIH DAN MENANGIS) Satu ketika aku hilang sabar…aku sudah tidak dapat mengawal perasaanku lagi, dunia ini ku rasakan sudah menjadi neraka…!
GRAM: MUZIK…FLASH BACK…….
AYAH: (MARAH) Kau tidak perlu lagi memikirkan tentang dia, Jastina…!
JASTINA: (KERAS) Mengapa ayah sanggup melakukan semua ini pada anak ayah sendiri…?
AYAH: Semua ini untuk kebahagiaan Jastina bersama David tunangan Jastina… ayah tidak mau Jastina jatuh ke tangan pemuda Melayu itu.
JASTINA: Apa yang ayah tau tentang dia ayah…cinta tidak mengenal bangsa dan apa saja.
AYAH: Pemuda Melayu itu tidak punya apa-apa…tidak seperti David…Juruterbang Udara yang tangkas dan cekap serta berkedudukan tinggi.
JASTINA: (KUAT) Ayah sering berbangga dengan kedudukan seseorang…tapi ayah tidak tau…(MENANGIS) Bukan kedudukan seseorang itu yang dapat membahagiakan anak ayah ini…!
AYAH: Lalu apa yang dapat membahagiakan seseorang itu…? Katakan pada ayah…!
JASTINA: (KERAS) Cinta dan kasih sayang ayah…!
AYAH: (MARAH) Nonsense…!
JASTINA: Sebelum ini ayah berjanji akan menunaikan segala kehendak saya…tapi ayah bohong…!
AYAH: (KUAT) Iyah…ayah berbohong…tapi semua ini adalah untuk kamu…!
JASTINA: (KERAS) Bukan kami…tapi untuk ayah…!
AYAH: (MARAH) Jastina…! Kau jangan cuba-cuba nak membantah kehendak ayah…ayah akan bunuh kau…!
JASTINA: (KUAT) Silakan jika ayah berani…saya rela mati di tangan ayah saya sendiri…!
AYAH: (DIAM).
S/EFT: BUNYI BENDA JATUH…..
JASTINA: (MENJERIT) Ayahhhh…!
GRAM: MUZIK…FLASH BACK (PENUTUP)…….
JASTINA: (SEDIH) Tiga bulan selepas itu ayahku meninggal…aku tidak pernah berputus asa untuk mencari kau, Syam…
SYAM: Dalam diam aku juga mencari dan bertanya-tanya tentang dirimu..tapi aku kecewa…
JASTINA: Aku hampir saja membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderitaan yang aku tanggung waktu itu. David menyelamatkan nyawaku, dia pemuda yang baik dan mengerti tentang perasaan.
SYAM: Ayahmu meragut cintaku dengan paksa…aku tidak punya jalan lain.
JASTINA: Lepas itu aku kawin dengan David…tapi cuma di atas sekeping kertas yang tidak punya nilai apa-apa, jauh sekali dengan nilai sebuah cinta.
SYAM: Di mana dia sekarang…?
JASTINA: Dia meninggal dalam kemalangan ketika acara pertunjukan terbang rendah dalam negara.
SYAM: Rupa-rupanya kau lebih menderita dari aku, Jas…
JASTINA: Aku mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam, sebagaimana yang aku katakan dulu. Sekarang aku bukan Jastina yang dulu lagi.
SYAM: Antara aku dan agama Islam…mana satu yang kau cintai…?
JASTINA: Pastinya aku menyintai agama Islam terlebih dulu…lepas itu baru aku menyintai kau, Syam…
SYAM: Aku tidak punya cinta lagi untuk kau miliki…kerana cintaku itu sudah lama mati.
JASTINA: Cinta tidak pernah mati, Syam…cinta itu akan terus hidup hingga ke liang lahad.
SYAM: Aku sudah beristeri, Jas…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SPOT: BUNYI ORANG RAMAI…BIARKAN…….
SITI: Namaku Siti Aisyah…panggil saja Siti…itu lebih ringkas…
JASTINA: Saya minta maaf pada Siti…semua ini diluar dari pengetahuan saya, rupa-rupanya saya asyik berbual dengan suami orang.
SITI: (PERLAHAN) Baru saya teringat…Jastina yang menolong ketika saya terjatuh…ditolak orang semasa kita sama-sama sembahyang di Raudhah dua hari yang lepas…?
JASTINA: Iya…saya pun baru ingat…
SITI: Terima kasih sekali lagi kerana menolong saya…
JASTINA: Saya juga minta maaf sekali lagi…
SITI: Tidak ada salahnya Jastina…asalkan niat kita baik dan yang penting ikhlas, saya tidak ada berprsangka apa-apa pada semua orang.
JASTINA: Terima kasih Siti…
SITI: Abang Syam sering menceritakan masa-masa silamnya termasuklah Jastina sendiri.
JASTINA: Kalau macam itu saya malulah berdepan dengan Siti…
SITI: Apa yang nak dimalukan…Jastina bukan sebarang orang, waktu itu Jastina masih belajar di seberang laut.
JASTINA: Itupun Syam ceritakan pada Siti juga…?
SITI: Ketabahan…semangat…dan cita-cita murni Jastina, tentu saja ayah Jastina merasa bangga kerana dapat mendidik Jastina hingga kedudukan yang tinggi.
JASTINA: (MENANGIS).
SITI: (LEMBUT) Maafkan saya Jastina…jika itu menyinggung perasaan Jastina…?
JASTINA: Saya membenci ayah saya hingga ke saat dia meninggal.
SITI: Kenapa macam itu…semua itu untuk Jastina juga.
JASTINA: Ayah saya terlalu mementingkan diri sendiri…hingga menyebabkan saya kehilangan seseorang yang saya kasihi.
SITI: Jastina tidak kehilangan apa-apa…dan tidak akan pernah kehilangan siapa-siapa.
JASTINA: Saya memang kehilangan yang tidak akan ada gantinya…
SITI: Jastina tidak perlu bersusah payah untuk mencari gantinya.
JASTINA: Saya betul-betul tidak faham apa yang Siti katakan ini.
SITI: Abang Syam akan sentiasa berada di sisi Jastina…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: (SELAMBA) Di tempat yang mulia ini tidak elok kita bersenda gurau begini…nanti betul-betul terjadi…susah nanti.
SITI: Apa yang susahnya bang…orang lelaki boleh kawin lebih dari satu, tidak mustahil jika abang kawin lagi satu.
SYAM: Maafkan abang kiranya kehadiran Jastina membuatkan Siti tersinggung, abang tidak ada maksud apa-apa.
SITI: Siti faham bang…kalau abang ada maksud lain pun, Siti mana tau…!
SYAM: Bawa mengucap banyak-banyak, Siti…sekarang ini kita berada di tempat suci dan mulia.
SITI: Buat apa nak mengucap bang…apa salahnya Siti berkata yang benar dan selama ini pun Siti tidak pernah berkata bohong pada abang…Siti tidak tau jika abang pula yang berbohong.
SYAM: Abang sudah menceritakan segala-galanya pada Siti, tidak ada satu rahsia pun yang abang simpan hingga ke saat ini.
SITI: Siti percaya dan bangga punya suami yang sebaik abang…tapi tidak kah ada walau cuma sedikit perasaan abang terhadap Jastina…?
SYAM: (DIAM).
SITI: Empat tahun kita menjadi suami isteri bang…tidakkah abang ingat apa kata doktor…?
SYAM: Apakah Siti sudah lupa dengan janji-janji kita tidak akan memperkatakan perkara itu…!
SITI: Siti ingat bang…dan tidak akan pernah lupa.
SYAM: Lalu…mengapa pula Siti ulangi…?
SITI: Sebuah rumah tangga akan lebih berseri jika di dalamnya ada tangisan anak-anak, ada gelak ketawa serta gurau senda ibu dan bapa.
SYAM: Abang sudah lama melupakan perkara itu.
SITI: (SEDIH) Tapi sekarang abang patut ingat kembali…Siti tidak dapat melahirkan anak untuk abang…(MENANGIS).
SYAM: Sudahlah…jangan dikenang lagi perkara itu, kita berdoa supaya Siti mengandung…
SITI: (KERAS) Mustahil bang…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JASTINA: Sudahkah Siti membuat pemeriksaan ulangan sebelum pembedahan itu dilakukan.
SITI: Semua doktor kata seperti itu…akhirnya peranakan saya terpaksa dibuang walau ada kesan sampingannya dan beginilah jadinya hingga saya mati nanti.
JASTINA: (TERHARU) Janganlah cakap macam tu Siti…sedih saya mendengarnya.
SITI: Boleh saya minta sesuatu pada Jastina…?
JASTINA: (LEMBUT) Kalau kena dengan pintanya mengapa pula tidak boleh…katakan apa yang Siti inginkan.
SITI: Boleh panggil saya kakak…
JASTINA: (KETAWA) Kakak…!
SITI: Mengapa Jastina ketawa…?
JASTINA: Lucu…! Rupa-rupanya Siti pandai juga berjenaka…Apa sebenarnya yang Siti nak dari saya ni…
SITI: (MEMAKSA) Kakak…!
JASTINA: (TERAGAK-AGAK) Ba…ba…baiklah kak…(pause) Seram sejuk badan saya dibuatnya…
SITI: (SEDIH) Tanpa pengetahuan abang Syam…kakak sering menangis, kakak kesian melihat abang Syam…dia merasakan kekosongan hidup tanpa anak. Kakak lebih hiba jika dia turut berjenaka dan katawa dengan anak-anak orang lain.
JASTINA: Apa yang Siti…(BERHENTI).
SITI: (CEPAT MEMOTONG) Kakaklah…!
JASTINA: Apa yang kakak maukan dari saya…?
SITI: Sebelum itu Jastina berjanji pada kakak tidak akan menolaknya, demi tempat suci ini.
JASTINA: Jika ini satu paksaan apakah juga saya tidak boleh menolak…?
SITI: Perkara ini memang ganjil…tapi sekarang ini sudah tidak ada yang ganjil apa lagi mustahil.
JASTINA: Berterus teranglah kak…apa yang kakak inginkan…?
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: Astaghfirullahalazim…! Siti cakap apa ni…?
SITI: (MENANGIS) Saya ikhlas bang…demi Allah dan tempat suci ini, saya lebih rela dimadu dari abang tinggalkan saya…
SYAM: (HAIRAN) Siti cakap yang bukan-bukan ini mengapa…?
SITI: (MASIH MENANGIS) Entahlah bang…saya tidak tau mengapa semuanya ini keluar dari mulut saya…tolong tunaikan permintaan saya ini bang, mungkin ini adalah permintaan saya yang terakhir.
SYAM: Siti mintalah yang lain…tapi jangan yang ini. Kita ke sini untuk beramal ibadat.
SITI: Perkahwinan juga satu ibadat bang…saya ingin melihat abang menimang anak sebelum saya mati.
