Wednesday, November 2, 2011

JABAL NUR


Puncakmu mencecah awan
kulontarkan pandangan
syahdu
ada ketenangan
kedamaian
seakan melambai-lambai
menggamit
hati naluriku
untuk membisikkan sesuatu
aku
kepingin benar
mendaki hingga ke puncak
sebuah gunung
yang ada padanya
sebuah gua keramat
yang tersembunyi hikmahnya
di mana wahyu bermula.

Jabal Nur
di puncak mu tersisip
Gua Hira’
gua pilihan Allah
punya kelebihan
kemuliaan
yang tidak dimiliki
oleh jabal-jabal lain
di mana Rasulullah S.A.W.
beribadat
yang di dalamnya
berlaku pertemuan
antara dua hamba Allah
manusia dan malaikat
sekali gus
turunnya wahyu pertama
menyampaikan risalah langit
untuk disebarkan
kepada manusia
dan seluruh alam.

Jabal Nur
ketenanganmu seakan menyapa
mengingati sebuah perjuangan
munculnya risalah Islam
yang kau sendiri menyaksikannya
kerana itu aku kepingin
masuk ke perutmu
untuk bertakbir
tasbih
dan tahmid
sambil menikmati
cahaya dan berkah
serta kesyahduan
bekas dahi Junjungan pilihan
Rasulullah S.A.W.
walau lebih
ribuan tahun jaraknya.

Jabal Nur
sekebal nadi
sekental semangat
ketulusan hati dan budi
penegak Islam
mengingati Pencipta
mengagungkan agama Allah
membenteras kejahilan
membuka mata dan minda
meniup semangat beragama
untuk kesejehteraan umah
di saat awal dari kemunculan
agama Islam di muka bumi
hingga tergulungnya nanti
langit mahupun bumi.

Jabal Nur
tetap kukuh
tetap kental
dalam ingatan insan mukmin
yang sedar asal usulnya
sebagaimana perjuangan
insan biasa
tapi luar biasa
Nabi Muhammad S.A.W.
menegakkan Islam ke serata dunia.

Jabal Nur…!
kau bukan cuma sejarah
untuk dirista
mahupun ristaan
tapi pintu utama
menemukan dua makhluk
ciptaan Allah Yang Maha Esa
untuk mengenal erti beragama
yang nyata lurus dan benarnya
yang jelas kenikmatan
dan kebahagiaannya
untuk semua umah
yang beriman kepada Allah
buat pengakhir kehidupan
yang sejati dan abadi
aman sejehtera
bersama bidadari-bidadari jelita
dalam Syurga yang penuh nikmat
yang Allah telah janjikan.


MASJID NABAWI


Di dalam perutmu
ada insan agung
bersemadi
tenang damai
ajarannya disanjung
sunahnya dijunjung
syafa’atnya
penyelamat
insan beriman
menepati utusan
menjadi rahmat.


KASUT TUMIT TINGGI

Laki Mak Dora…Pak Moksin sudah pandai sembang-sembang di kedai kopi, tidak ada sebuah pun kedai kopi yang berselirak di pesisiran jalan kecil kampungnya itu terkecuali dari kunjungannya.

Mak Dora tidak kisah dan tidak akan pernah kisah apalagi untuk mengambil kisah di kedai manapun lakinya itu minum. Mak Dora tidak pernah bertanya malah tidak akan bertanya apa-apa kepada lakinya. Di mana…dan dengan siapa lakinya berjalan dan untuk apa-apa yang hendak diapa-apakan umpamanya.

Biarkan lakinya menghirup udara dalam usia terkini, yang tidak pernah dirasakannya ketika mereka muda-muda dahulu. Kerana itu Mak Dora menghadiahkan sebuah kebebasan untuk lakinya yang juga belum pernah diberikannya sejak mereka bertahta hingga ke saat ini.

Mak Dora percaya dan yakin lakinya itu tidak akan kemana-mana, Mak Dora cukup kenal pada hati dan budi lakinya itu. (Namanya suami isteri…). Kiranya umur mereka dilanjutkan maka usia perkahwinan mereka akan genaplah lima puluh tahun tidak lama lagi. Mungkin anak-anak dan cucu-cucu serta cicitnya telah pun merancang sesuatu untuk mengadakan hari ulang tahun perkahwinan mereka yang dijolok dengan sebutan Jubli Emas. (Tidak tahu di mana emasnya).

