Sunday, February 21, 2010

Bersama Terbitnya Fajar 2010


Kumpulan cerpen 'BERSAMA TERBITNYA FAJAR' adalah buku ketiga saya yang diterbitkan oleh Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei. Alhamdulillah...selamat dilancarkan pada 21 Februari 2010 di Stadium Tertutup, Berakas. Buku pertama saya juga sebuah kumpulan cerpen 'Asam Kering Dikembangi' yang telah diterbitkan pada tahun (2008) dan buku kedua pula sebuah puisi diterbitkan pada tahun (2009) berjodol 'Menyusur Senja'.
Terima kasih Dewan Bahasa dan Pustaka.

Maya Brunei
21.02.2010

Tuesday, February 16, 2010

Akukah Lilin Itu...?

Barangkali orang yang seperti ‘aku’ inilah yang dikatakan umpama ‘sebatang lilin’ menerangi yang lain tapi membakar hangus diri sendiri.

Itu bisik hati Cikgu Sitah, kadang-kadang Cikgu Sitah merasa kesal menjadi seorang pendidik anak bangsa, sedangkan Cikgu Sitah sendiri gagal sebagai seorang ‘ibu’ untuk menjadikan anaknya sendiri menjadi harapan bangsa dan negara, walau dalam satu ruang yang lain Cikgu Sitah berjaya memberikan ilmu kepada anak-anak watan yang bakal mengungkayahkan negara dalam erti kata menjadikannya ‘aset negara’.

Bola mata Cikgu Sitah berlinang lagi, walaupun dia tahu hidup ini sudah ditentukan oleh Tuhan dengan acuan masing-masing yang dinamakan takdir, tapi di ruang hati Cikgu Sitah merasa sedih kerana tidak dapat memberikan kepada anak-anaknya sendiri apa yang telah diberikannya kepada anak-anak didiknya.

Sebagai seorang ibu yang juga sekali gus seorang pendidik yang memberikan ilmu sudah merasakan cukup pada apa yang telah diberikannya kepada anak-anaknya selama ini, untuk menjadikan diri mereka orang yang berguna dalam masyarakat dan negara.

Apa yang dilakukan Cikgu Sitah dengan jujur dan ikhlas selama ini bukanlah kerana bayaran bulanan sebagai upah semata-mata, malah sudah menjadi tugas dan kewajibannya mencurahkan segala ilmu yang ada padanya kepada murid-muridnya. Dari satu sudut yang lain sudah terbukti anak-anak didik Cikgu Sitah berjaya menjadi orang-orang penting dalam mengendalikan jentera negara, walaupun belum sampai mencapai ke tahap menjadi menteri.

Apapun selaku orang yang percaya pada qada dan qadar semua itu datangnya dari Allah, manusia cuma merancang sedangkan Allah yang menentukannya. Maka dengan rendah hati Cikgu Sitah redha menerimanya kerana semua itu adalah ketentuan Allah dan mengharap akan ada hikmah di sebaliknya nanti.




Jatuhnya Tak Bersambut

Kejatuhan empayar Sang Lion (Raja Belantara) yang dibenanya lebih dua puluh tahun itu tidak banyak mengejutkan alam, apalagi untuk meraih simpati penghuni Belantara itu sendiri. Malah lebih banyak yang berpesta seolahnya bulan jatuh ke riba mereka, ataupun durian runtuh atas pengkuan mereka. Mentelah lagi bagi mereka yang pernah menjadi mangsa habuan Sang Lion. Jika hendak diSMSkan pun besar kemungkinan undian cuma sekitar kurang dari lapan belas peratus.

Sang Tiger (Raja Belukar) jiran sempadan Sang lion yang dulunya pernah bermusuhan begitu lama juga tidak berkata apa-apa. Bersedih tidak bergembira pun tidak. Sang Tiger lebih senang duduk dan diam. Pandang dan dengar. Kerana Sang Tiger sudah merasakan perit dan getirnya berjiran sempadan dengan Sang Lion yang suka bercakar dan berungkup itu.