SYAM: Mengucap banyak-banyak Siti…mengucap…!
SITI: Ajal dan maut di tangan Tuhan bang…siapa tau esok atau lusa saya akan pergi buat selama-lamanya.
SYAM: Jangan mendahului kehendak Allah, Siti…
SITI: Maafkan saya bang…selama ini saya merahsiakan sesuatu pada abang.
SYAM: Apa yang Siti sembunyikan selama ini pada abang…?
SITI: (MENANGIS) Biarlah kematian saya saja yang akan memberitau abang…apa penyakit yang saya tanggung selama ini.
SYAM: (PERLAHAN) Mengapa sampai begitu sekali Siti merahsiakannya…?
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JASTINA: (TERKEJUT) Ya Allah…! Mengapa sampai begitu kak…?
SITI: Inilah nasib kakak…jika di kehendaki Allah…bila-bila saja kakak akan pergi, kerana itu kakak inginkan Jastina pengganti kakak.
JASTINA: Ini soal hati kak…tidak boleh dibuat main…
SITI: Kakak tidak pernah main-main…Jastina masih cintakan abang Syam.
JASTINA: Mengapa kakak tidak minta yang lain kak…
SITI: Sebab yang lain itu kakak sudah tidak memerlukannya lagi…cuma yang satu ini. Jastina kawin dengan abang Syam…
JASTINA: Tidak ada orang yang buat begini kak…
SITI: Sebab orang lain tidak membuatnya kerana mereka tidak mengalami sebagaimana yang kakak alami ini.
JASTINA: Saya tidak terniat untuk merampas suami orang kak…apa lagi di tempat yang suci dan mulia ini.
SITI: Siapa kata Jastina rampas suami kakak…? Kakak cuma…(BERHENTI).
S/EFT: BUNYI BENDA JATUH…….
JASTINA: (TERKEJUT DAN MENJERIT) Ya…Allah…! Kak Siti…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SYAM: (PERLAHAN) Syukurlah…Siti sudah sedar…
SITI: Siti berada di hospital mana ni bang…?
SYAM: Kita masih di Madinah…
SITI: Jastina mana bang…?
SYAM: Mereka sudah berangkat ke Mekah dua hari lepas…insya-Allah jika Siti sembuh nanti…kita akan berangkat esok.
SITI: Syukurlah saya belum mati lagi…saya ingin melihat abang bersanding dengan…(BERHENTI).
SYAM: (CEPAT MEMOTONG) Siti perlu rehat banyak-banyak…esok kita akan ke Mekah…sebuah perjalanan yang jauh…
SITI: (PERLAHAN) Insya-Allah…!
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PENUTUP)…….
ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Sudahnya Sebuah Cinta’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam…….
PARA WATAK
1 JASTINA
2 SYAM
3 SITI
4 AYAH.
=============================================================
Posted by Maya Brunei at 2:48 AM 0 comments
Labels: arkib drama radio
Saturday, July 24, 2010
TERMINAL RINDU
ANN: Bahagian……………. menghidangkan sebuah drama radio berjodol ‘Terminal Rindu’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam.
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…….
SPOT: BUNYI KAPAL LAUT DI TERMINAL DAN SUARA ORANG RAMAI RIUH RENDAH…BIARKAN…….
ROKIAH: (SEDIH) Abang Bakri…
BAKRI: (PERLAHAN DAN TERHARU) Rokiah…!
ROKIAH: (SAMBIL MENANGIS) Rokiah terpaksa pergi juga bang…Rokiah sudah tidak ada tempat di sini.
BAKRI: Jangan tinggalkan abang Rokiah…kita akan pergi bersama.
ROKIAH: (MASIH MENANGIS) Jangan bang…jangan…biarkan Rokiah saja yang pergi, Labuan tidak sejauh mana bang Bakri.
BAKRI: (AGAK KUAT) Rokiah…! Tunggu abang Rokiah…! Tunggu…!
SPOT: BUNYI KAPAL SEMAKIN JAUH KEDENGARAN…TIBA-TIBA TERDENGAR SATU LETUPAN…….
BAKRI: (MEMANGGIL DENGAN SUARA KERAS) Rokiaaahhh…!!!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (LEMBUT) Abang…mari pulang ke rumah bang, sudah dua hari abang tidak pulang.
BAKRI: (PERLAHAN) Jangan hiraukan abang…biar saja abang di sini.
DURA: Jangan macam ini bang…Dura takut tinggal sorang-sorang di rumah, kita pulang ya bang…
BAKRI: Jangan paksa abang Dura…ini tempat abang…abang menunggu seseorang, Dura pulang dulu…
DURA: Bawa mengucap bang…Rokiah sudah meninggal, kapal yang ditumpanginya hangus terbakar di tengah lautan.
BAKRI: Abang tau…tapi Rokiah tidak mati, abang akan tunggu dia di sini.
DURA: Kita pulang bang…esok kita ke sini lagi.
BAKRI: Abang tidak boleh pergi dari terminal ini, jika Rokiah datang siapa nak tolong dia nanti.
DURA: Jangan menurutkan rasa bang…kita orang beriman, bawa mengucap banyak-banyak.
BAKRI: Abang masih siuman Dura…abang belum lagi gila.
DURA: Di samping abang masih ada orang yang mengasihi abang, Dura isteri abang…(KUAT SIKIT) Bukan orang lain bang…!
BAKRI: Jangan ganggu abang, Dura…biarkan abang mencari ketenangan di sini.
DURA: Bukan di sini tempatnya bang…kita ada rumah tangga yang bahagia.
BAKRI: Abang merasakan ketenangan di sini, bersama hembusan angin laut…curahan sinaran bulan, dan berkerdipan bintang-bintang.
DURA: Kerana itu kita tidak boleh lama di sini…udaranya terlalu sejuk, nanti abang sakit.
BAKRI: Abang tidak boleh pergi dari sini…
DURA: (MENANGIS) Ya…Allah…! Apa yang telah aku lakukan…?
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
FLASH BACK
DURA: (PERLAHAN TAPI GERAM) Aku kira kau masih ingat padaku Rokiah…! Macam aku yang tidak akan melupakan kau…
ROKIAH: (SELAMBA) Mengapa pula aku harus lupa Dura…?
DURA: Aku Dura…yang tunangannya kau bawa lari puluhan tahun dulu.
ROKIAH: Ingatanmu masih kuat, Dura…
DURA: Apakah kedatanganmu kali untuk merampas hak milik aku lagi…?
ROKIAH: (HAIRAN) Apa yang kau cakap ni Dura…?
DURA: (GERAM) Kalau aku pontianak…aku akan ambil kembali hak milikku yang telah kau rampas, dan aku akan hirup darahmu hingga kau kempis.
ROKIAH: Bawa mengucap banyak-banyak Dura…
DURA: (MARAH) Jika selama ini aku tidak mengucap banyak-banyak, kaki kau itu tidak akan pernah memijak bumi Brunei ini seperti sekarang…!
ROKIAH: Rupa-rupanya selama ini kau berdendam padaku Dura…maafkan aku.
DURA: (KERAS) Sudah terlambat Rokiah…aku cuma mengharapkan supaya kau tidak akan membuat aku gila dan hilang perhitungan untuk membunuh kau.
ROKIAH: (PERLAHAN) Mengucap banyak-banyak Dura…mengucap…! Mengucap…!
DURA: (MENJERIT) Kau yang mengucap…! Bukan aku…bukan aku…!
GRAM: MUZIK SELINGAN SEBENTAR…….
DURA: (SEAKAN BERBISIK) Astaghfirullah alazim…! Mengapa aku masih mengingati peristiwa itu. Ya…Allah…! Jangan biarkan aku seperti ini, berikan aku jalan yang lurus…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SAID: (PERLAHAN) Sampai bila kau akan terpampang macam biawak punggur di terminal ini Bakri…?
BAKRI: (SELAMBA) Sampai bila-bilapun aku akan tetap di sini, Said…aku merasa tenteram melihat ombak-ombak yang berkejaran di laut sana.
SAID: (PERLAHAN) Bukankah ombak yang kau nampak itu telah berhasil menenggelamkan orang yang kau tunggu selama ini.
BAKRI: (SELAMBA) Tidak…ombak itu akan membawa Rokiah ke terminal ini, dan aku sedang menunggunya di sini.
SAID: Tapi laut itu tidak menjanjikan apa-apa padamu, sedangkan di daratan tersergam mahligai yang telah kau rasakan kenikmatannya.
BAKRI: Tapi mahligai itu sekarang telah bertukar menjadi neraka, Said…
SAID: (AGAK LKUAT) Kerana kau sendiri yang menukarnya…kau tidak dapat membezakan masa lalu dengan masa kini, kau berangan-angan dengan perasaan mudamu.
BAKRI: Aku tidak berangan-angan, Said…dan aku yakin penantianku ini tidak akan sia-sia. Laut…ombak dan angin sering membisikkan padaku bahawa Rokiah akan kembali padaku.
SAID: Kau terlalu banyak membuang masa pada apa yang belum pasti Bakri, semua ini tidak akan berlaku jika kau menerimanya sebagai takdir.
BAKRI: Jika Allah mentadkirkan aku dipertemukan dengan Rokiah, itu juga namanya takdir. Tidak salah jika kita menaruh harapan kan…?
SAID: (AGAK KUAT) Tapi Rokiah sudah tidak ada…! Dia mendapat musibah di tengah laut.
BAKRI: Aku tau…tapi Rokiah belum matikan…?
SAID: Semua mayat-mayat mereka belum di temui lagi.
BAKRI: (KUAT) Itu bererti Rokiah belum mati…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (PERLAHAN DAN SEDIH) Sudah tiga hari bang Bakri tidak pulang ke rumah…fikiranku bertambah kusut, Leha…
LEHA: Sudah kukatakan kau akan menangis lagi. Si Rokiah tu pemukun nombor satu, dia datang ke sini katanya nak meminta maaf…tapi itu alasanya saja.
DURA: Dia lari bersama tunangan aku dulu itu lain hal, tapi sekarang dia muncul lagi dengan tiba-tiba, hati siapa yang tidak akan sakit.
LEHA: (GERAM) Sekarang sudah setimpallah dia menerima hukuman.
DURA: Itu betul Leha…tapi aku terasa berdosa pula, aku terlalu menurutkan perasaan dendamku ketika itu.
LEHA: Dosa dan pahala bukan kita yang mengukur, Dura…
DURA: (PERLAHAN) Dia datang ke sini untuk minta ampun dan maaf padaku, tapi aku tidak memaafkannya…malah aku mengugut hendak membunuhnya. Dia merasa kecewa.
LEHA: (KUAT) Dulu kau yang kecewa dia tidak fikirkan…malah dia berpesta pula di atas kedukaanmu.
