Wednesday, November 2, 2011

KASUT TUMIT TINGGI

Laki Mak Dora…Pak Moksin sudah pandai sembang-sembang di kedai kopi, tidak ada sebuah pun kedai kopi yang berselirak di pesisiran jalan kecil kampungnya itu terkecuali dari kunjungannya.

Mak Dora tidak kisah dan tidak akan pernah kisah apalagi untuk mengambil kisah di kedai manapun lakinya itu minum. Mak Dora tidak pernah bertanya malah tidak akan bertanya apa-apa kepada lakinya. Di mana…dan dengan siapa lakinya berjalan dan untuk apa-apa yang hendak diapa-apakan umpamanya.

Biarkan lakinya menghirup udara dalam usia terkini, yang tidak pernah dirasakannya ketika mereka muda-muda dahulu. Kerana itu Mak Dora menghadiahkan sebuah kebebasan untuk lakinya yang juga belum pernah diberikannya sejak mereka bertahta hingga ke saat ini.

Mak Dora percaya dan yakin lakinya itu tidak akan kemana-mana, Mak Dora cukup kenal pada hati dan budi lakinya itu. (Namanya suami isteri…). Kiranya umur mereka dilanjutkan maka usia perkahwinan mereka akan genaplah lima puluh tahun tidak lama lagi. Mungkin anak-anak dan cucu-cucu serta cicitnya telah pun merancang sesuatu untuk mengadakan hari ulang tahun perkahwinan mereka yang dijolok dengan sebutan Jubli Emas. (Tidak tahu di mana emasnya).

Pak Moksin baru lepas dua hari angka usianya tertulis tujuh puluh satu tahun, manakala Mak Dora sendiri sudahpun meraikan hari ulang tahunya yang ke enam puluh tujuh beberapa bulan yang lalu.

“Kau jangan terlalu baik hati Dora…” Mak Tijah punya mulut laser sikit.

“Kita ini sudah tua Tijah…apa lagi yang ada.” Dora bersahaja.

“Aku taulah kau itu tidak pernah cemburu sejak muda-muda dulu lagi, masa aku menonton wayang SANGAM bersama lakimu pun…kau masih boleh senyum padaku.” Terlindap sedikit layar perak yang menayangkan hero yang jatuh dari atas kayu dan heroinnya yang bernang dalam air. (Mana ada orang berenang di pasir).

Mak Dora yang selalu dingin, baik dalam percakapan mahupun berbuatan jarang sekali bersikap agresif. Itu kelebihan Mak Dora yang tidak ada pada Mak Tijah.
“Apapun usulnya kau harus hati-hati sikit, jangan terlalu memberikan kebebasan pada laki kau itu tanpa kawalan.” Macam memantau kawalan harga barang alunan kata-kata Mak Tijah itu.

Dalam bab ini mungkin Mak Tijah betul kerana pepatah ada mengatakan ‘orang lelaki itu umpama besi, walau berkarat masih punya harga’. (Untungkah jadi lelaki…!).

“Siapa yang inginkan orang tua macam laki aku itu, sudah tak bertenaga dan kurang segala-galanya. Buka tutup kain pun macam tak larat.” Mak Dora senyum hingga nampak barisan gigi palsunya tersusun rapi. Mak Tijah faham apa yang dimaksudkan oleh kawan lamanya itu.

Itu perbualan Mak Dora dengan Mak Tijah, kebetulan mereka bertemu di pasar ikan dengan disulami gelak ketawa yang berpanjangan, sesekali mengundang orang lalu lalang di pasar itu menoleh ke arah mereka yang juga akhirnya tersenyum simpul melihat gelagat dua warga emas yang ceria itu walau tidak nampak benda yang tersimpul.

Mak Tijah kawan seperjuangan sehati dan sejiwa dengan Mak Dora, umur Mak Tijah muda dua tahun dari Mak Dora. Tapi Mak Dora nampak lebih muda dari Mak Tijah, barangkali sejak kecil hingga remaja dan sampai kini Mak Dora pandai jaga badan.