Pak Moksin baru lepas dua hari angka usianya tertulis tujuh puluh satu tahun, manakala Mak Dora sendiri sudahpun meraikan hari ulang tahunya yang ke enam puluh tujuh beberapa bulan yang lalu.

“Kau jangan terlalu baik hati Dora…” Mak Tijah punya mulut laser sikit.

“Kita ini sudah tua Tijah…apa lagi yang ada.” Dora bersahaja.

“Aku taulah kau itu tidak pernah cemburu sejak muda-muda dulu lagi, masa aku menonton wayang SANGAM bersama lakimu pun…kau masih boleh senyum padaku.” Terlindap sedikit layar perak yang menayangkan hero yang jatuh dari atas kayu dan heroinnya yang bernang dalam air. (Mana ada orang berenang di pasir).

Mak Dora yang selalu dingin, baik dalam percakapan mahupun berbuatan jarang sekali bersikap agresif. Itu kelebihan Mak Dora yang tidak ada pada Mak Tijah.
“Apapun usulnya kau harus hati-hati sikit, jangan terlalu memberikan kebebasan pada laki kau itu tanpa kawalan.” Macam memantau kawalan harga barang alunan kata-kata Mak Tijah itu.

Dalam bab ini mungkin Mak Tijah betul kerana pepatah ada mengatakan ‘orang lelaki itu umpama besi, walau berkarat masih punya harga’. (Untungkah jadi lelaki…!).

“Siapa yang inginkan orang tua macam laki aku itu, sudah tak bertenaga dan kurang segala-galanya. Buka tutup kain pun macam tak larat.” Mak Dora senyum hingga nampak barisan gigi palsunya tersusun rapi. Mak Tijah faham apa yang dimaksudkan oleh kawan lamanya itu.

Itu perbualan Mak Dora dengan Mak Tijah, kebetulan mereka bertemu di pasar ikan dengan disulami gelak ketawa yang berpanjangan, sesekali mengundang orang lalu lalang di pasar itu menoleh ke arah mereka yang juga akhirnya tersenyum simpul melihat gelagat dua warga emas yang ceria itu walau tidak nampak benda yang tersimpul.

Mak Tijah kawan seperjuangan sehati dan sejiwa dengan Mak Dora, umur Mak Tijah muda dua tahun dari Mak Dora. Tapi Mak Dora nampak lebih muda dari Mak Tijah, barangkali sejak kecil hingga remaja dan sampai kini Mak Dora pandai jaga badan.

Sebelum pertemuan mereka itu Mak Dora sudah pusing keliling beberapa kali dalam pasar itu macam orang yang sesat di tengah hutan belantara untuk membeli ikan yang terpaut di hati. Tapi belum terjumpa ikan yang bagaimana hendak dibawa pulang, kerana setiap kali Mak Dora ke pasar, apa yang Mak Dora nampak muka ikan yang serupa itu juga. Saat-saat akhir yang seakan terpaksa pada penghujungnya, maka akan berlakulah pertukaran ikan dengan wang.

“Kau ke pasar ni buat apa…?” Satu pertanyaan entah sedar atau tidak dari Mak Dora yang tidak disangka-sangka oleh Mak Tijah.

“Tentulah nak beli ikan, takkan nak beli kasut tumit tinggi.” Mak Tijah senyum.

Kali ini gigi palsu Mak Tijah pula yang kelihatan, tapi kurang cantik susunannya. Mak Dora senyum sama kerana dia tahu itulah jawaban Mak Tijah yang terang-terangan menyindirnya. Sekali gus Mak Dora tergamit untuk mengingati detik-detik indah pada zaman mudanya dahulu.

“Rupanya kau masih ingat lagi dengan kasut kegemaranku itu Tijah…” Mak Dora rasa bangga kerana punya kawan yang masih ingatkan dirinya sampai ke kasut.

“Memang aku tak lupa.” Mak Tijah.

Mak Dora memang gemar memakai kasut tumit tinggi dan sesuai dengan badannya yang kecil molek dan lentik itu. Tambahan pula jika memakai baju kebaya dan berkain lepas, Mak Dora menepati gadis desa yang sejati.

“Kau nak beli apa pula?” Mak Tijah.