Bagaimana pun kata manusia ‘cubit peha kanan yang kiri pun akan terasa juga’ begitulah Sang Tiger, dia juga merasa sedih dan kesal atas kejatuhan Sang Lion itu yang banyak di bantu oleh rakyatnya sendiri. Sang Lion memang banyak musuh yang sanggup menjadi pengkhianat asalkan Sang Lion jatuh dan hilang kuasa.

Pengkhianatan dari dalam inilah yang membuka luas dan lebar mulut musuh-musuhnya yang seperti cendawan itu mengambil kesempatan yang diketuai oleh Sang Serigala pepat di luar tetapi rencung di dalam. Sang Serigala menabur janji manis kepada musuh-musuh dalaman Sang Lion, akan membebaskan mereka dari cengkaman Sang Lion seandainya kerjasama diberikan kepada Sang Serigala.

Sang Serigala yang berwajah talam dua muka dan punya lidah bercabang itu masih mencatat Sang Lion dalam black listnya yang mustahil akan terhapus walau sampai hari kiamat itu, akan tetap membikin Sang Lion menjadi kojol dan menjadikan Belantaranya banjir dengan darah yang menghanyutkan bangkai-bangkai yang tidak berharga.

Selama kuasanya Sang Lion memang tidak boleh duduk diam. Dia gemar bersengketa. Jiran-jirannya tidak banyak bergaul dengannya kerana takut dengan resminya yang suka dengan perkelahian itu. Sang Lion sering dibayangi oleh musuh-musuh dalam Belantaranya, kerana itu Sang Lion diam-diam menghapuskan musuh-musuh dalam Belantaranya sendiri kerana tidak mau Belantaranya itu jatuh kepada musuh-musuh lamanya.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Begitulah nasib Sang Lion yang tidak menyangka rakan-rakannya sendiri, sahabat-sahabatnya yang paling rapat dan dekat dengannya ‘bagaikan kuku dengan isi’ sanggup berpaling tadah dan membuka jalan yang mudah kepada musuh-musuhnya sehingga dia jatuh tersungkur tanpa disambut oleh siapa-siapa.

Sang Tiger tidak mau ‘melepaskan anjing tersepit’ kerana selama ini dia kenal siapa Sang Lion yang sebenarnya. Sang Tiger juga tidak ingin menuai hasil yang disemainya atas kejatuhan Sang Lion itu, kerana Sang Tiger juga termasuk dalam black list Sang Serigala yang terpahat sebagai musuh-musuhnya yang wajib disingkirkan.

Sudahnya Sang Lion hilang kuasa. Sekarang Sang Lion tidak dapat lagi membentuk itu dan ini. Sang Lion kehilangan kuku dan taring, dia benar-benar hilang semuanya yang tinggal cuma jasad dan nyawa yang sudah tidak punya nafas lagi.

Sementara musuh-musuhnya pula begitu girang dan bersemangat menyambut kejatuhan Sang Lion itu ‘kata bersahut gayung bersambut’ terutama Sang Serigala yang menjadi kepala dan pernah menjadi kawan Sang Lion pada satu ketika dahulu semasa Sang Lion bersengketa dengan Sang Tiger.

Sang Serigala tidak boleh dipermainkan apalagi dimain-mainkan. Dengan suara yang nyaring dan lantang sambil menampakkan taringnya, Sang Serigala dengan bangganya melaungkan lagu kemenangannya setelah menumpaskan musuhnya yang lecek seperti Sang Lion itu.

Kini Belantara yang dulunya aman damai dan indah dengan dedaun tumbuhanya yang menghijau menjadi kucar-kacir. Sang Serigala dengan sewenang-wenangnya memasukkan kuncu-kuncunya yang dua kali lima itu berpijak dan berlari-lari girang di tanah Belantara yang bukan miliknya tapi sudah ditaklukinya walau belum diijab-kabulkan.

Penghuni Belantara yang mabuk dan dahagakan kedamaian dan keamanan yang semacam apa mereka inginkan itu, tidak sedar yang mereka sudah ditipu dan tertipu. Mereka juga tidak mengetahui apa maksud sebenar Sang Serigala memberikan pertolongan dan bantuan kepada mereka.