Sebelum pertemuan mereka itu Mak Dora sudah pusing keliling beberapa kali dalam pasar itu macam orang yang sesat di tengah hutan belantara untuk membeli ikan yang terpaut di hati. Tapi belum terjumpa ikan yang bagaimana hendak dibawa pulang, kerana setiap kali Mak Dora ke pasar, apa yang Mak Dora nampak muka ikan yang serupa itu juga. Saat-saat akhir yang seakan terpaksa pada penghujungnya, maka akan berlakulah pertukaran ikan dengan wang.

“Kau ke pasar ni buat apa…?” Satu pertanyaan entah sedar atau tidak dari Mak Dora yang tidak disangka-sangka oleh Mak Tijah.

“Tentulah nak beli ikan, takkan nak beli kasut tumit tinggi.” Mak Tijah senyum.

Kali ini gigi palsu Mak Tijah pula yang kelihatan, tapi kurang cantik susunannya. Mak Dora senyum sama kerana dia tahu itulah jawaban Mak Tijah yang terang-terangan menyindirnya. Sekali gus Mak Dora tergamit untuk mengingati detik-detik indah pada zaman mudanya dahulu.

“Rupanya kau masih ingat lagi dengan kasut kegemaranku itu Tijah…” Mak Dora rasa bangga kerana punya kawan yang masih ingatkan dirinya sampai ke kasut.

“Memang aku tak lupa.” Mak Tijah.

Mak Dora memang gemar memakai kasut tumit tinggi dan sesuai dengan badannya yang kecil molek dan lentik itu. Tambahan pula jika memakai baju kebaya dan berkain lepas, Mak Dora menepati gadis desa yang sejati.

“Kau nak beli apa pula?” Mak Tijah.

“Aku nak beli manik…!” Mak Dora.

Mak Dora sambil menjeling manja walaupun kemanjaan itu sudah dimamah usianya, tapi masih segar kerana jelingan manjanya itu adalah milik aslinya yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya dan kerana jelingan itulah juga yang membuatkan Pak Moksin tersungkur ke dalam ribaannya hingga sekarang.

Tanpa sedar mereka menghalang orang lain yang lalu lalang di lorong dalam pasar itu, maklum sajalah jika lama tidak berjumpa, suasana keliling pun tidak sempat diambil kira. Mereka beredar ke tempat lain di sudut pasar itu setelah menyedari mereka menjadi penghalang kelancaran orang ulang alik dalam pasar yang riuh rendah itu.

“Kau ada orang gajikah.” Mak Dora menukar tajuk.

“Itulah masalahnya…” Mak Tijah menekan sedikit nadanya.

“Kau ini sejak dulu lagi hingga sekarang cuma masalah saja yang kau cakapkan, bila lagi kau nak berpisah dengan masalah?” Macam marah melodi Mak Dora.

“Hari itu aku ambil yang tua, sudahnya aku sendiri yang tidak berselera nak makan.” Terbayang wajah pembantu rumah itu dimata Mak Tijah. Mak Tijah bekerek.

“Ambil yang muda…!”

“Lagi banyak masalah…”

“Mengapa…? Lakimu yang nyaman makan…!”

“Belum sampai empat bulan sudah nak balik, alih-alih duit kita yang habis kerana tukar itu dan tukar ini.” Lapang dada Mak Tijah seolah-olah tidak ada apa-apa benda lagi di dadanya yang terbungkus dengan tudung mini talkung itu.

“Kalau begitu itu jangan ambil orang gaji, macam aku…kalau ada rasa nak makan di rumah baru aku memasak. Kalau tidak biar laki aku makan di luar dan aku minta tapaukan saja habis cerita.” Mak Dora pula yang merasa lapang.

Itulah puncanya laki Mak Dora sudah pandai makan di luar. Mak Dora pun sudah tidak minat lagi untuk memasak, cuma sekali sekala Mak Dora memasak jika terasa jemu dengan masakan luar.
Bagi Pak Moksin sekarang, makan di rumah dengan makan di kedai memang ketara bezanya, tapi nak kata bagaimana jika orang rumah tidak mahu memasak. Mungkin juga ada benarnya Mak Dora sudah penat untuk memasak, kerana itulah tidak ada bantahan apa-apa dari Pak Moksin. Pokoknya ada yang masuk ke dalam perut sudah memadai.