DURA: (MENGELUH) Tapi sekarang dia sudah tidak ada, Leha…
LEHA: (KUAT) Bagaimana pun atas kemunculannya itu juga telah menggoncang keharmonian rumah tanggamu. Kalau dia tidak ke sini semua perkara ini tidak akan berlaku.
DURA: Inilah kesilapanku yang sukar diterima oleh bang Bakri, aku tidak rela Rokiah meragut hak milik aku buat kedua kalinya.
LEHA: (KERAS) Laki kau itu pun satu juga…gatal tak sudah, dapat isteri baik macam kau ini pun masih ada hati dengan kekasih lama dia tu…!
DURA: (AGAK KUAT) Leha…!
LEHA: (KUAT) Apa…?
DURA: Bang Bakri itu laki aku tau…mengapa kau cakap macam itu…?
LEHA: (TERAGAK-AGAK) Oh…! Aaa…aku terlalu emosi…sorry yah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
FLASH BACK
ROKIAH: (PERLAHAN DAN LEMBUT) Biarkan Rokiah pergi bang Bakri…Dura tidak dapat memaafkan aku, dosa-dosaku terlalu besar terhadapnya dan juga pada bang Bakri.
BAKRI: (TERHARU) Jangan perkatakan soal dosa…abang tidak mau berpisah lagi dengan kau Rokiah, sekali tangan abang menggenggam…tidak akan abang lepaskan.
ROKIAH: (SEDIH) Lepaskan tangan Rokiah bang Bakri…tangan Rokiah ini berlumur noda dan dosa, tidak layak buat bang Bakri. Di seberang sana ada kebahagiaan sedang menanti Rokiah…
BAKRI: Jangan bohongi abang…hati kita sedang berbisik agar jangan berpisah, biarlah perpisahan itu cuma sekali dalam hidup kita.
ROKIAH: (MENANGIS) Ampunkan Rokiah dunia dan akhirat bang Bakri…mungkin kita tidak akan berjumpa lagi, siapa tau sebentar lagi Rokiah akan mati…!
BAKRI: Kita tidak akan berpisah lagi Rokiah…kecuali maut…!
GRAM: MUZIK SEBENTAR…….
DURA: (PERLAHAN) Abang…Dura tidak mau memaksakan kasih dan sayang abang terhadap Dura seperti dulu. Cuma Dura mengharapan abang akan dapat memaafkan Dura.
BAKRI: (AGAK KERAS) Dura selama ini terlalu ego…Dura tidak pernah menghormati abang selaku seorang suami, Dura sentiasa dibaluti dengan perasaan cemburu, padahal abang telah berkorban untuk Dura…!
DURA: (MENANGIS) Kiranya Rokiah hidup kembali…dan itu kehendak abang, Dura rela asalkan abang memaafkan Dura. Dura tidak punya siapa-siapa di dunia ini selain dari abang.
BAKRI: (PERLAHAN) Sudah terlambat Dura…semua itu kerana kekejamanmu, kau terlalu pentingkan diri sendiri tanpa mengira untuk rugi orang lain.
DURA: (MASIH MENANGIS) Allah yang menentukannya bang…Dura tidak mau kehilangan abang, Dura rela menjadi tebusan pengorbanan abang.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SAID: Jangan lakukan sesuatu yang nyatanya merugikan, Bakri…
BAKRI: Aku tidak punya apa-apa lagi untuk dikira untung mahupun ruginya.
SAID: Jangan sia-siakan hidup yang selama ini kita jalani dengan palbagai dugaan dan cabaran hingga kita sampai ke usia sekarang ini.
BAKRI: Tapi Dura tidak memahami apa yang aku inginkan.
SAID: Lalu…apa yang kau inginkan selama ini…? Berpuluh tahun kau berhujan berpanas, pahit manis meredah kehidupan bersamanya.
BAKRI: Orang lain tidak akan tau, Said…hatiku telah hancur…!
SAID: (KERAS) Kau sendiri yang menghancurkannya…semua itu berpunca cuma sedikit dari kemunculan Rokiah. Tapi sekarang dia sudah tidak ada, kau harus terima hakikat itu.
BAKRI: Aku akan terus menunggunya Said…aku yakin Rokiah akan ke sini lagi.
SAID: (MENGELUH) Okey…! Bermainlah kau dengan angin…ombak… pantai dan juga pokok-pokonya sekali, aku akan lihat hasilnya nanti.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (MENGELUH) Mengapa dunia menghukum aku begini…apakah aku yang bersalah dalam perkara ini.
LEHA: Tidak ada sesiapa yang boleh menghakimkan soal perasaan, Dura… kerana perasaan itu hak individu. Orang yang membunuh juga mengatakan haknya untuk membunuh.
DURA: Aku cuma menyemai cinta tanpa kasih dan sayang…aku alpa selama ini kerana asyik bermain dengan perasaanku sendiri, tanpa memikirkan perasaan orang lain.
LEHA: Itulah namanya manusia biasa yang serba kekurangan, kita tidak terdaya untuk menyelam lebih jauh ke dasar lubuk hati orang lain walaupun dia suami kita sendiri.
DURA: Aku tidak sedar selama ini…rupa-rupanya aku cuma teman hidup bang Bakri, tapi bukan teman hingga ke mati.
LEHA: Siapa sangka masa-masa berlalu akan kembali menghantui hidup kita masa ini. Seperti mukun yang sudah berkubur puluhan tahun itu…tiba-tiba bangkit kembali.
DURA: (LEMBUT) Aku tercari-cari di mana salah dan silap ku, sekarang aku cuma berserah pada Tuhan, kerana Dia yang mengetahui segala-galanya.
LEHA: Tidak boleh berserah bulat-bulat saja pada takdir, Dura…usahakan sesuatu jangan nanti kelopak matakau itu sentiasa basah dengan air.
DURA: Kalau sudah ditakdirkan macam itu…aku nak buat bagaimana. Kawan baik aku sendiripun berharap begitu, terima sajalah.
LEHA: Aku tak sangka orang tua macam kau ini jika merajukpun nampak manis juga…aku tu cuma bergurau tidaklah sampai sekejam itu.
DURA: Aku sedar siapalah aku ini dalam hati dan perasaan bang Bakri, yang cuma tersangkut kerana tertangkap basah.
LEHA: Tak ada gunanya diungkit-ungkit perkara macam itu…itukan jodoh namanya, Dura…
DURA: Aku kesal selama ini kerana tidak tahu menilai hati dan perasaan suamiku sendiri, aku sepertinya lupa daratan. Aku tenggelam dengan perasaan dendamku.
LEHA: Setelah kau sedar sekarang…kau harus mengatur langkah, langkah yang menjanjikan rumah tangga kamu kembali aman seperti dulu.
DURA: (PERLAHAN) Aku akan cuba, Leha…aku pasrah jika aku menemui kegagalan…mungkin itu satu hukuman awal untukku.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SAID: (PERLAHAN) Hiduplah di alam realiti dan terima kenyataan ini, Bakri…baliklah ke rumah di sana ada orang yang menunggu kau.
BAKRI: Aku lebih selesa di sini…inilah mini dunia aku, aku terasa bersalah jika aku tidak berada di sini.
SAID: Beristighfar banyak-banyak…hadirkan diri dengan mengingati Allah, semua itu dorongan iblis dan syaitan.
BAKRI: Aku masih ingat pada Allah, Said…
SAID: Ingat saja tidak cukup jika iman tidak kuat, Bakri…kau harus melawan segala bisikan-bisikan syaitan itu.
BAKRI: (SEDIH) Masih terbayang wajah sayu Rokiah ketika tangannya terlepas dari genggamanku.
DAUD: Apapun kau adalah milik isterimu…sedangkan dia adalah orang lain dalam hidupmu.
BAKRI: (AGAK KUAT) Tapi dia pernah bertahta dalam hatiku ini…!
DAUD: Kalau dulu memang betul…tapi sekarang…?
BAKRI: Tidak ada bezanya dulu dan sekarang, Daud…semuanya sama…
DAUD: Nalurimu telah dihalang oleh nafsu dan perasaanmu, kerana itu kau tidak nampak apa-apa walaupun di dalam cahaya yang terang.
BAKRI: Aku masih menimbang antara syurga dan neraka.
DAUD: Aku harap kau akan memilih syurga…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (SEDIH) Dura sedar siapa Dura ini dalam diri abang…Dura cuma sebahagian dari serpihan hidup abang yang tidak punya makna apa-apa.
BAKRI: Sebesar manapun kekesalan itu tidak akan dapat menghidupkan orang yang telah mati Dura.
DURA: (PERLAHAN) Kalau Dura dapat melupakan bekas tunangan Dura lari bersama Rokiah, mengapa pula abang belum dapat melupakannya…?
BAKRI: Cinta sejati tidak akan ada tukar gantinya…
DURA: (AGAK KUAT) Dura ini adalah isteri abang yang sah…apakah abang tidak dapat melupakan kesalahan, Dura…?
BAKRI: Abang tidak menafikan kesetiaan Dura pada abang selama ini.
DURA: (MENENGIS) Katakan apa yang abang maukan untuk menebus semua kesalahan Dura itu…Dura akan lakukan kiranya semua itu dapat memuaskan hati abang.
BAKRI: Abang tidak menghendaki semua itu…sudah tidak ada ertinya.
DURA: Apakah Dura akan terjun ke laut untuk bersemadi dengan Rokiah…itukah yang abang inginkan…?
BAKRI: (AGAK KUAT) Jangan Dura…jangan lakukan itu…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
SPOT: SUARA ORANG RAMAI RIUH RENDAH…BIARKAN…….
SAID: (SEDIH) Bakri…mayat Rokiah sudah ditemui…dia telah mendahului kita menghadap Allah.
BAKRI: Aku tidak percaya dia mati, Said…Rokiah masih hidup…!
SAID: Kau lihat sendiri Bakri…itu mayat Rokiah sedang diusung ke kereta, hadirlah sekarang di alam nyata, Bakri…
BAKRI: (SEDIH DAN PERLAHAN) Terlalu cepat kau pergi Rokiah…mengapa harus demikian kepergianmu…? Yaa…Allah…! Engkau ampunkanlah segala dosa-dosanya…
SAID: (TERHARU) Allah memberikan yang terbaik baginya, Bakri…walau tidak seindah seperti yang kita nampak.
BAKRI: (BERBISIK) Rokiah…aku akan merinduimu selamanya di sini, terminal ini menjadi saksi kerinduan kita.
DURA: (MENANGIS) Abang…relakan dia pergi bang…jangan tambahkan deritanya lagi.
BAKRI: Mengapa kau menangis, Dura…? Seharusnya kau gembira…
DURA: (TERHARU) Air mata orang perempuan…walau sedendam manapun, pasti akan mengalir juga dalam saat-saat seperti ini bang.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DURA: (PERLAHAN) Halalkan makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad Dura bang…
BAKRI: Hari ini ataupun esok…masih ada masa untuk menebus segala kesalahan…kita sudah lama mengenal kehidupan yang sebenarnya.