Hari demi hari dan tahun bertukar silih berganti, namun apa yang dijanjikan oleh Sang Serigala untuk mendamaikan Belantara yang semakin hancur itu belum terlakasana. Apa yang jelas dan nampak Sang Serigala dengan kuasa betonya telah berjaya mengalih hasil mahsul dan kekayaan Belantara ke tempat kediamannya nun jauh di daratan sana.

Tanah Belantara semakin hancur. Setiap masa dan waktu ada-ada saja nyawa melayang dan bangkai-bangkai busuk berserakan. Namun tanda-tanda Belantara akan pulih masih terlalu jauh. Jauh dan sejauh-jauhnya. Penghuni-penghuni yang berharap selama ini akan melihat Belantara akan lebih aman dari era kuasa Sang Lion akan menjadi kenyataan. Tapi semua itu cuma mimpi dan igauan di siang hari.

Kekesalan semakin terbayang pada wajah-wajah penghuni Belantara atas tindak tanduk Sang Serigala yang menjadikan mereka batu luncatan dan menambahkan lagi sengsara mereka. Mereka mula bercekaran sesama sendiri dan menyalahkan yang lain. Ini yang Sang Serigala suka dan inilah strategi yang sering diamalkan oleh Sang Serigala terhadap musuh-musuhnya.

Sang Serigala sudah mendapat apa yang diidam-idamkannya sekian lama. Dia berhasil meminum air anggur hitam yang dikatakannya satu ketika dahulu tidak boleh dimakan kerana rasanya masam. Sang Serigala semakin naik tocang tidak mengindahkan segala macam kehendak apalagi bantahan penghuni setempat, walaupun telah menjanjikan sebuah tahta kepada mereka.

Penghuni Belantara mulai sedar dengan permainan Sang Serigala yang dianggap mereka hero kerana berjaya menjatuhkan Sang Lion, tapi malang semuanya itu tinggal janji yang tidak dapat menjelmakan kedamain sebagaimana yang mereka inginkan. Malah lebih kejam dan zalim dari Sang Lion sendiri. ‘Nasi sudah menjadi bubur.’

Sang Rusa maupun Sang Kuda Belang yang nyata-nyata menjadi bahaman Sang Lion semasa era kekuasaannya juga terbayang kesedihan dan kehampaan dengan keadaan sekarang dan cuba membanding-bandingkan dengan kekejaman Sang Serigala yang gila kuasa itu. Mereka mula teringatkan Sang lion. Tapi sayang mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka takut diratah bulat-bulat oleh Sang Serigala.

Terlajak perahu dapat diundur tapi hadirnya Sang Serigala dengan kuncu-kuncunya di tanah Belatara itu memang sukar diundur sebelum mereka berhasil menghancurkan Belantara yang dulunya subur dan indah itu menjadi padang jarak padang tekukur.

Sang Lion selama dia berkuasa memang hidup dalam ketakutan, walaupun dia berhasil membena sebuah empayar yang berpuluh tahun dapat dikecapinya hasilnya. Kerana tanah Belantara yang dikuasainya itu adalah juga hasil dari rampasan kuasa melalui sebuah perkelahian. Akhirnya Sang Lion menang dan berkuasa.

Sang lion tidak suka kepada kawan-kawan dan juga jiran-jirannya yang bersekungkul dengan Sang Serigala. Kerana itu dia sering bermusuhan dengan kawan-kawanya yang bersikap begitu. Kerana itu juga kawan-kawannya harus hati-hati apabila bersalaman dengan Sang Lion ini.

Kini musuh-musuhnya begitu geram melihat Sang Lion walaupun Sang Lion berada di dalam kurungan. Sang Lion pula tidak gentar walaupun berdepan dengan Sang Serigala sendiri. Nasib hidup atau mati Sang Lion tergantung kepada kawan dan teman yang dulu sebulu denganya, tapi mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana nasib mereka juga sama.

Kini Belantara cuma menunggu waktu dan detik untuk menjadi hamparan bagi sebuah perkuburan yang menjadi tugu peringatan tentang kehancuran sebuah empayar Sang Lion. Tanah Belantara belum tahu milik siapa, apakah dia akan menjadi milik Sang Serigala yang bongkak itu ataukah akan kembali menjadi milik peribumi Belantara yang sudah dirobotkan oleh Sang Serigala itu.