Sesekali Pak Moksin merasakan bosan juga makan di kedai yang sama berulang-ulang, tapi oleh kerana sudah terbiasa semacam tidak senang pula hidup seharian jika tidak makan di kedai, walau sudah terasa hambar.

“Nampaknya kau tak berselera makan hari ini…?” Tanya Pak Busu kawan rapat Pak Moksin yang hampir sebaya usia dengannya.

“Tak ada tempat lain kah yang lebih sedap…?” Pak Moksin sambil menghirup kopi tariknya yang cuma tinggal satu perempat itu.

“Kalau makan yang sama berulang-ulang tentulah tak sedap.” Giliran Pak Busu pula yang menghirup habis teh halia aisnya yang baru kurang satu perdua itu.

“Hari-hari lauk itu juga…gulaipun itu juga…” Rungut Pak Moksin sendirian.

“Aku rasa semua restoran di sini sudah kita kunjungi…takkan nak makan pun pergi ke Belait ataupun Temburong…!” Pak Busu membasahi bibirnya yang masih ada rasa halia itu dengan ketulan ais di dalam gelasnya dan mengunyah yang selebihnya sebagai pencuci mulut. Karup-karup…!

Pak Moksin sudah tidak ada selera lagi nak makan di luar, dia ingin makan di rumah seperti sebelumnya. Makan di rumah nyaman…berselera dan tenang, tidak bercampur baur dengan jerit pekik serta riuh rendah yang cuma memekakkan telinga.

Pak Busu bercadang hendak membawa Pak Moksin ke sebuah restoran yang dikatakan best untuk merubah selera. Sebenarnya Pak Busu belum pernah ke restoran itu walaupun sudah banyak restoran yang dikunjunginya. Entah bagaimana pula Pak Busu terlepas ingatan pada restoran yang satu ini, mengikut kawan Pak Busu restoran ini baru saja dibuka minggu lepas.

“Aku nak bawa kau ke sebuah restoran yang baru dibuka, di sana palbagai masakan ada…sedap-sedap, pelayannya pun boleh tahan…!” Itu kata Pak Busu dari kata orang-orang yang pernah ke situ.

“Kita bukan nak makan orang…” Sahut Pak Moksin jujur.

“Aku bukan bermaksud nak makan pelayan, tapi nak ubah selera...!”

Pak Busu yang sudah lama menjadi duda tua itu memang tidak ada masalah untuk terus melaram walau hingga dua puluh empat jam dalam restoran. (Kalau ada restoran buka sampai 24 jam).

Tapi bagi Pak Moksin dalam dirinya masih ada tanggung jawab untuk berada di sisi seseorang yang dicintainya Itu gamitan cinta dan kasih sayang serta luahan perasaan sebenar dari seorang suami kepada seorang isteri walau tidak begitu dimengertikan oleh seorang yang bergelar isteri itu.

Sebaliknya lain pula bagi Mak Dora, dia merasakan dirinya itu sudah tidak lagi mempunyai keperluan yang tertentu kepada seorang lelaki tua yang bergelar suami itu. Di satu masa yang lain pula ada waktu-waktunya kehadiran lelaki tua itu dirasakannya cukup merimaskan yang cuma baginya menjadi teman menunggu sebuah kematian.

Itu akhir sebuah perasaan Mak Dora tanpa diketahui oleh Pak Moksin bahawa itulah cita rasa perasaan isterinya ketika ini. Bagaimana pun Mak Dora masih ingat celoteh Mak Tijah agar dia memantau kebebasan yang diberikannya kepada Pak Moksin. Ini perlu dicampur tolak…dikali bahagi agar samajuganya seimbang.

Hari itu masakan Mak Dora lebih sedap dari hari-hari biasa. Mak Dora memang pandai memasak, kalau Mak Dora inginkan glamour sudah lama Mak Dora menerima tawaran untuk beraksi dalam ruangan mari memasak di televisyen.

Tapi apa yang Mak Dora rasakan biarlah dia memasak untuk suaminya dan bukan untuk penonton televisyen yang hanya ghairah melihat cara memasak tapi jarang yang mahu mempraktikkannya.