“Aku nak beli manik…!” Mak Dora.

Mak Dora sambil menjeling manja walaupun kemanjaan itu sudah dimamah usianya, tapi masih segar kerana jelingan manjanya itu adalah milik aslinya yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya dan kerana jelingan itulah juga yang membuatkan Pak Moksin tersungkur ke dalam ribaannya hingga sekarang.

Tanpa sedar mereka menghalang orang lain yang lalu lalang di lorong dalam pasar itu, maklum sajalah jika lama tidak berjumpa, suasana keliling pun tidak sempat diambil kira. Mereka beredar ke tempat lain di sudut pasar itu setelah menyedari mereka menjadi penghalang kelancaran orang ulang alik dalam pasar yang riuh rendah itu.

“Kau ada orang gajikah.” Mak Dora menukar tajuk.

“Itulah masalahnya…” Mak Tijah menekan sedikit nadanya.

“Kau ini sejak dulu lagi hingga sekarang cuma masalah saja yang kau cakapkan, bila lagi kau nak berpisah dengan masalah?” Macam marah melodi Mak Dora.

“Hari itu aku ambil yang tua, sudahnya aku sendiri yang tidak berselera nak makan.” Terbayang wajah pembantu rumah itu dimata Mak Tijah. Mak Tijah bekerek.

“Ambil yang muda…!”

“Lagi banyak masalah…”

“Mengapa…? Lakimu yang nyaman makan…!”

“Belum sampai empat bulan sudah nak balik, alih-alih duit kita yang habis kerana tukar itu dan tukar ini.” Lapang dada Mak Tijah seolah-olah tidak ada apa-apa benda lagi di dadanya yang terbungkus dengan tudung mini talkung itu.

“Kalau begitu itu jangan ambil orang gaji, macam aku…kalau ada rasa nak makan di rumah baru aku memasak. Kalau tidak biar laki aku makan di luar dan aku minta tapaukan saja habis cerita.” Mak Dora pula yang merasa lapang.

Itulah puncanya laki Mak Dora sudah pandai makan di luar. Mak Dora pun sudah tidak minat lagi untuk memasak, cuma sekali sekala Mak Dora memasak jika terasa jemu dengan masakan luar.
Bagi Pak Moksin sekarang, makan di rumah dengan makan di kedai memang ketara bezanya, tapi nak kata bagaimana jika orang rumah tidak mahu memasak. Mungkin juga ada benarnya Mak Dora sudah penat untuk memasak, kerana itulah tidak ada bantahan apa-apa dari Pak Moksin. Pokoknya ada yang masuk ke dalam perut sudah memadai.

Sesekali Pak Moksin merasakan bosan juga makan di kedai yang sama berulang-ulang, tapi oleh kerana sudah terbiasa semacam tidak senang pula hidup seharian jika tidak makan di kedai, walau sudah terasa hambar.

“Nampaknya kau tak berselera makan hari ini…?” Tanya Pak Busu kawan rapat Pak Moksin yang hampir sebaya usia dengannya.

“Tak ada tempat lain kah yang lebih sedap…?” Pak Moksin sambil menghirup kopi tariknya yang cuma tinggal satu perempat itu.

“Kalau makan yang sama berulang-ulang tentulah tak sedap.” Giliran Pak Busu pula yang menghirup habis teh halia aisnya yang baru kurang satu perdua itu.

“Hari-hari lauk itu juga…gulaipun itu juga…” Rungut Pak Moksin sendirian.

“Aku rasa semua restoran di sini sudah kita kunjungi…takkan nak makan pun pergi ke Belait ataupun Temburong…!” Pak Busu membasahi bibirnya yang masih ada rasa halia itu dengan ketulan ais di dalam gelasnya dan mengunyah yang selebihnya sebagai pencuci mulut. Karup-karup…!

Pak Moksin sudah tidak ada selera lagi nak makan di luar, dia ingin makan di rumah seperti sebelumnya. Makan di rumah nyaman…berselera dan tenang, tidak bercampur baur dengan jerit pekik serta riuh rendah yang cuma memekakkan telinga.