Tanah Belantara semakin hancur. Sedikit demi sedikit dirobak rabekkan oleh kuncu-kuncu Sang Serigala yang semakin ganas dan mengganas itu. Alam seolah-olah tidak tahu apa yang terjadi kepada Belantara gara-gara kegilaan dan kerakusan Sang Serigala memamah sesuka hati setiap inci isi Belantara yang bukan miliknya itu.

Penghuni Belantara sudah hilang sabar, mereka berani mati menentang tali barut dan kuncu-kuncu Sang Serigala dan mengusir keluar dari tanah Belantara mereka. Sang Serigala yang tidak suka ditentang seperti itu semakin marah dan membuatkan tanah Belantara bermandikan darah berlipat ganda.

Sang Serigala semakin benci pada Sang Lion walaupun sudah terkurung tidak dapat berbuat apa-apa. Sang Serigala mau Sang Lion cepat mati dan messinya untuk menghancurkan Belantara berhasil. Kerana itu nanti namanya akan dijulang ke seluruh alam kerana dapat menjatuhkan Sang Lion yang terkenal garang dan kuat itu. Inilah impian Sang Serigala dan inilah juga cita-citanya setelah messi bapanya dulu tidak berhasil.

Sang Lion menikmati cebisan hidupnya yang cuma tinggal sedikit. Tidak perlu banyak fikir untuk itu dan ini seperti ketika era kekuasaannya dahulu. Tidak usah menghitung kira hari-hari esok siapa akan menjadi mangsa kerana cuba menentangnya. Kerana sudah nyata mustahil Sang Lion akan dapat berkuasa kembali.

Dengan tabah Sang Lion terpaksa akur menjalani hidup sebagaimana yang ditajanya dan sekarang dia akan menuainya sendiri walau dengan penuh kekesalan. Terbayang di ruang matanya lukisan kehidupan maupun kematian yang bagaimana akan berlaku ke atasnya nanti.

Dalam perjuangan berani mati penghuni Belantara untuk merebut kembali hak milik mereka dari cengkaman Sang Serigala yang semakin ganas itu, mereka tidak sedar bahawa hero yang satu ketika dahulu membela nasib mereka telah mati tergantung dalam kurungannya.

Berakhirlah nafas Sang Lion yang pernah mengharumkan tanah Belantara di mata alam walau dengan noda dan dosa tanpa iringan titisan air mata. Perginya tidak teriring dan jatuhnya juga tidak bersambut. <>

INDAH

...Islam itu bukan saja sempurna
malah indah
ajarannya cukup cantik
menyintai kedamaian
dan kehidupan yang adil...

PAKAIAN

DRAMA PENDEK : PAKAIAN...?...!...


TEMPAT : GARAJ KERETA - SIANG
PELAKON : ABANG DAN ADIK.
ARAHAN
ABANG BARU SELESAI MENCUCI KERETA. KEMUDIAN ADIK DATANG HENDAK MASUK, TAPI DI HALANG OLEH ABANG.

ABANG
(HAIRAN) Eh…apa adik pakai ani kan…?
ADIK
Inda abang nampakkan…? Adik ani basar kali ah…!
ABANG
Taliat pulang…(pause) Tapi lain usulnya…
ADIK
(BERSAHAJA) Lain apa…? Mengapa…? Kenapa…?
ABANG
Cuba tah adik liat tu bisai kah usulnya…?
ADIK
Bisai jua ni bang…cemburu kaliah…!
ABANG
Mun pakaian macam atu kan abang cemburukan…bahapa…!
ADIK
Pakaian tradisional kitani jua ni bang, inda jua salah kalau memakain ni, lagi tia best kalau diliat oleh orang luar.
ABANG
Best tia karang mun membari gali usulnya atu, baru orang lokal meliat udah tia inda senunuh, apa lagi orang luar.
ADIK
Ani tah yang dikatakan moden mengikut selira zaman bang, jangan karang kitani dikatakan kolot.
ABANG
Lurus pulang tu…tapi biar tah yang bisai dan indah dipandang mata, ani sepanggal-sepanggal…!
ADIK
Baju kebaya jua ni bang…parasaan adik inda ada salahnya.
ABANG
Sais pulang arah adik tu, tapi mun nganya kan memakai bajunya dada bakain, gali abang meliat eh…!
ADIK
Beseluar jua adik ni bang…mantang-mantang tah kawan abang atu sambat malmari babaju kurung.
ABANG
Mengapa tah pulang adik ke sana…jauh jua.
ADIK
Inda jua apa-apa ni bang…
ABANG
Mun kan bapakaian atu biar tah langkap dan sempurna.
ADIK
Inda jua membari sakit mata ni bang, labih lagi orang lain atu macam-macam gaya diorang.
ABANG
Jangan ikut-ikutan orang lain, apa-apa pun yang kitani pakai atu…saja kan diliat oleh orang tu bah.
ADIK
Ada-ada saja abang ani eh…inda tia ada mod olehnya.
ABANG
Pakaian ani tah lambang keperibadian kitani. Mun pakai baju kebaya beseluar jean…bida jua usulnya kali ah…!