Hidangan istimewa sudah tersedia, baunya saja sudah cukup menceritakan betapa enak dan nyamannya masakan Mak Dora hari itu. Macam berjanji sebuah kereta yang agak berjenama juga tiba-tiba muncul dan berhenti di halaman rumahnya. Mak Dora memerhatikan kereta itu dan ingin mengetahui siapa yang datang, tapi yang pasti bukan anak-anaknya apalagi suaminya.

Mak Dora tertanya-tanya apabila melihat seorang wanita pertengahan umur keluar dari pintu sebelah kiri dengan memakai kasut tumit tinggi seperti dia muda-muda dahulu. Sudah menjadi hobi Mak Dora jika memandang seseorang itu dia akan melihat kasut terlebih dahulu.

Belumpun terjawab siapa wanita pertengahan umur yang misteri itu, darah Mak Dora menderu umpama hembusan angin pantai musim kemarau, apabila seorang lelaki yang lebih tua dari wanita pertengahan umur itu keluar dengan segaknya memakai kaca mata hitam ala Panca Sitara sedang berjalan bergandingan malah berpegangan tangan dengan wanita pertengahan umur itu bagaikan sepasang suami isteri.



Mak Dora tidak terkata apa-apa, badannya menggeletar…jantungnya berdegup kencang dan nadinya bedenyut cepat. Lelaki tua itu walau berkaca mata dan memakai rambut palsu nampak macam orang muda, namun Mak Dora masih kenal lelaki tua itu ialah suaminya…Pak Moksin.

“Kamu tak payah memasak…kami akan makan di Restoran Hotel…!”

Pak Moksin tanpa menunggu jawaban dari Mak Dora langsung beredar meninggalkan Mak Dora dengan diikuti oleh wanita pertengahan umur itu sambil tangan Pak Moksin memegang erat pinggang wanita pertengahan umur itu dengan diiringi gelak ketawa.

Bagaikan aliran lahar gunung berapi betul-betul mencurah di atas bumbunan Mak Dora yang membakar hangus keseluruhan jasadnya. Wanita pertengahan umur itu menoleh dan sempat menghadiahkan sebuah senyuman sinis kepada Mak Dora. Mak Dora luka parah oleh senyuman yang mengatil itu, Mak Dora cuma mampu menjerit…!

“Aaaa.......aaa…….aahhh…!….!...hah…!...”

Alhamdulillah…! Syukur kepada Allah…

Laungan azan Asar dapat menyelamatkan Mak Dora dari terbakar hangus dan menjadi abu walau cuma dalam sebuah mimpi. Dan mimpi itu pula benar-benar mencerminkan kehidupan yang wajib diterima oleh Mak Dora tidak mengira faktor usia dan apapun untuk keharmonian sebuah rumah tangga hingga ke garis penamatnya. Liang lahat…!

Mak Dora akan menjadikan dirinya seorang suri rumah tangga seperti dahulu dan sebelum ini. Mak Dora juga tidak akan membiarkan suaminya makan di luar lagi, dia akan berkhidmat dalam semua hal zahir dan batin untuk suaminya hingga ke hujung nyawa. Itu tinta emas dari seorang isteri warga emas.

Sekali lagi Mak Dora dikejutkan oleh kehadiran sebuah kereta di hadapan rumahnya. Mak Dora gelisah kalau-kalau mimpinya sebentar tadi akan menjadi kenyataan. Sambil menarik nafas panjang Mak Dora bangkit untuk memestikan siapa yang datang itu.

Buat kali keduanya badan Mak Dora menggeletar…bukan mimpi. Kereta yang terpampang di hadapan matanya itu bagaikan diphotocopy dengan kereta yang ujud dalam mimpinya itu. Mak Dora melihat pintu kereta yang dibuka orang dari dalam.

Badan Mak Dora semakin sejuk…ini sebuah realiti. Orang yang keluar dari dalam kereta itu memakai kasut tumit tinggi, dan di ruang legar mata Mak Dora ribuan kulimpapat mulai berterbangan.



0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online