Pak Busu bercadang hendak membawa Pak Moksin ke sebuah restoran yang dikatakan best untuk merubah selera. Sebenarnya Pak Busu belum pernah ke restoran itu walaupun sudah banyak restoran yang dikunjunginya. Entah bagaimana pula Pak Busu terlepas ingatan pada restoran yang satu ini, mengikut kawan Pak Busu restoran ini baru saja dibuka minggu lepas.

“Aku nak bawa kau ke sebuah restoran yang baru dibuka, di sana palbagai masakan ada…sedap-sedap, pelayannya pun boleh tahan…!” Itu kata Pak Busu dari kata orang-orang yang pernah ke situ.

“Kita bukan nak makan orang…” Sahut Pak Moksin jujur.

“Aku bukan bermaksud nak makan pelayan, tapi nak ubah selera...!”

Pak Busu yang sudah lama menjadi duda tua itu memang tidak ada masalah untuk terus melaram walau hingga dua puluh empat jam dalam restoran. (Kalau ada restoran buka sampai 24 jam).

Tapi bagi Pak Moksin dalam dirinya masih ada tanggung jawab untuk berada di sisi seseorang yang dicintainya Itu gamitan cinta dan kasih sayang serta luahan perasaan sebenar dari seorang suami kepada seorang isteri walau tidak begitu dimengertikan oleh seorang yang bergelar isteri itu.

Sebaliknya lain pula bagi Mak Dora, dia merasakan dirinya itu sudah tidak lagi mempunyai keperluan yang tertentu kepada seorang lelaki tua yang bergelar suami itu. Di satu masa yang lain pula ada waktu-waktunya kehadiran lelaki tua itu dirasakannya cukup merimaskan yang cuma baginya menjadi teman menunggu sebuah kematian.

Itu akhir sebuah perasaan Mak Dora tanpa diketahui oleh Pak Moksin bahawa itulah cita rasa perasaan isterinya ketika ini. Bagaimana pun Mak Dora masih ingat celoteh Mak Tijah agar dia memantau kebebasan yang diberikannya kepada Pak Moksin. Ini perlu dicampur tolak…dikali bahagi agar samajuganya seimbang.

Hari itu masakan Mak Dora lebih sedap dari hari-hari biasa. Mak Dora memang pandai memasak, kalau Mak Dora inginkan glamour sudah lama Mak Dora menerima tawaran untuk beraksi dalam ruangan mari memasak di televisyen.

Tapi apa yang Mak Dora rasakan biarlah dia memasak untuk suaminya dan bukan untuk penonton televisyen yang hanya ghairah melihat cara memasak tapi jarang yang mahu mempraktikkannya.

Hidangan istimewa sudah tersedia, baunya saja sudah cukup menceritakan betapa enak dan nyamannya masakan Mak Dora hari itu. Macam berjanji sebuah kereta yang agak berjenama juga tiba-tiba muncul dan berhenti di halaman rumahnya. Mak Dora memerhatikan kereta itu dan ingin mengetahui siapa yang datang, tapi yang pasti bukan anak-anaknya apalagi suaminya.

Mak Dora tertanya-tanya apabila melihat seorang wanita pertengahan umur keluar dari pintu sebelah kiri dengan memakai kasut tumit tinggi seperti dia muda-muda dahulu. Sudah menjadi hobi Mak Dora jika memandang seseorang itu dia akan melihat kasut terlebih dahulu.

Belumpun terjawab siapa wanita pertengahan umur yang misteri itu, darah Mak Dora menderu umpama hembusan angin pantai musim kemarau, apabila seorang lelaki yang lebih tua dari wanita pertengahan umur itu keluar dengan segaknya memakai kaca mata hitam ala Panca Sitara sedang berjalan bergandingan malah berpegangan tangan dengan wanita pertengahan umur itu bagaikan sepasang suami isteri.



Mak Dora tidak terkata apa-apa, badannya menggeletar…jantungnya berdegup kencang dan nadinya bedenyut cepat. Lelaki tua itu walau berkaca mata dan memakai rambut palsu nampak macam orang muda, namun Mak Dora masih kenal lelaki tua itu ialah suaminya…Pak Moksin.

“Kamu tak payah memasak…kami akan makan di Restoran Hotel…!”

Pak Moksin tanpa menunggu jawaban dari Mak Dora langsung beredar meninggalkan Mak Dora dengan diikuti oleh wanita pertengahan umur itu sambil tangan Pak Moksin memegang erat pinggang wanita pertengahan umur itu dengan diiringi gelak ketawa.