- CUT TO -
______________________________________________________________________

WATAK-WATAK
1 ABANG
2 ADIK.
==============

ANTI MEROKOK

DRAMA PENDEK : ANTI MEROKOK


TEMPAT : BERANDA
PELAKON : SUAMI DAN ISTERI.
ARAHAN
SUAMI MEMBACA SURAT KABAR SAMBIL MEROKOK. KEMUDIAN ISTERI DATANG MEMBAWA MINUMAN DAN SAMA-SAMA DUDUK.

SUAMI
(BATUK-BATUK) Batuk tia pulang…gatal leher ah…!
ISTERI
Adang tah…kalau sakit damam siapa jua yang payah karang.
SUAMI
(PERLAHAN) Inda jua kan orang lain tantu tah bini tu…
ISTERI
Tapi mun penyakit atau tarang-tarang di lagau…diasuh…marah jua bini kali ah…
SUAMI
(BATUK-BATUK SAMBIL MENYAPU-NYAPU HIDUNG).
ISTERI
Barang radio…dalam tv…di surat kabar, macam-macam sudah kana liatkan anu bapirik atu, dada jua abang ijap.
SUAMI
Mun kan mati ani bukan kerana sigup…ajal sebenarnya tu…!
ISTERI
(AGAK KUAT) Banar pulang tu…tapi kalau barang atu memudaratkan, sendiri jua karang menanggung tu.
SUAMI
Abang basigup ani untuk melapangkan fikiran…
ISTERI
Bawa pulang besiar-siar di pantai, liat ombak begulung-gulung atu…tapi jangan pulang bayangkan golongan sigup…!
SUAMI
Ke pantai…? Lagi tia stress…macam-macam kan diliat.
ISTERI
Nya orang tepi pantai atu udaranya segar, pemandanganya bersih.
SUAMI
Banar pulang tu…(BATUK-BATUK).
ISTERI
(MARAH) Nyangku adang tia abang ani luan pengarasi bah…!
SUAMI
Selagi sigup atu kana jual…payah jua abang kan beranti tu.
ISTERI
Jangan salahkan orang bejual bang, orang atu pun kan makan jua, namanya kedai dijualnya selagi belum kana larang.
SUAMI
Mun macam atu jangan pulang dimasukkan arah kitani ani, atu baru orang beranti basigup.
ISTERI
Pokoknya terbit dari hati abang sendiri, sakit damamnya inda ada orang bajual atu ampit…diri jua yang kakal kapus-kapus…
SUAMI
(BATUK-BATUK) Lain rasanya batuk abang kali ani…indakan dapat benapas…!
ISTERI
(MARAH) Iya tah tu…baik tah ke sipitar…!

- CUT TO -

WATAK-WATAK
1 SUAMI
2 ISTERI.

==============

Monday, February 15, 2010

Kiambang

Terapung di air tenang
tampak wajah keriangan
tapi dalam kesepian.
Di kala malam
bertemankan rambulan
berbisik dengan siulan bayu
tapi bayu berhembus lalu.
Bila kemarau menerpa
terkapai kekeringan
mengharap setitik hujan
penawar lara.
Akulah kiambang lara.

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online