DURA: (SEDIH) Dura jahil dalam menilai erti kehidupan apa lagi pengorbanan, kerana itu Dura terasa ditipu oleh diri sendiri. Tidak ada lagi yang hendak dibanggakan.
BAKRI: (SELAMBA) Semua orang merasa tertipu dan ditipu…tapi manusia sering lupa, walau sejarah hitam pernah membungkusi diri mereka.
DURA: Kerana itu Dura tidak mau dibayangi oleh titik-titik hitam yang menjadi racun dalam diri abang…walaupun sebenarnya ia setitik penawar.
BAKRI: Antara racun dan penawar hampir serupa buat abang…abang bukan jauhari yang kenal ma’nikam.
DURA: Moga apa yang Dura lakukan ini...membuatkan hidup abang lebih bermakna, Dura akan menikmati sisa-sisa kebahagian kita bersama sampai ke liang lahat.
BAKRI: Kedewasaan mengajar kita berbuat sesuatu…kita punya hak masing-masing untuk menentukan hala tuju yang sebenar.
DURA: (MENANGIS) Izinkan Dura pergi bang…di sana mungkin ada rezeki ataupun maut sedang menanti Dura. Assalamualaikum…!
GRAM: MUZIK SEBENTAR…….
SPOT: BUNYI BEREK KERETA YANG DIIKUTI OLEH DENTUMAN KUAT DAN DIIRINGI DENGAN JERITAN .
DURA: (MENJERIT DENGAN KUAT) Abaanggg…!!!
BAKRI: (TERKEJUT) Ya…Allah…!
GRAM: MUZIK PENGENALAN (PENUTUP)…….
ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Terminal Rindu’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam…
==============================================================
PARA WATAK
1 BAKRI
2 ROKIAH
3 DURA
4 SAID
5 LEHA.
Posted by Maya Brunei at 6:56 AM 0 comments
Labels: arkib drama radio
Wednesday, June 9, 2010
DRAMA RADIO
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PEMBUKAAN)…….
ANN: Bahagian…………………menghidangkan sebuah drama radio berjodol ‘Hujan Bersama Air Mata’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei…
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…….
SPOT: BUNYI KERIUHAN DI SEBUAH PANTAI…BIARKAN…….
ANIS: (PERLAHAN) Jangan fikirkan semua itu bang…Anis boleh menyara hidup kita bersama anak-anak.
ZUL: (KERAS) Tapi abang merasa malu kerana tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.
ANIS: Tak mengapalah bang…tak ada apa yang nak dimalukan, kita menjadi suami isteri bukan baru setahun dua, malah sudah ada anak dua pun.
ZUL: Kerana itu abang bertambah malu…selama ini Anis yang banyak menyara hidup kita, bukan abang…!
ANIS: (LEMBUT) Anis tidak pernah memperhitungkan semua itu bang…itu adalah juga tugas seorang isteri yang harus membantu suami.
ZUL: Apapun juga…abang harus mencuba nasib, abang tidak boleh selamanya begini. Mana tau rezeki kita ada di sana…abang akan pergi ke seberang laut.
ANIS: Tak payah pergi jauh-jauh bang…di sinipun ada rezeki untuk kita, cuma abang perlu bersabar. Jika sudah ditakdirkan rezeki itu untuk kita, dia tidak akan lari ke mana bang.
ZUL: (KESAL) Abang tidak punya apa-apa kelulusan…jika adapun sudah tidak laku lagi, sudah terlalu lama. Apa tah lagi abang orang luar.
ANIS: (SIMPATI) Jangan cakap macam itu bang…kita manusia semuanya sama, Anis tidak memandang abang seperti yang abang katakan itu. Abang suami Anis dan tidak terlintas untuk semua itu.
ZUL: Sudah lebih lima tahun…namun abang belum menepati tanggung jawab abang sepenuhnya sebagai suami yang menyara hidup isteri dan anak-anak. Abang sepertinya tidak bertanah air di sini.
ANIS: Tidak ada faedahnya kita menimbulkan semua itu bang…yang penting kita hidup rukun dan damai. Kalau tidak esok…siapa tau lusa kita akan mendapat rezeki yang dijanjikan oleh Allah.
ZUL: Di mana silap abang makanya semua ini terjadi…abang seolah-olah bukan seorang suami.
ANIS: Semuanya itu takdir bang…kita terima dengan penuh reda dan rasa kesyukuran.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
ANIS: (LEMBUT) Mari masuk bang…jangan berembun di luar. Malam sudah larut.
ZUL: (PERLAHAN) Abang terpaksa pergi juga, Anis…abang tidak sanggup terus-terusan begini.
ANIS: (SEDIH) Itukah keputusan abang…?
ZUL: (SELAMBA) Inilah satu jalan untuk kita mendapatkan seperti apa yang kita harapkan dalam hidup kita, bang kena berusaha untuk kebahagian masa depan kita.
ANIS: Kebahagiaan bagaimana lagi yang abang maksudkan…kita sudah cukup bahagia sekarang ini bang.
ZUL: Lepaskan abang pergi dengan kerelaan…abang akan kembali nanti bersama kejayaan.
ANIS: (SEDIH) Kalau itu kehendak abang…Anis tidak dapat berbuat apa-apa, cuma Anis harapkan setelah abang pergi nanti…abang tidak akan lupa masih ada orang yang abang tinggalkan.
ZUL: (PERLAHAN) Mengapa Anis kata macam itu…abang bukan nak pergi berjuang di medan perang menentang musuh, tapi berjuang untuk kebahagiaan keluarga kita.
ANIS: Apapun jika namanya perjuangan pasti akan memakan korban bang…Anis tidak mau itu terjadi kalau cuma untuk kepentingan Anis.
ZUL: Bukan untuk Anis seorang…tapi untuk kita bersama, agar nasib kita berubah dan tidak akan selamanya begini.
ANIS: (SEDIH) Berat rasanya Anis untuk melepaskan abang pergi…seolahnya ada sesuatu yang akan terjadi.
ZUL: Kita harus bermula dari sekarang untuk merubah hidup kita, jangan nanti orang akan mengatakan abang makan hasil isteri.
ANIS: Pedulikan apa orang kata bang…yang penting kita bahagia dan tidak kacau hidup mereka.
ZUL: (LEMBUT) Izinkan abang pergi demi kebahagiaan keluarga kita…
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
MISAH: (KUAT) Wah…! Jauh sangat renungan Anis…?
ANIS: (TERKEJUT) Oh…! Kak Misah…Anis tak sedar kakak datang…
MISAH: (LEMBUT) Kalau asyik bermenung jauh…memanglah tak sedar siapa yang datang, nasib baik kakak ini bukan pencuri, jika pencuri tentu habis barang-barang Anis kakak larikan.
ANIS: Tak ada benda yang nak dilarikan kak…semua ini barang-barang lama mana ada kelas.
MISAH: (BERBISIK) Lebih baik kita jangan cakap pasal pencuri…tak elok, nanti dia dengar macam memanggil pula.
ANIS: Ada apa kak Misah datang ni…abang marah lagikah…?
MISAH: (GERAM) Abang kau tu memang dua puluh empat jam asyik dengan marah saja, tak sah hidup dia jika sehari tidak marah.
ANIS: (LEMBUT) Abang marah tu pun kerana Anis, kak…Anis sendiri tidak tau mengapa Anis seperti ini.
MISAH: Anis jangan hiraukan sangat perangai abang Anis tu…Anis kena fikir masak-masak, semua ini untuk kebaikan Anis juga.
ANIS: (PERLAHAN) Sudah lebih tiga belas tahun bang Zul meninggalkan kami kak…sampai sekarang tidak ada berita, sama ada dia masih hidup atau sudah tidak ada lagi.
MISAH: Kakak bersimpati pada apa yang Anis rasakan selama ini.
ANIS: Kakak adalah kakak ipar Anis yang baik…tapi sayang abang Anis sendiri tidak dapat memahami hati dan perasaan Anis. Apakah kesalahan Anis terhadap abang.
MISAH: Kita sesama perempuan, Anis…tapi kakak tidak dapat berbuat apa-apa. Maafkan kakak…
ANIS: Biarlah Anis yang menanggungnya sendiri kak…Anis sudah terbiasa dengan keadaan seperti ini.
MISAH: Buatlah apa yang Anis fikirkan baik…jangan hiraukan sangat tentang abang kau itu, penat nanti taulah dia nak berhenti.
ANIS: Kak Misah datang ni nak apa sebenarnya…?
MISAH: (JENAKA) Tak bolehkah tenguk adik ipar sendiri…!
ANIS: (MANJA) Siapa pula kata tak boleh…?
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DAHLAN: (PERLAHAN) Seronok sangat berbual dengan Anis…?
MISAH: (LEMBUT) Bang…hidup dalam dunia ini memangnya serba salah, berbuat baik salah apalagi yang benar-benar jahat, tentu sekali salah. Apa salahnya jika saya berbuat baik dengan adik ipar sendiri.
DAHLAN: Ada Misah pujuk dia…?
MISAH: (HAIRAN) Pujuk apa bang…?
DAHLAN: (KERAS) Pujuk supaya jangan terima pinangan orang tua yang tak sedar diri itu…itu pun Misah lupa…!
MISAH: Boleh tak jika abang tidak marah walau sesaat pun…kerana marah itu teman syaitan. Abang marah-marah ni apa yang abang dapat…?
DAHLAN: (KUAT) Abang marah bersebab…!
MISAH: (KERAS) Semua orang boleh marah bang…tapi biarlah marah itu ada hadnya, kalau cuma marah itu ikut sedap hati nanti buruk padahnya.
DAHLAN: Abang marah pun bukan pada orang lain…marah pada adik abang sendiri, kerana dia degil tidak mau mendengar cakap abang. Dari dulu sampai sekarang degilnya tak sudah-sudah.
MISAH: (KUAT) Apa bezanya dengan abang…? Abang tak pernah pun dengar cakap orang lain…abang saja yang betul orang lain itu semuanya salah.
DAHLAN: Misah masuk sebelah mana ni…? Abangkah atau Anis…?
MISAH: Kita bukan nak berparti bang…Misah tidak menyebelahi siapa-siapa, Misah ingin berada dipihak yang benar.
DAHLAN: Apakah selama ini abang berada di pihak yang salah…? Abang cuma tidak suka Anis kawin dengan orang tua tak sedarkan diri itu…!
MISAH: (KERAS) Siapa yang tidak sedar diri bang…? Orang tua itukah atau kita sendiri yang tidak sedar diri…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DAHLAN: (MARAH) Kau memang degil, Anis…kau kawin dengan suami kau tu dulu pun ikut suka hati kau, tanpa restu dari orang tua…!