Bagaikan aliran lahar gunung berapi betul-betul mencurah di atas bumbunan Mak Dora yang membakar hangus keseluruhan jasadnya. Wanita pertengahan umur itu menoleh dan sempat menghadiahkan sebuah senyuman sinis kepada Mak Dora. Mak Dora luka parah oleh senyuman yang mengatil itu, Mak Dora cuma mampu menjerit…!

“Aaaa.......aaa…….aahhh…!….!...hah…!...”

Alhamdulillah…! Syukur kepada Allah…

Laungan azan Asar dapat menyelamatkan Mak Dora dari terbakar hangus dan menjadi abu walau cuma dalam sebuah mimpi. Dan mimpi itu pula benar-benar mencerminkan kehidupan yang wajib diterima oleh Mak Dora tidak mengira faktor usia dan apapun untuk keharmonian sebuah rumah tangga hingga ke garis penamatnya. Liang lahat…!

Mak Dora akan menjadikan dirinya seorang suri rumah tangga seperti dahulu dan sebelum ini. Mak Dora juga tidak akan membiarkan suaminya makan di luar lagi, dia akan berkhidmat dalam semua hal zahir dan batin untuk suaminya hingga ke hujung nyawa. Itu tinta emas dari seorang isteri warga emas.

Sekali lagi Mak Dora dikejutkan oleh kehadiran sebuah kereta di hadapan rumahnya. Mak Dora gelisah kalau-kalau mimpinya sebentar tadi akan menjadi kenyataan. Sambil menarik nafas panjang Mak Dora bangkit untuk memestikan siapa yang datang itu.

Buat kali keduanya badan Mak Dora menggeletar…bukan mimpi. Kereta yang terpampang di hadapan matanya itu bagaikan diphotocopy dengan kereta yang ujud dalam mimpinya itu. Mak Dora melihat pintu kereta yang dibuka orang dari dalam.

Badan Mak Dora semakin sejuk…ini sebuah realiti. Orang yang keluar dari dalam kereta itu memakai kasut tumit tinggi, dan di ruang legar mata Mak Dora ribuan kulimpapat mulai berterbangan.



BUKAN KEHENDAKKU


Suami keduanya menghadap Illahi ketika baring atas ranjang pengantin sebelum sempat melaksanakan kewajibannya selaku suami kepada Rina di malam pertama itu. Peristiwa pertamanya berulang kembali.

Rina bertekad untuk menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah. Cuma jalan itu yang akan dapat mententeramkan jiwanya yang selama ini bergelora. Rina akan melupakan urusan dunia buat semantara. Rina akan membasuh jiwanya dengan zikir…takbir dah tahmit.

Semua orang tidak inginkan musibah berulang kali. Walau pun itu berupa ujian dari Allah. Inilah yang berlaku kepada Rina, suami ketiganya jatuh atas pelamin dan meninggal kerana diserang penyakit jantung sebaik-baik saja selesai menapak bahunya.



Apa yang ingin dicarinya sekarang ini ialah kedamaian dan ketenangan. Rina sudah serik mencari kebahagian dunia, namun kebahagiaan itu tidak pernah berpihak kepadanya. Dia akan pergi jauh untuk mencari sesuatu yang dapat mententeramkan jiwanya.

Sudah tiga kali Rina mengelamai kegagalan untuk mengecapi kebahagiaan dan kemanisan hidup dalam ikatan perkahwinan. Dia tahu perkahwinan itu bukan untuk ulang berulang, jika boleh biar cuma sekali dalam hidup.

Tapi apa nak dikatakan jika semua itu sudah ditakdirkan yang harus diterimanya dengan penuh kerelaan. Rina cuma bersanding seorang diri di atas pelamin. Suami pertamanya meninggal serta merta di tempat kemalangan dalam perjalanan untuk majlis persandingan.

Manusia mesti ada wawasan untuk mencapai matalamat terakhir sebelum berpulang ke alam abadi. Peminta sedekah pun ada wawasan apa lagi orang seumpama kita yang mampu dalam serba serbi. Itu cuma aturcara dalam pengisian wawasan yang diharapkan tapi perjalanan dan perlaksanaannya memang di Tangan Tuhan.

Cinta ada di mana-mana. Apa lagi zaman sekarang tidak begitu sulit untuk mencari cinta yang bertaburan umpama bintang di langit. Dalam ICT boleh cating untuk mendapatkan jodoh umpamanya. Tapi bagi Rina tidak bersedia untuk mengutip kerana cintanya teramat mahal.

“Aku akan pergi ke pusat dunia.”

“Kau jangan macam-macam Rina...!”

“Aku ingin berlindung di bumi sejehtera itu.”

“Lain macam bunyinya.” Sara tidak mengerti.

“Aku ingin berserah diri dan memohon ampun jika selama ini aku berdosa.” Jelas Rina sambil terbayang wajah-wajah suaminya yang telah meninggal.

Air matanya menitik membasahi lantai Hijir Ismail. Dia bersimpuh di bawah lindungan Kaabah sambil menadah tangan betul-betul di bawah Pancuran Emas Rumah Allah itu. Rina memohon jika mati itu lebih baik baginya, dia rela dimatikan di tempat suci itu. Sesungguhnya jika hidup lebih baik untuknya maka dia mengharapkan keampunan.

''Sudahlah orang nampak kau nangis malu nanti."

"Aku menangisi nasib ku yang malang ini. Aku menjadi pembunuh kepada suami-suamiku, rasanya aku mau mati saja di sini." Rina menangkupkan kedua belah tangannya ke mukanya.

"Kita datang ke sini bukan untuk mati, bawa beristighfar banyak-banyak. Di sini kita terlalu dekat dengan Allah."

"Mengapa Allah memberikan ujian yang amat berat ini pada ku, mengapa tidak pada orang lain…?"

"Itu keluhan orang yang tidak beriman Rina, Allah telah menganugerahkan hamba-Nya dengan bahagian masing-masing."

“Semua itu bukan kehendak ku…”

“Kita pulangkan saja kepada Allah.”

“Aku sudah cuba melupakannya.”

“Kita tawaf dulu lepas itu kita makan KFC ok…!”

“Aku tak ada selera…”

“Jika perut kosong dapat sakit bagaimana nak beramal ibadat.”

“Macamana aku nak makan jika tak berselera.”

“Aku akan suapkan biar orang Arab lihat kau puas-puas.”

"Aku bukan budak-budaklah…!"

"Tau pun bukan budak tapi degilnya mengalahkan budak…"

"Aku ingin lari dari kejadian yang lampau, tapi hati kecilku masih menghukum diriku." Rina tidak mudah melupakan peristiwa-peristiwa itu.

"Semua itu hasutan iblis kau harus kuat melawannya.”

"Bahasa yang bagaimana hendak ku gunakan kan agar kau dapat merasakan beratnya tanggungan ku ini."

"Kota suci ini telah menjanjikan ketenangan dan kesejehteraan. Jangan sia-siakan peluang ini."

Rina begitu tenang apabila melihat Rumah Allah yang suci itu. Rasa-rasanya dia tidak akan melepas pandang. Renungannya tepat ke wajah Kaabah dengan jutaan manusia yang tiada henti-hentinya bertawaf. Itulah Kaabah yang menjadi kiblat muslimin dan muslimat sedunia.


"Abang ternanti-nanti kedatangan Rina selama ini."

"Mengapa abang tinggalkan Rina bang…?"

"Kita cuma berpisah semantara, satu ketika nanti kita akan dipertemukan juga."

"Tapi mengapa kita berpisah...?"

"Rina tinggal dulu abang nak ke sana sekejap...!"

"Jangan bang...tunggu. Rina nak pergi bersama abang…" Sara menggerak-gerakkan badan Rina.

"Kau bermimpi lagi Rina…?"

"Aku tidak mimpi, aku nampak bang Hairi duduk dekat aku dan bercakap-cakap dengan aku."

"Di mana…?"

"Di sini dekat dengan aku kemudian dia berjalan ke sana." Sara memandang ke arah yang dikatakan Rina itu. Dia cuma nampak seorang lelaki entah berbangsa apa sedang memandang mereka.
"Kita pergi sekarang…"

"Kemana...?"

"Ambil udhu, udhu mu sudah hilang…!"

"Aku tidak mimpi bang Hairi benar-benar ujud."

“Kau lihat orang itu memerhatikan kita…” Rina menoleh. Benar orang itu memandang mereka, Rina menjeling.