ANIS: (PERLAHAN) Tolong jangan sebut-sebut lagi semua itu bang…itu sudah jodoh saya dan saya tidak pernah kesal semua itu.
DAHLAN: Sekarang bala apa lagi yang nak Anis bawa dengan orang tua itu…sedarlah Anis orang tua itu layak jadi ayah kita tau…!
ANIS: (SEDIH) Abang tidak pernah merasa sebagaimana yang saya rasakan selama ini bang…jatuh bangun saya bersama anak-anak, tangisan dan jeritan anak-anak tidak ada siapa yang tau.
DAHLAN: Jangan nak memandai-mandai cari jodoh sendiri…sepatutnya Anis sudah serik pada apa yang Anis rasakan selama ini. Abang tidak suka Anis kawin dengan orang tua nyanyuk itu.
ANIS: (MENANGIS) Berhentilah menghina orang yang sudah tidak ada bang…entahkan dia masih hidup ataupun sudah mati.
DAHLAN: (KUAT) Abang tidak peduli sama ada dia hidup ataupun sudah mati, kerana dia Anis menderita.
ANIS: (KERAS) Saya tidak menderita bang…saya cukup bahagia bersama anak-anak saya.
DAHLAN: (KUAT) Jangan nak berbohong pada abang…abang belum lagi buta untuk melihat semuanya itu.
ANIS: Biarlah saya begini bang…apa yang saya pilih itu adalah untuk masa depan saya dan anak-anak saya.
DAHLAN: (LEMBUT) Abang tak sangka adik abang ini bijak juga orangnya…orang tua itu tak lama lagi akan mati, segala harta kekayaannya dengan sendirinya akan jatuh ke tangan isterinya.
ANIS: (BERISTIGHFAR) Mengapa sejauh itu anggapan abang terhadap saya, adik kandung abang sendiri…saya tidak pernah mengejar harta bang, apa lagi kekayaan seseorang itu.
DAHLAN: Lalu apa yang ada pada orang tua itu…?
ANIS: (KUAT) Hati dan budinya bang…semua itu tidak ada pada diri orang lain, abang jangan sesuka hati menuduh saya begitu, saya belum lagi gila harta…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
MISAH: (BERSAHAJA) Apa yang abang lakukan itu sudah melampau tau…sepatutnya abang selaku saudara kandung banyak memberikan nasihat yang baik, bukan menambahkan bebannya.
DAHLAN: Abang belum puas lagi…abang sekali-kali tidak akan menyetujui Anis kawin dengan orang tua itu.
MISAH: Apakah tidak ada perkara lain lagi yang abang nak fikirkan selain dari memperkatakan orang tua itu…? Apakah abang itu tidak akan tua juga seperti dia nanti…mengucap bang…!
DAHLAN: Abang sudah banyak mengucap…!
MISAH: Itulah ertinya abang masih dikuasai oleh iblis dan syaitan.
DAHLAN: Jangan nak mengajar abang…abang tau apa yang abang nak buat.
MISAH: Kalau cuma tau tak ada ertinya bang jika tidak mengerti.
DAHLAN: (KERAS) Sudahlah…tak pasal-pasal nanti kita pula yang bergaduh suami isteri kerana dia.
MISAH: Sesekali kita berlembut tidak ada ruginya bang…apalagi ini masalah adik abang sendiri, biarkan dia memilih mana yang baik buat dirinya.
DAHLAN: Selama ini dia sudah memilih yang terbaik untuk dirinya sendiri…tapi lihatlah apa yang sudah jadi.
MISAH: Dan kerana itu dia tidak pernah menyusahkan kita…sebaliknya kita pula yang menyusahkan dirinya.
DAHLAN: (GERAM) Dari kecil hingga dewasa dan beranak-pinak menyusahkan orang…degil tak sudah…!
MISAH: (MENYINDIR) Kelapa setandan tidak jauh bezanya bang…!
DAHLAN: (MARAH) Abang bukan kelapalah…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
ANIS: (PERLAHAN) Anis tidak semudah itu melupakan perit getir Anis untuk membesarkan anak-anak kak.
MISAH: (LEMBUT) Iyalah…kakak tau dan mengerti, tapi jika Anis terus mengenang semua itu bila lagi Anis nak hidup senang. Kebahagiaan sudah hampir di depan mata, jangan menolak tuah.
ANIS: Tapi di mata bang Dahlan lain pula kak…dia seolah-olah tidak suka melihat Anis hidup bahagia.
MISAH: Perangai abang kau itu memang tidak berubah sejak dulu lagi…semua itu Anis yang merasakannya bukan orang lain.
ANIS: Demi untuk anak-anak Anis, kak…Anis tidak mau anak-anak Anis tercicir, kerana itu Anis perlukan dahan untuk berpaut.
MISAH: Kakak yakin Anis memilih yang terbaik untuk diri Anis dan anak-anak…jangan pedulikan sangat dengan abang Anis yang penyebuk itu.
ANIS: (MENANGIS) Anis sudah puas meraung…menangis dan merintih kerana kehilangan orang yang Anis cintai.
MISAH: (PERLAHAN) Sudahlah jangan menangis…tak elok mengeluarkan air mata di saat-saat kita memperhitungkan kebahagiaan masa depan.
ANIS: Terima kasih kak…kalau bang Dahlan seperti kakak, alangkah bahagianya hidup Anis.
MISAH: Semua itu jaminan hidup masa depan Anis bersama anak-anak.
ANIS: (SELAMBA) Kakak terlalu baik pada Anis…terima kasih kak…
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
DAHLAN: (MARAH) Bagaimana keputusanmu sekarang…?
ANIS: (KERAS) Apa lagi yang abang maukan…jangan buatkan saya hilang perhitungan pada abang.
DAHLAN: (KUAT) Jadi…nak melawan abanglah…?
ANIS: Saya sudah puas dihina dengan palbagai kata-kata, tapi saya sabar bang. Salahkah saya memilih jalan sendiri demi anak-anak saya…?
DAHLAN: (KERAS) Abang tidak mau keluarga kita tercemar atas apa yang Anis lakukan ini…jangan cuba memalukan keluarga…!
ANIS: (MENANGIS) Abang…! Apakah selama ini keluarga kita pernah membantu saya…apakah selama ini juga keluarga kita tau, sama ada saya bersama anak-anak makan atau pun tidak…? Termasuk abang…!
DAHLAN: Itu semuanya kesalahan Anis sendiri…! Jangan cuba-cuba mengharapkan simpati dari orang lain.
ANIS: (SEDIH) Kita bersaudara kandung bang…tapi pernahkah abang menjenguk atau bertanya anak-anak sihat atau sakit…? Semua itu abang tidak pernah kan…?
DAHLAN: (KUAT) Tapi abang malu…!
ANIS: (PERLAHAN) Mengapa sekarang baru abang merasa malu…dulu tidak…? (MENANGIS) Saya membesarkan anak-anak bersama hujan dan air mata bang…tapi itu abang tidak malu…!
DAHLAN: (SEDIH/BERBISIK) Ya…Allah…! Kezaliman apa yang telah aku lakukan terhadap darah daging aku sendiri…? Mengapakah mataku buta untuk melihat penderitaan adikku dan telingaku pekak untuk mendengar tangisan anak-anak saudaraku…!
ANIS: (MENANGIS) Kenapakah abang tidak ingin melihat kebahagiaan adik kandung abang sendiri…! Mengapa…? Mengapa bang…!?!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
FLASH BACK
DAHLAN: (MARAH) Abang hendak meletakkan mahkota kebahagiaan di atas kepalamu, Anis…! Itu saja…susah sangatkah hendak mengikutinya.
ANIS: (KUAT) Kebahagiaan seseorang bukan terletak pada nilainya sebuah mahkota di atas kepala bang…cinta kasih dan sayang tidak boleh dipaksa-paksa.
DAHLAN: Kau memang keras kepala…! Apa yang Anis pandang pada lelaki yang papa kedana itu. Tak sedar diri hidup menumpang di tempat orang.
ANIS: Budi bahasa dan kesucian cinta sejati bang…semua itu tidak dapat ditukar ganti walau dengan apapun di dunia ini.
DAHLAN: (KUAT) Bohong…! Orang tidak akan dapat hidup kalau cuma dengan cinta…cinta tidak dapat dimakan, Anis…!
ANIS: Tapi cinta dapat dirasa bang…kerana sentuhan cinta sejati itulah yang menyuburkan seluruh kehidupan di muka bumi ini. Tidak ada orang yang boleh hidup tanpa cinta bang…!
DAHLAN: (LEMBUT) Baik…abang akan lihat apa hasilnya nanti…Anis boleh teruskan dengan cinta yang buta tuli itu. Tapi ingat…jangan menyesal.
ANIS: Biar saya yang menentukan hidup dan mati saya sendiri bang…saya sudah dewasa dan saya tidak akan pernah kesal buat selama-lamanya.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
MISAH: Syukurlah abang sudah sedar sekarang…kesedaran itulah yang penting dalam diri abang, sesudah itu baru abang nampak segala apa yang abang belum nampak selama ini.
DAHLAN: (PERLAHAN) Abang dibaluti dengan dendam kerana kedegilan Anis, abang hendak menjodohkan dia dengan kawan abang seorang pegawai tentera yang berpangkat tinggi.
MISAH: Tidak semua yang elok bagi kita itu…elok juga buat orang lain bang, kita tidak boleh memaksa apa yang kita inginkan itu, agar orang lain juga menginginkannya.
DAHLAN: Abang kecewa kerana gagal membahagiakan adik abang sendiri…semua itu kerana terlalu bencinya abang terhadap Zul.
MISAH: Abang belum terlambat berbuat sesuatu untuk Anis…
DAHLAN: Tapi Anis tidak akan memaafkan abang…abang bersalah kerana terlalu menyakiti hatinya bersama suaminya dulu.
MISAH: Misah yakin Anis akan memaafkan abang…Anis tidak pernah menyimpan rasa dendam, apa lagi pada abang kandungnya sendiri.
DAHLAN: Abang terlalu memikirkan kebahagiaannya hingga abang tersalah langkah…abang terlalu sayang padanya.
MISAH: (PERLAHAN) Sebenarnya abang tidak salah…apa yang abang inginkan itu memang betul, cuma abang tersilap jalan.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
ANIS: (PERLAHAN) Abang tak payah risau lagi tentang diri saya…kerana saya telah pun mengambil keputusan…
DAHLAN: (LEMBUT) Anis…maafkan abang…abang tau abang yang bersalah, dan abang ingin menebus segala kesalahan abang itu.
ANIS: Abang tidak bersalah…semua ini kerana kedegilan saya yang tidak mau mendengar kata-kata abang dulu, dan saya telah menerima akibatnya.