“Lepas sembahyang nanti temankan aku mencium Hajar Aswad.”

“Aku tak beranilah kau tengok orang tu terlalu ramai.”

“Kalau nak tunggu waktu lengang, alamat sampai kita balik nanti tidak akan dapat mencium Permata Syurga itu…”

“Itukan sunat…!”

“Itu aku taulah sedangkan Nabi kita pun pernah mengucupnya apa lagi kita.”

“Esok sajalah…!”
“Esok belum tentu menjanjikan kita ada umur, entah malam ini aku mati…”

Sejuk ulu hati Sara mendengar kelimat Rina itu. Memang betul cuma Allah yang mengetahui apa akan terjadi esok. Tapi minta-mintalah Allah akan mengurniakan umur yang panjang dan badan yang sihat agar hari esok akan memberikan lebih banyak kebaikan dari hari ini.

“Tolonglah aku Sara kali ini saja, lepas ni sampai mati pun aku tidak akan minta tolong pada mu lagi.”

“Janganlah cakap macam tu Rina aku sedih tau…!”

“Tadi bang Hairi hendak ke sana mana tau aku akan berjumpa dengannya.” Sara tidak mau memanjang-manjangkan cerita Rina. Sara bersedia memberikan khidmat ikhlas agar kawannya yang antik ini akan mendapat kepuasan.

Rina terasa lemas apabila dihimpit oleh ramai manusia yang besar-besar lebih sekali ganda dari dirinya. Namun pandanganya tidak terlepas dari memerhatikan Rina yang juga terumbang ambing umpama terapung-apung di lautan yang luas itu.

Arus manusia yang berbagai ragam dan teknik untuk sampai ke sasaran itu dengan tepat semakin deras. Yang terundur kena tolak marah, yang hampir jatuh pun marah. Semua orang hendak memarahi orang lain.

Sara tiba-tiba panik. Rina hilang dari pandangannya, dia mula bimbang takut terjadi apa-apa pada Rina. Sara cuba ke depan untuk mencari Rina tapi kerana himpitan manusia yang rakus itu tidak mengizinkan dia berbuat apa-apa.

Pandangan Rina terpaku kepada seorang lelaki berserban hijau sedang memegang Hajar Aswad yang bila-bila saja akan mengucupnya. Lelaki itu menoleh tepat pula ke wajah Rina. Rina terkejut. Darahnya terasa menyerap dan badannya sedikit menggelatar. Lelaki itu salin tak tumpah semacam wajah Hairi suaminya yang pertama.

“Abang…!” Rina menjerit memanggil lelaki itu.

Lelaki itu nampak Rina ikhlas meminta tolong. Kerana Allah lelaki itu mendapatkan Rina, atas keikhlasan kedua hamba Allah itu, akhirnya Rina berjaya juga mengucup Hajar Aswad dengan mudah, kemudian mereka keluar dari kawasan padat itu.

“Bagaimana abang berada di sini…?”

Lelaki berserban hijau itu diam. Rina masih tercegat tidak jauh dari Makam Nabi Ibrahim sambil memandang wajah lelaki itu puas-puas. Rina terkejut apabila badannya ditarik orang dan membawanya ke satu tempat yang agak lengang sedikit.

“Astaghfirullahalazim...! Mengapa kau berada di sini…?”

“Aku bersama bang Hairi tadi dia yang membawa aku mencium Hajar Aswad.”

“Mengucap Rina kita sedang berdepan dengan Rumah Allah ni...!”

“Aku berkata benar Sara takkanlah aku nak berbohong.”

“Kau masih berudu…?” Sara macam tak percaya. Memang dia tak percaya.

“Masih...!” Rina memandang muka Sara.

“Kita tawaf dulu lepas tu baru kau ceritakan perkara yang sebenarnya.”

“Kalau lepas tawaf pun aku akan tetap menceritakan perkara yang sama...!”

Rina dan Sara membelah kepadatan manusia yang tidak pedulikan orang lain itu. Mereka menyusur dengan laju masuk ke celah-celah jutaan hamba Allah itu untuk memulakan tawaf. Sara seakan berada di awang-awangan apabila ternampak Hairi bersama-sama tawaf di sebelah Sara.



 

blogger templates 3 columns | Make Money Online