DAHLAN: Lupakanlah semua itu…abang datang untuk menyerahkan kebahagiaan yang selama ini Anis inginkan.
ANIS: (TERHARU) Saya sudah tidak memerlukannya lagi bang…biarlah hidup saya seperti ini, cukuplah anak-anak yang berada dikeliling saya.
MISAH: (LEMBUT) Jangan macam tu, Anis…kakak sentiasa merestui apa yang Anis fikirkan baik, demikian juga abang Anis sekarang.
DAHLAN: Abang akan uruskan smuanya…siapapun lelaki pilihan Anis abang akan merestuinya. Bagi abang sekarang…Anis adalah segalanya bagi abang.
ANIS: (MENANGIS) Terima kasih bang…kasih sayang abang terhadap saya dan anak-anak…itu sudah melebihi dari segala-galanya.
DAHLAN: Kiranya Anis menghendaki nyawa abang…(BERHENTI)…
ANIS: (CEPAT MEMOTONG) Tidak bang…cukuplah Anis kehilangan cuma satu di dunia ini.
MISAH: Anis tidak akan kehilangan siapa-siapa lagi…kakak juga tidak akan membiarkan Anis kesepian dan kita akan berkumpul menjadi satu keluarga yang besar nanti.
ANIS: Terima kasih kak…hari ini adalah hari yang paling bermakna buat Anis.
MISAH: (PERLAHAN) Mulai sekarang…Anis harus melupakan segala titik-titik hitam dalam kehidupan Anis.
ANIS: Insya-Allah kak…(pause) Abang…saya telah mengambil keputusan tidak akan berkahwin lagi…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
ANIS: (SEDIH) Abang Zul…Anis sudah tidak punya air mata lagi untuk menangis bang…Anis sudah berbuat yang terbaik untuk anak-anak kita…mereka sudah dewasa bang…tapi sayang abang tidak melihatnya…(BERHENTI)…
S/EFT: BUNYI KETUKAN PINTU (PERLAHAN) BEBERAPA KALI...KEMUDIAN BUNYI PINTU DIBUKA………..
ZUL: (PERLAHAN) Assalamualaikum…!
ANIS: (TERPERANJAT – KUAT) Abang Zul…!..?..!
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PENUTUP)…….
ANN: Demikian berakhirnya sebuah drama radio berjodol ‘Hujan Bersama Air Mata’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei…….
PARA WATAK
1 ANIS
2 MISAH
3 DAHLAN
4 ZUL.
Posted by Maya Brunei at 6:22 AM 0 comments
Labels: arkib drama radio
Sunday, December 13, 2009
Manis Manja
TAHUN BARU MASIHI 2009
BERJODOL : MANIS MANJA
GRAM: MUZIK PENGENALAN RANCANGAN (PEMBUKAAN).......
ANN: …………drama khas semepena Tahun Baru Masihi 2009 berjodol ‘Manis Manja’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei Darussalam……..
GRAM: LANJUTAN MUZIK PENGENALAN…….
M/LOG: Beberapa bulan dahulu sebelum perutnya membesar, Toba sudah bersedia hendak mengugurkannya. Tapi Jibah isteri Toba membantah keras kerana Jibah mahukan anak itu biar lahir, apatah lagi itu adalah anak yang pertama walau tidak diketahui siapa bapanya yang sebesar.......peristiwa itu berlaku pada tahun 2000…!
* * * * * *
TOBA: (MARAH) Kalaulah dulu-dulu kamu ikut cakap aku…tentu perutnya sekarang ini tidak akan sebuncit itu. Nah…sekarang tengoklah apa kesudahannya…?
JIBAH: Kikislah perasaan benci abang yang sudah tidak ada gunanya itu lagi, perkara itu sudah lama berlalu, tidak akan menguntungkan siapa-siapa…kalau rugi tu adalah…!
TOBA: Apa pun namanya benci itu tidak mengira untung atau pun rugi, yang penting luka hati aku ini belum sembuh…sekali aku benci pada orang itu sampai mati pun aku tidak akan lupa.
JIBAH: Jadi selama ini apa yang abang dapat dengan kebencian itu, silap-silap abang pula yang dikatakan orang itu dan ini.
TOBA: Biar mereka kata apa saja sampai berbuih mulut mereka pun aku tak peduli, yang penting aku puas, tanpa si Lamin itu pun aku boleh hidup juga. Selama ini bukan dia yang memberi kita makan…!
JIBAH: Tapi jika hidup sering bermusuhan di mana harmoninya…? Kita ini berkampung bang…berjiran, satu sungai dan satu lautan.
TOBA: (KERAS) Aku tak peduli…jangan harap aku akan berbaik dengan si Lamin itu, selagi luka hati aku tidak sembuh…selagi itu si Lamin tetap jadi musuh aku sampai ke mati…!
JIBAH: Kita ini dah tua bang…esok-esok jika kita mati nanti, si Lamin itu juga yang akan turut mengangkat janazah kita.
TOBA: Aku akan membuat surat wasiat mengharamkan si Lamin mengangkat mayat aku, jika dia melanggarnya juga aku akan sumpah dia sembilan keturunan jadi papa kedana…biar dia rasa…!
JIBAH: Bawa mengucap banyak-banyak bang…semua itu sudah ditakdirkan Allah.
TOBA: Dia tergamak merampas kebahagiaan aku.
JIBAH: Kisah itu sudah lama berlalu bang…susah sangatkah untuk melupakannya…?
* * * * * *
M/LOG: Iyah…memang susah bagi Toba untuk melupakan peristiwa itu, apatah lagi soal hati dan perasaan yang sememangnya sukar untuk diperolehinya. Marilah kita mengembara dan berpijak sejenak dibumi tahun 1952…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
TOBA: (PERLAHAN) Sabarlah Manis…semua orang kampung sudah mencari tunang kau itu, di hutan belantara…bukit bukau dan juga sungai-sungai di kampung kita ini.
MANIS: (SEDIH) Mengapalah malang nasib Manis ini bang Toba, Manis sudah kehilangan orang yang Manis kasihi, sekarang Manis sudah tidak punya siapa-siapa lagi.
TOBA: Jangan cakap macam itu Manis…yang hilang itu akan ada gantinya, demikian juga yang patah tentu akan tumbuh juga.
MANIS: Niat hati ini belum teringin untuk mencari ganti bang Toba, Manis akan tunggu dia…Manis pasti dia tidak mati.
TOBA: Bang Toba sepandapat dengan Manis, dia tidak mati…tapi mungkin dia menjadi harimau, seperti kisah Bukit Tempayan Pisang.
MANIS: Bagaimana bang Toba tau…?
TOBA: Nenek bang Toba yang menceritakannya satu ketika dulu…Manis jangan bimbang, bang Toba akan sentiasa di samping manis.
MANIS: Manis nak berehat dulu…bang Toba pergilah pulang, nanti lain pula sangkaan orang.
TOBA: Baiklah…bang Toba pulang dulu dan kalau ada apa-apa panggil bang Toba, bang Toba akan lakukan apa saja untuk Manis…!
* * * * *
M/LOG: Itulah strategi Toba menangguk di air yang keruh, mengambil kesempatan dalam ke sempitan. Sekarang kita kembali mendengar aksi Toba yang salahbida tarzan juga berlaku dalam tahun 2000…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
TOBA: (MEMANGGIL-KUAT-MARAH) Lamin…! Laaa…miinnn…!
LAMIN: (GERAM) Ada apa kau berteriak-teriak macam orang gila ini Toba…? Malulah sikit…sedarlah diri itu dah tua tapi berkelakuan macam kanak-kanak.
TOBA: Memang aku gila…kau yang membuatkan aku menjadi gila stelah kau rampas Manis dari tangan aku. Aku masih sedar siapa diri aku, jika aku gila pun ini kampung aku…bukan macam kau…!
LAMIN: Aku juga sedar siapa aku Toba…aku orang pendatang di kampung ini, tapi aku tidak meminta-minta di kampung ini sejak dulu lagi, aku berusaha hingga aku jadi macam ini.
TOBA: (MASIH MARAH) Kerana itulah kau berhasil mengoda Manis dengan kekayaan mu itu, kau tak habis-habisnya merusakkan kehidupanku Lamin.
LAMIN: (PERLAHAN) Kita sekarang sudah beransur tua Toba…semua itu sudah berlalu, Manis sudah menjadi isteri aku dan kau juga sudah mempunyai isteri yang cantik malah lebih cantik dari Manis.
TOBA: Aku tidak mengukur cinta itu dari paras rupa Lamin, tapi dalam hati ini…(BATUK-BATUK) dalam hati tidak ada duanya kau tau…! Kau yang seronok-seronok selama ini, tapi aku yang menderita.
LAMIN: Semuanya itu sudah berpuluh tahun berlalu Toba, tidakkah kau dapat melupakan walau sebentarpun untuk kau menerima hakikatnya. Cuba kau berterus terang apa sebenarnya yang kau inginkan Toba…?
TOBA: Kau rampas Manis dari tangan aku itu satu perkara…dan sekarang kau ajak pula…(BERHENTI DAN BATUK YANG BERPANJANGAN).
* * * * * *
M/LOG: Kita beri masa untuk Toba berehat dulu, biar dia melayan batuknya itu puas-puas, takut nanti ampusnya akan kembuh. Sementara itu kita masuk ke dalam otak Toba di tahun 1954…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
TOBA: Sejak orang baru itu datang di kampung ini, Manis seolah-olah tidak ambil indah pada bang Toba lagi…apakah Manis sudah berubah hati pada bang Toba, dan memindahnya pada pandatang tak tau diri itu…?
MANIS: Entahlah…Manis pun tak tau, sejak dia datang ke sini Manis rasa lain macam…(pause) Bang Toba cemburu kah…?
TOBA: Memanglah cemburu…sebab Manis cantik…bersopan santun dan berbudi bahasa. Siapa nama orang baru itu…?
MANIS: Lamin…dia datang dari pulau seberang, dia tidak ada saudara mara di sini, pasal itulah keluarga Manis tumpangkan dia di rumah Manis.
TOBA: Mengapa ayah Manis terima orang yang belum tentu asal usulnya, manalah tau dia sengaja hendak menghuru-harakan kampung kita ini.
MANIS: Tak mungkin bang Toba…Manis tidak nampak apa-apa pun yang menunjukkan dia orang jahat.
TOBA: Jadi sekarang apa pendirian Manis terhadap bang Toba…?
MANIS: Kedatangan Manis ini pun untuk berterus terang pada bang Toba, bahawa pertemuan kita ini adalah kali yang terakhir…!
TOBA: Jangan bergurau Manis…sanggupkah Manis menolak bang Toba kalau hanya kerana si Lamin anak dagang yang menumpang itu.
MANIS: Betul bang Toba…Manis tidak berjenaka jauh sekali berteka teki, orang tua Manis telah pun menjodohkan Manis dengan Lamin.
TOBA: (SEDIH) Sampai hati Manis menghampakan harapan bang Toba…rupa-rupanya selama ini bang Toba bertepuk sebelah tangan saja. Sia-sialah kasih sayang yang bang Toba curahkan selama ini.
MANIS: Kita belum ada jodoh bang Toba...carilah orang lain sebagai penganti Manis, dan Manis terpaksa mengikut kehendak orang tua…Manis takut nanti kena sumpah menjadi batu…!
TOBA: (GERAM) Kalau begitu…mulai hari ini juga…bang Toba istiharkan bahawa si Lamin keparat itu akan menjadi musuh ketat bang Toba sampai bila-bila…bang Toba akan tunjukkan pada Manis, bang Toba juga boleh jadi kaya seperti si Lamin itu.
* * * * * *
M/LOG: Itulah mulanya Toba membenci Lamin. Barangkali Toba sudah dapat nafas baru untuk meneruskan hujah-hujahnya yang selama ini masih terpendam yang tidak dapat di bendungnya lagi…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
LAMIN: Jangan turutkan hati Toba…kau tu sakit, ampus nanti aku juga yang susah kalau kau terjungkag-jungkang di halaman rumah aku ni.
TOBA: (MARAH) Aku dapat tibikah…malariakah…ampuskah, kau peduli apa. Aku yang sakit bukan kau…!
LAMIN: Kita ni berjiran Toba…kau dan aku macam saudara, apa kata orang nanti jika kau terbujur tak tentu pasal, alih-alih orang akan kata aku yang bunuh kau…!
TOBA: Berpuluh tahun aku masih sabar atas perbuatan mu terhadapku, kau ragut kasih sayang dan cintaku terhadap Manis. Tapi sekarang ini aku tidak boleh sabar lagi Lamin…!
LAMIN: Aku tidak pernah menganggu kau Toba, itu cuma perasaan cemburu kau yang melimpah ruah itu. Berterus teranglah sama-sama kita menyelasaikannya dengan tidak payah ke Bangsa-Bangsa Bersatu.
TOBA: ( KUAT) Aku tidak main-main Lamin…kau rampas Manis aku masih boleh sabar, tapi sekarang lembu aku bunting angkara perbuatan lembu kau yang miang macam kau itu juga…!
LAMIN: (BERISTIGHFAR) Tergamak kau menyamakan aku dengan lembu Toba…di mana rasa kemanusiaan mu padaku…?
TOBA: Kau dengan lembu kau itu tidak ada bezanya di mata aku, kau ajar dia untuk memporak perandakan kebahagiaan orang lain seperti aku ini.
LAMIN: Macamana kau tau anak dalam perut lembu kau itu, lembu aku yang punya angkara…? Eh…Toba, lembu itu binatang kalau mereka hendak jadi laki bini pun tidak payah kawin tau…!
TOBA: Kau jangan nak berjenaka dengan aku Lamin, di kampung ini tidak ada lembu jantan lain selain dari lembu kau itu.
LAMIN: Aku taulah lembu itu lembu aku, tapi kau tak bolehlah tuduh sebarangan…barangkali ada lembu jantan lain yang mengurat lembu kau itu siapa tau…!
TOBA: Aku sudah masak dengan perangai lembu aku itu, dia tidak akan berjalan jauh jika aku tidak menemaninya.
LAMIN: (PERLAHAN) Toba…lembu itu binatang tau…dia tidak kenal halal dan haram, tapi kadang-kadang kita manusia ini pun ada mirip-mirip macam mereka itu juga.
TOBA: Sudahlah kau sakiti hati aku…ini lembu kau juga yang ikut-ikutan menyakiti hati aku. Memang kau dan lembu kau itu sama saja…!
LAMIN: Toba…apalah salahnya jika lembu kau itu bunting oleh lembu aku, kau tak rugi satu apapun malah kau akan mendapat untung kerana dia telah menyumbang untuk memanjangkan zuriat lembu kau itu.
TOBA: Aku tidak mau berbisan dengan kau mengerti…!
LAMIN: (BERISTIGHFAR)…..
* * * * * *
M/LOG: Itulah…apabila orang dibebani dengan rasa kecewa tidak akan terdaya untuk menangkis dan menapis segala percakapan maupun perbuatan, apa lagi jika tidak disertai dengan kekuatan iman. Demikian juga Toba yang sepanjang hayatnya dibaluti dengan kebencian setelah hidupnya dicalarkan…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…..
MANIS: (PERLAHAN) Bang Toba…!
TOBA: (TERKEJUT) Oh…! Manis rupanya…bang Toba kira siapa tadi, mujurlah bang Toba tidak mati terduduk.
MANIS: Manis bukannya hantu untuk menakut-nakutkan bang Toba, Manis tau bang Toba kuat semangat…tabah menghadapi dugaan dan rintangan, bukan macam Manis…
TOBA: (PERLAHAN) Bang Toba rasakan bagai bermimpi di siang hari, bang Toba juga sudah lama tidak mendengar suara Manis yang lunak berirama itu.
MANIS: Manis datang membawa harapan agar bang Toba berdamai dengan bang Lamin, tidak ada gunanya kita bermusuh-musuhan begini. Barang yang sudah itu biarkan berlalu.
TOBA: Selama berpuluh tahun bang Toba menderita kerana kehilangan Manis dan derita itu belum pulih hingga sekarang ini, kini Manis muncul di depan bang Toba cuma untuk menambah derita itu lagi.
MANIS: Tidak bang Toba…sejak dulu lagi Manis tidak pernah mencintai bang Toba, cinta Manis cuma pada bang Lamin setelah tunang Manis hilang di dalam hutan dahulu.
TOBA: (SEDIH) Kenapa Manis tidak berterus terang pada bang Toba…?
MANIS: Sebenarnya jodoh kita tidak ada bang Toba…pergaulan kita ketika muda-muda dulu itu cuma pergaulan biasa, tidak ada bibit-bibit cinta sebagaimana yang bang Toba sangkakan.
TOBA: Kerana kepalsuan cinta Manis itulah yang membuatkan bang Toba berada di awang-awangan, bang Toba nyaris gila…!
MANIS: Berpijaklah di bumi yang nyata, lupakan zaman muda remaja kita yang telah berlalu itu…kita sekarang dalam perjalanan menuju senja yang akan berlabuh.
TOBA: Bang Toba tidak dapat melupakannya Manis…jatuh bangun bang Toba dalam percintaan yang kecewa juga akhirnya.
MANIS: Sekarang kita sudah berada di abad duapuluh satu…esok-esok kita akan melangkah ke tahun baru…dua ribu sembilan bang Toba. Jauhkanlah perasaan benci pada sesama kita.
TOBA: Bang Toba benci pada laki Manis itu kerana dia telah merampas Manis dari tangan bang Toba.
MANIS: Terimalah kenyataan…Manis tidak pernah jatuh cinta pada bang Toba. Sedarlah bang Toba kita sekarang ini sedang berjalan ke arah barat, mustahil kita akan dapat patah balik untuk menuju timur.
TOBA: Kalau hendak diturutkan hati…sudah lama si Lamin itu bang Toba bunuh, puas hati bang Toba.
MANIS: Kalau bang Toba bunuh bang Lamin, bang Toba juga akan di hukum gantung sampai mati.
TOBA: Bang Toba tidak takut mati…!
MANIS: Sebabnya…?
TOBA: Mati cuma sekali…
MANIS: Baiklah bang Toba…Manis pergi dulu…!
TOBA: (DENGAN KERAS-MEMANGGIL) Manis…! Manis…! Jangan tinggalka bang Toba Manis…Maa…niiisss…!?!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JIBAH: (MARAH) Abang sebut-sebut nama Manis sampai dalam tidur tu mengapa…? Jibah ini tak manis lagikah dalam pandangan abang. Manis dan Lamin itu dah jadi bisan kita sekarang.
TOBA: Itu aku taulah…tapi semua ini bukan kemahuan aku, kemahuan anak kamu si Adol itu, kalau harapkan aku…tunggu dulu…!
JIBAH: Anak Jibah anak abang juga…Jibah tak perasaan pun ada laki lain selain dari abang…(pause) Ini sampai ke mimpi-mimpi itu apa hal…ada hati lagikah pada si Manis itu…?
TOBA: (GERAM) Abang belum dapat menerima hakikat bahawa si Lamin jahat itu bisan abang, abang benci padanya…benci…benci…benci…!
JIBAH: Anak kita dan anak si Lamin itu sudah bahgaia sekarang ini bang, jadi kita selaku orang tua mereka jangan pula berbantah-bantahan dan berbenci-bencian.
TOBA: Selagi dia hidup selagi itulah benci dalam hati aku ini tidak akan padam buat selama-lamanya.
* * * * * *
M/LOG: Itulah yang dikatakan luka di tangan nampk berdarah, luka di hati tidak siapa yang tahu. Andai kata luka itu sembuh, namun parutnya tetap ada. Sekali kecewa dalam bercinta seumur hidup diri terpenjara…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
TOBA: Jangan tambahkan lagi kebencianku padamu Lamin…kesabaranku ada batasnya, jangan paksa aku untuk menjadi seorang pembunuh…!
LAMIN: Dendam dan benci yang tidak ada sudahnya itu akan merugikan diri sendiri Toba…apalagi cuma berebutkan seorang perempuan, semua itu sudah lapuk Toba…!
TOBA: Itu kata kau sekarang ini…tapi mengapa kau tidak fikirkan di masa dan ketika lebih empat puluh tahun dulu…? Kau lebih suka melihat aku kecewa dan merana.
LAMIN: Kiranya aku boleh mengundurkan waktu itu…aku akan serahkan apa yang kau inginkan, aku juga tidak mau bermusuhan dengan sesiapa, aku cuma menumpang hidup di kampung ini.
TOBA: Sudah terlalu lambat Lamin…semua itu tidak ada maknanya lagi.
LAMIN: Inilah masanya kita patut menutup buku permusuhan kita Toba, kau dan aku bukan lagi orang lain…anak-anak kita telah pun bersatu dan tidak lama lagi kita akan mendapat cucu.
TOBA: (KERAS) Tidak…! Itu bukan cucu aku…cucu aku sudah mati setelah dia dilahirkan, itu ibunya…kau nampak…?
LAMIN: (BERISTIGHFAR) Itu lembu kau Toba…! Apa sudah jadi dengan kau ini…seram bulu roma aku…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
LAMIN: (GERAM) Kadang-kadang aku geram juga dengan kelakuan Toba yang seperti orang gila itu, kita nak berbaik-baik lain pula jadinya. Tidak boleh dibawa berunding langsung…!
MANIS: Usah ganggu dia lagi bang Lamin…Manis bersalah, sebelum bang Lamin ujud dalam hati Manis, Manis pernah memberikan harapan padanya, tapi semua itu cuma pura-pura…
LAMIN: Kenapa Manis lakukan macam itu…kalau Manis berterus terang tentu semua ini tidak akan berlaku.
MANIS: Maafkan Manis bang Lamin…apapun cuma bang Lamin saja dalam hati Manis dari dulu hingga sekarang.
LAMIN: Dalam satu hal bang Lamin kesian juga dengan si Toba itu, sejahat-jahatnya pun masih dapat memilih yang mana baik dan buruknya.
MANIS: Kita masih belum terlambat untuk menjernihkan kekeruhan selama ini, kita masih banyak peluang bang Lamin.
LAMIN: Abang pun terasa berdosa…tapi apa boleh buat, semua itu sudah terlanjur. Kita tidak tau akan jadi macam ini.
MANIS: Izinkan Manis berjumpa dengan Toba…Manis akan pujuk dia supaya menerima kita sebagai keluarga, lebih-lebih lagi bang Lamin sendiri.
LAMIN: Pergilah…tapi Manis harus waspada jangan sampai perkara yang tidak elok boleh berlaku, Manis harus hati-hati.
GRAM: MUZIK SELINGAN……..
MANIS: (PERLAHAN DAN LEMBUT) Maafkan kedatangan Manis ini jika menganggu ketenteraman bang Toba.
TOBA: (LEMBUT) Sejak Manis keluar dalam kehidupan bang Toba, mulai dari itulah bang Toba tidak pernah merasakan ketenteraman, hingga saat Manis berada di depan mata bang Toba sekarang ini.
MANIS: Manis datang bukan sebagai musuh bang Toba…juga bukan selaku kekasih, tapi untuk semuanya.
TOBA: Apakah bang Toba bermimpi lagi…atau mengigau di siang hari…?
MANIS: Bang Toba tidak bermimpi…dan tidak akan bermimpi lagi, Manis benar-benar ujud di depan bang Toba, tapi bukan sebagai Manis yang pernah menolak cinta bang Toba dulu.
TOBA: Dari dulu hingga sekarang bang Toba rasakan, hidup ini seolahnya bagaikan bola, bergolek ke sana ke mari mengikut kehendak kaki yang menyepaknya.
MANIS: Tapi Manis tidak bermaksud begitu bang Toba…kalau bang Toba jadi mangsa permainan cinta dari Manis, malah Manis juga yang menjadi mangsa keadaan.
TOBA: Apalah gunanya memutar kisah-kisah yang sudah tidak punya makna lagi, semua itu akan menambah penderitaan bang Toba.
MANIS: Manis tidak punya hajat lain…apalagi usia kita sudah terlalu banyak dimamah waktu, kita cuma punya sedikit kesempatan untuk menjalani sisa-sisa hidup yang tertinggal.
TOBA: Kalau cuma itu yang Manis katakan pada bang Toba, hentikan saja setakat ini, bang Toba tidak punya kekuatan untuk menghadapinya.
MANIS: (TERHARU) Manis juga tidak akan lama berdepan dengan bang Toba, Manis ingin katakan…buangkanlah yang keruh dan kita ambil yang jernih.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JIBAH: (LEMBUT) Jangan paksakan diri untuk berbuat sesuatu, yang diri sendiri tidak sanggup untuk melakukannya, itu cuma membuang masa dan menipu diri sendiri.
TOBA: (GERAM) Hatiku belum terbuka untuk memaafkan orang…apalagi orang yang seperti si Lamin itu, kalau boleh bayang-banyangnya pun aku tidak mau melihatnya.
JIBAH: Umur tidak akan menungkat langit bang, sebelum waktu itu tiba ada lebih baiknya kita bermaaf-maafan. Siapa tau kita ataupun mereka yang pergi dulu.
TOBA: Luka hatiku ini terlalu parah…tidak siapa yang tau bagaimana sakitnya jika dipermain-mainkan.
JIBAH: (KERAS) Sampai bila abang akan menghitung kira kesakitan abang itu…jangan turutkan dendam abang yang membabi buta hingga tidak mengenali kesedaran dan keinsafan orang lain.
TOBA: Kalau orang lain aku boleh maafkan, tapi tidak pada si Lamin yang menjadi perompak dan penyamun itu.
JIBAH: Keras hati tidak bertempat lama-lama akan memakan diri sendiri bang, sebelum terlambat lebih baik bertaubat.
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
MANIS: (PERLAHAN) Bang Toba…Manis akan sembah bang Toba asal saja bang Toba rela memaafkan bang Lamin…bang Lamin sakit…
TOBA: (KERAS) Dia sakitkah…! Nak mampus kah…! Bang Toba peduli apa, selama ini bang Toba sakit tidak seorang pun yang ambil tau.
JIBAH: Jangan cakap macam itu bang…tak biak, si Lamin tu sakit dan minta maaf pada abang.
TOBA: Itulah waktu dulu-dulu tunjuk diri hebat konon, datang ke tampat orang berlagak sampai menjadi perompak hak orang lain.
MANIS: Bang Toba boleh kata apa saja…Manis tidak peduli asalkan bang Toba sudi memaaf bang Lamin, itu saja…
JIBAH: Cubalah abang buka sedikit pintu hati dan perasaan abang itu, agar dapat melihat dan mendengar kata-kata orang lain. Ada kalanya kita harus mengalah.
TOBA: Kerana banyak mengalah makanya aku jadi begini.
JIBAH: Kita tidak pernah bertarung siapa kalah dan siapa menang bang, berdosa jika kita tidak memaafkan orang lain yang telah menyedari kesalahan dan keinsafannya.
MANIS: Baiklah bang Toba…Manis tidak memaksa, barangkali ini adalah hukuman pada bang Lamin dan juga Manis sendiri atas apa yang berlaku pada waktu-waktu silam.
JIBAH: (LEMBUT) Manis kena sabar menghadapi semuanya ini, memang terlalu susah bila kita berdepan dengan orang yang berhati keras macam batu.
MANIS: (PERLAHAN) Bang Toba…Jibah…Manis balik dulu, bagaimana pun Manis akan tunggu Jibah dan bang Toba.
* * * * * *
M/LOG: Memang sukar dan sulit untuk meraih apa yang dinamakan kemaafan ataupun keampunan dari seseorang, begitu tinggi nilainya hingga tidak dapat dijangkau dengan wang ringgit. Hutang darah dibayar darah…hutang budi dibawa mati…hutang hati dan perasaan merana diri…!
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
LAMIN: (PERLAHAN DAN SEDIH) Akhirnya kau datang juga Toba, aku sakit dan memohon ampun atas dosa-dosaku padamu.
TOBA: (KERAS) Aku datang ini bukan hendak mendengar rayuanmu yang sudah tidak ada maknanya itu lagi.
LAMIN: Tak mengapa Toba…sekurang-kurangnya kau sudah memaafkan aku, dan aku merasa tenang jika berhadapan dengan kematianku nanti.
TOBA: Aku datang ini kerana terpaksa…aku tidak ingin melihat kau dalam neraka jika aku tidak mengampunkan kau.
LAMIN: Kau berhati mulia Toba…bukan macam aku, aku sedar dan insaf sekarang atas apa yang telah aku lakukan.
TOBA: (MENGEJEK) Sudah lama aku di sini…tapi kau belum juga mati-mati lagi.
LAMIN: Sejak dulu hingga sekarang kau tidak berubah Toba…keras…tegas dan punya pendirian. Walau sifatmu kasar tapi kau mempunyai hati yang baik.
MANIS: Bang Toba…hari-hari seperti inilah yang sering ditunggu-tunggu oleh bang Lamin. Esok tahun baru yang pastinya meninggalkan tahun sekarang.
LAMIN: Benar Toba…begitu juga segala dosa dan kesalahan tahun-tahun berlalu, biarkan hilang dan jangan dikenang lagi. Biar tahun baru akan membuka lambaran barunya sama seperti kita-kita ini.
TOBA: Bukan masanya hendak bergurau Lamin…kata kau nak mati…matilah lekas…!
LAMIN: Selagi kau belum memaafkan aku…selagi itu nyawaku belum putus.
TOBA: Aku dah katakan tadi…aku memaafkan kau dunia dan akhirat…!
LAMIN: Terima kasih Toba…keampunan mu membuat aku kembali segar dan bertenanga, nampaknya Tuhan belum mengizinkan aku mati.
TOBA: (TERPERANJAT) Apa…? Kau tidak sakit Lamin…?!?
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
JIBAH: (PERLAHAN) Bang…Manis dan Lamin datang…mereka membawa cucu kita.
TOBA: Buat apa mereka datang…? Katakan aku tidak ada…
JIBAH: Sudahlah bang…yang lepas tu sudahlah, abang pun sudah memaafkan mereka. Mereka tunggu abang tu…!
TOBA: (AGAK KUAT) Iyalah…! Nanti aku keluar…
GRAM: MUZIK SELINGAN…….
TOBA: (KERAS) Baguslah kau dah sihat…
LAMIN: Semua ini kerana keikhlasan mu Toba…untuk mengiringi lambaran tahun baru hari ini, kami ada sesuatu untuk kau…
MANIS: (LEMBUT) Bang Toba…ini Manja…cucu kita yang baru lahir semalam…sengaja Manis bawa ke sini, Manja inginkan kucupan pertama dari atuknya…
TOBA: (SEDIH-TERHARU) Ya...Allah…! Kesilapan apa yang telah aku lakukan selama ini…hingga tidak mengenal darah daging sendiri.
LAMIN: Manja lahir ke dunia ini untuk menyaksikan dua keluarga berkumpul menjadi satu…sehati dan sejiwa.
TOBA: Maafkan segala kekasaranku selama ini Lamin, mata dan hatiku menjadi buta untuk menerima hakikat apa yang telah ditakdirkan Allah. Aku cuba mengelakkan semua ini…namun takdir telah menentukan segalanya.
JIBAH: Alhamdulillah…kelahiran Manja dapat menyatukan kita dalam satu keluarga yang aman dan harmoni.
* * * * * *
M/LOG: Setiap sesuatu yang diciptakan Allah itu masing-masing punya rezeki dan hikmahnya. Demikian juga MANJA…lahirnya telah menyatukan dua keluarga yang sekian lama bersengketa. Di mana bumi dipijak, di situ langit akan tetap dijunjung…!
GRAM: PUTARKAN LAGU TAKDIR PENENTU SEGALANYA
NYANYIAN JAMAL ABDILLAH………………………
GRAM: MUZIK PENGENALAN (PENUTUP)…….
ANN: ……....berjodol ‘Manis Manja’ tulisan Hj Jamaluddin Aspar, Brunei
PARAW WATAK
1 TOBA
2 LAMIN
3 MANIS
4 JIBAH.
Posted by Maya Brunei at 5:06 AM 0 comments
Labels: arkib drama radio
